Friday, March 26, 2010

Jangan aniaya makhluk yang lemah

Dalam filem 'Unforgiven' heronya Clint Eastwood dijatuhkan oleh kuda yang cuba ditunggangnya di depan anak-anak kecilnya. Dia pun berkata kepada anak-anaknya lebih kurang begini: "Dulu ayah suka menganiaya binatang. Tetapi mendiang ibumu telah membetulkan ayah. Agaknya kuda ini ingin membalas dendam terhadap ayah".

Clint Eastwood dalam perjalanan untuk mengambil upah 'mengajar' dua orang koboi yang mencederakan seorang pelacur. Kumpulan pelacur di satu 'saloon' di sebuah pekan kecil bernama Big Whiskey tidak berpuas hati kerana Marshall pekan itu menghukum dua orang koboi tadi dengan memerintahkan mereka menghadiahkan beberapa ekor kuda kepada bapa ayam dan pelacur yang dicederakan.

Hero ini pula mendapati penternakan babinya merosot kerana banyak babi yang terkena 'swine fever' (bukan selsema babi) dan terpaksa diasing dan dihapuskan. Semasa mudanya dia menjadi seorang pembunuh upahan dan diceritakan membunuh sesiapa juga termasuk perempuan dan kanak-kanak tanpa belas kasihan jika mereka menghalang tugasnya. Bila seorang kawannya bertanya betulkan beliau membunuh perempuan dan kanak-kanak tanpa belas kasihan dia menjawab "Saya dah lupa kerana kerana di masa itu saya asyik mabuk".

Dia pergi ke pekan kecil itu untuk menghidupkan semula kerjaya asalnya sebagai seorang pembunuh upahan. Tetapi akhirnya dua bukan sahaja membunuh kedua-dua koboi tadi tapi juga membunuh bapa ayam, Marshall dan pembantu-pembantunya (deputies).

Untuk berlaku adil dia membunuh bapa ayam itu kerana menggantungkan mayat kawannya di hadapan 'saloon'nya. Dia pula membunuh Marshall kerana menyiksa dan membunuh kawannya itu untuk mendapat maklumat dimana dia bersembunyi. Pembantu-pembantu Marshall pula dibunuh kerana cuba membenteng Marshall.

Dalam perjalanan pulang setelah tugas selesai dia menyeru "Jangan cederakan mana-mana pelacur lagi atau saya akan datang membunuh kamu anak-anak anjing (sons of bitches) semua".

Agak ngeri juga ceritanya tetapi filem itu memenangi hadiah Academy sebagai Filem Terbaik tahun 1992 dan Clint Easwood yang juga mengarah filem itu menerima oscar Pengarah Terbaik. Tetapi itulah Hollywood. Saya tidak tahu jika filem bertema begitu akan diterima oleh panel festival filem kita di sini.

Mungkin kekuatan ceritanya ialah tema penganiayaan kepada makhluk lemah seperti pelacur dan binatang.

Semasa kecil saya juga pernah menganiaya binatang. Emak saya bersawah padi untuk menyara anak-anaknya termasuk saya. Oleh kerana kemiskinan kami tidak memagar sawah kami. Oleh itu padi kami sering menjadi mangsa kepada kambing biri-biri jiran kami. Selepas balik dari sekolah menjadi satu tugas bagi saya adik beradik untuk menolong emak di sawah sambil menjaga batang-batang padi kami dari dimakan oleh kambing biri-biri jiran.

Satu petang saya nampak beberapa ekor biri-biri memasuki sawah kami. Tiba-tiba saya dapat satu idea untuk 'mengajar' bukan saja biri-biri tetapi tuannya. Saya dan adik saya Zahari telah mengepung biri-biri tadi dan menangkap seekor darinya.

Kami ikat keempat-empat kakinya sambil biri-biri tadi menjerit minta dilepaskan. Lepas itu kami ambil lumpur dari sawah dan melumurkan seluruh badan biri-biri tadi dengannya. Kambing termasuk biri-biri memang takutkan air, apa lagi lumpur. Selepas penuh diselaput lumpur barulah kami lepaskan biri-biri tadi.

Saya tidak boleh bayangkan bagaimana jiran saya dapat membersihkan biri-birinya. Di zaman itu paip air belum masuk lagi ke kampung kami. Jika ada boleh juga biri-biri itu ditembak dengan air paip.

Kemudian terjadilah satu perang besar diantara emak saya dengan jirannya. Memang selama ini emak saya sering mengalah kerana ia seorang ibu tunggal. Kami adik beradik pula sering dituduh atas kesalahan-kesalahan kecil yang biasa dilakukan oleh kanak-kanak. Alasan mereka ialah kami 'budak-budak yang tidak mempunya ayah yang boleh mengajar kami'.

Saya mengaku kenakalan saya adik beradik memang ada tetapi ada juga kalanya kami dituduh membuta tuli. Contohnya pernah penapis minyak diesel satu bulldozer JKR yang membuat jalan kampung kami pecah dan kami dituduh. Penapis minyak ini ialah jenis kaca dan boleh dilihat minyak diesel mengalir dalamnya. Saya tahu saya adik beradik nakal, tetapi kenakalan kami tidak sampai ke tahap memusnahkan harta kerajaan.

Kami juga sering dimarah dan kadang-kadang dirotan oleh emak kerana kenakalan kami. Pernah juga kami dirotan oleh emak hanya untuk memuaskan hati jiran-jiran yang menuduh kami sedangkan emak saya tahu anak-anaknya tidak bersalah.

Tetapi dalam kes memalit lumpur kepada kambing biri-biri tadi kesabaran emak saya rupa-rupanya sudah memuncak sama seperti kesabaran saya. Emak saya mempertahankan perbuatan anak-anaknya dan menyalahkan jiran-jirannya kerana melepaskan biri-biri mereka.

Hubungan kami dengan jiran sebelah yang selama ini dingin terus merudum selepas itu. Tetapi bagi saya, saya telah memberi mesej yang jelas kepada mereka iaitu jangan menganiaya kami yang lemah ini. Semenjak peristiwa berlumpur itu kambing-kambing jiran kami tidak lagi masuk meratah batang-batang padi kami.

Kedua-dua jiran saya suami isteri sudah lama meninggal dunia sedangkan emak saya masih sihat walafiat. Walaubagaimana pun hubungan kami adik beradik dengan anak-anaknya boleh dikatakan biasa sahaja.

Seperti pelakun pujaan saya Clint Eastwood mesej saya kepada arwah jiran saya ialah 'jangan aniaya makhluk yang lemah seperti kami'. Tetapi dalam menghantar mesej tersebut saya terpaksa menganiaya seekor binatang yang tidak berdosa.

No comments: