Thursday, March 18, 2010

Terkenang

Bila saya terbaca cerita mengenai Siti Nur Zubaidah Hussin, 11 tahun yang dikahwinkan oleh ayahnya dengan seorang lelaki berumur 41 tahun saya teringat semasa saya tinggal di Kelantan pada tahun 1972 dahulu.

Semasa itu saya bekerja di Pasir Putih. Tempat saya bekerja itu dikelilingi oleh sebuah kampung. Kebanyakan kami tinggal di kuarters kerajaan yang terletak dalam kompleks di mana kami bekerja. Oleh itu tidak salah jika kami menganggap diri kami sebagai sebahagian dari kampung tersebut.

Jika ada kenduri kahwin di kampung tersebut contohnya semua kami akan dijemput sama. Memang saya tidak kenal langsung kepada siapa yang menjemput saya. Tetapi oleh kerana saya masih bujang dan tidak ada apa-apa aktiviti di waktu malam dan hujung minggu boleh dikatakan saya tidak pernah tidak hadir ke mana-mana jemputan begini.

Ada satu ketika saya menghadiri satu kenduri kahwin di waktu malam. Sudah menjadi kebiasaan selepas majlis persandingan kedua mempelai akan bersalaman dengan sudara mara dan sahabat handai yang dikenali. Saya hanya berdiri memerhatikan dari jauh. Tiba-tiba pengantin perempuan iaitu anak kepada tuan rumah datang kepada saya dan menghulurkan tangan untuk bersalam.

Sudah tentu saya terperanjat dan selepas bersalam saya bertanya dengan seorang rakan kerja saya kenapa pengantin berbuat demikian sedangkan saya orang asing, bukan saudara dan bukan kawan. Kawan saya menjawab, mungkin saya sudah lupa. Sebenarnya pengantin perempuan pernah datang ke rumah saya untuk mendaftarkan saya sebagai pengundi. Di masa itu kawan saya itu ada bersama di rumah saya.

Sememangnya walau pun saya tinggal kesaorangan rumah saya selalu dipenuhi oleh kakitangan saya selepas waktu pejabat. Tetapi sebagai orang dagang saya hanya berbuat apa orang kata "Ada mata lihat, ada telinga dengar".

Ada satu cerita yang saya dengar mengenai hasrat seorang lelaki tua dari kampung tersebut yang sudah berkeluarga tetapi ingin mengahwini seorang gadis sunti. Pinangannya ditolak oleh keluarga perempuan kerana sebab-sebab tertentu. Lelaki tua ini tidak putus harapan dan telah berjumpa dengan imam muda kampung tersebut untuk menggunakan pengaruhnya kepada keluarga gadis tadi.

Saya tidak pasti situasi sekarang tetapi di waktu itu biasanya tiap-tiap masjid di Kelantan mempunyai dua imam. Imam pertama biasanya dipanggil imam tua sebab beliau lebih tua dan imam kedua imam muda. Tetapi sekarang ini saya lihat di Negeri Sembilan imam pertama ada yang muda-muda belaka, oleh itu panggilan imam tua dan imam muda agak kurang relevan.

Mengapa lelaki ingin berpoligami tadi berjumpa dengan imam muda dan bukan imam tua saya tidak pasti. Tetapi apa yang pasti ialah bapa kepada gadis yang ingin di lamar itu apabila didatangi oleh imam muda hatinya telah berbelah bagi.

Saya tidak periksa apa kesudahan cerita itu. Adakah lelaki tadi berjaya mengahwini gadis tadi? Untuk menjaga status saya sebagai orang dagang saya tidak bertanya lanjut.

Ada sedikit kesamaan kisah tadi dengan kisah Siti Nur Zubaidah ini. Dalam kes Siti ini pelamar sendiri menggunakan kedudukannya sendiri sebagai seorang ahli tabligh untuk mempengaruhi bapa kepada gadis yang di lamar. Dalam kes cerita saya itu pelamar menggunakan kedudukan seorang pegawai masjid untuk menggunakan pengaruhnya dalam mencapai cita-citanya.

No comments: