Tuesday, December 8, 2009

Lingkaran Tengah Seremban

Melihat gambar-gambar di bawah mungkin ada yang tidak menyangka ia diambil di Seremban. Saya ambil gambar-gambar ini di Rasah, Seremban. Di lokasi di mana Jalan Rasah melintasi Sungai Linggi sudah ada jalan tiga tingkat sekarang.

Jalan-jalan ini ialah sebahagian dari Projek Lingkaran Tengah Seremban. Projek ini masih belum tamat pembinaannya. Apabila siap nanti kesesakan di Bandar Seremban di harap dapat dikurangkan. Sebagai contoh penduduk di Ampangan tidak payah lagi menempuhi Bandar Seremban jika hendak ke Kuala Lumpur. Mereka boleh memilih untuk melalui Lingkaran Tengah ini untuk menuju Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) atau menggunakan Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) yang juga masih dalam pembinaan.

Cuma pihak berkuasa patut memikirkan kesesakan di kawasan Lobak. Semalam saya pergi ke Kemayan Square. Saya keluar dari rumah terus ke Jalan Temiang. Di simpang Jalan Temiang dengan Jalan Tun Dr. Ismail saya memilih untuk melalui Jalan Lobak konon-kononnya untuk mengelak kesesakan dalam Bandar Seremban. Rupa-rupanya saya terperangkap di Lobak.

Saya balik melalui Lingkaran Tengah ini. Perjalanan mungkin jauh sedikit, tetapi saya sampai ke rumah tanpa halangan.





Nampak Masjid Dato' Bandar Rasah yang berkubah kuning itu. Inilah masjid saya pada tahun-tahun 1973 sehingga 1976 dahulu. Malang sekali pengguna Lingkaran Tengah Seremban hilang pandangan masjid ini sekarang. Tetapi sekurang-kurangnya pengunjung masjid boleh meletak kereta berteduh di bawah jambatan. Bangunan jauh di belakang itu ialah Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Di sebalik gunung itu ialah Daerah Jelebu dimana saya dibesarkan.




Saya berada di tingkat atas Lingkaran Tengah Seremban. Jalan ini menuju ke Ampangan, Kuala Pilah dan Jelebu. Daerah Kuala Pilah terletak di sebalik gunung yang nampak itu.







No comments: