Friday, March 5, 2010

Selamat Pulang, Tuanku.

Saya sungguh berminat mengikuti berita mengenai Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra. Ini kerana beberapa sebab.

Pertama ialah baginda sebaya dengan saya. Dari maklumat yang saya dapat tahu mengenai tarikh keputeraannya baginda hanya tua lebih sebulan dari saya.

Kedua baginda merupakan Raja Melayu pertama yang saya hampiri dengan dekat dan berjabat tangan pula dengannya. Walau pun di masa itu baginda masih menjadi Tengku Mahkota Kelantan. (Adakah Raja Muda? Maaf jika saya salah). Sungguh tidak disangka pertemuan pertama saya dengan seorang anak raja berlaku jauh dari kampung halaman saya.

Peristiwa itu berlaku di tahun 1972 semasa saya bertugas di Pasir Puteh, Kelantan. Saya diberitahu oleh Pegawai Jajahan Pasir Putih bahawa DYMM Tengku Mahkota akan melawat Pejabat Jajahan Pasir Puteh.

Kali kedua saya berjabat tangan dengan seorang Raja Melayu ialah dengan Raja Perlis sekarang Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail semasa beliau menjadi Yang Di Pertuan Agong, Malaysia. Ini berlaku semasa saya menerima pingat dari baginda di Istana Negara pada tahun 2003.

Di Kelantan apa yang disebut sebagai 'Daerah' di negeri-negeri lain disebut 'Jajahan' di sana. 'Daerah' di Kelantan bermaksud 'Mukim' di negeri-negeri lain. Oleh itu 'Penghulu Mukim' disebut 'Penggawa Daerah' di Kelantan.

Saya yang merupakan seorang Ahli Jawatankuasa Pembangunan Jajahan Pasir Putih diminta oleh Pegawai Jajahan untuk hadir sama di lawatan tersebut. Tengku Ismail Petra datang tepat pada masa yang dijanjikan iaitu lebih kurang pukul 9 pagi dan bersalam dengan kami yang beratur menyambutnya.

Oleh kerana saya tidak ada maklumat mengenai tarikh perkahwinan baginda, saya anggap baginda masih bujang semasa itu, seperti saya juga. Lebih-lebih lagi baginda datang bersaorangan.

Gementar juga saya pada mulanya apabila pertama kali berdepan dengan seorang anak raja yang bakal mewarisi takhta negerinya. Tetapi apabila sahaja saya menjabat tangannya rasa gementar itu terus hilang.

Tuanku dipersilakan duduk di kerusi khas berwarna kuning dan Pagawai Jajahan pun memberikan taklimat mengenai pembangunan di Jajahan Pasir Puteh sambil menunjuk kepada papan-papan maklumat yang tersusun berlapis di dinding Bilik Gerakan Jajahan.

Mana ada komputer di zaman itu. Jika baginda mengulangi lawatannya ke Jajahan-Jajahan sekarang sudah tentu taklimat diberi menggunakan komputer melalui program Powerpoint atau sebagainya.

Antara maklumat tersebut ialah maklumat Jabatan saya yang sentiasa dikemas kini. Syukur juga baginda tidak bertanyakan apa-apa maklumat dari saya kerana saya baharu sahaja ditugaskan di situ untuk beberapa bulan.

Saya tidak lupa kepada pertemuan ini. Apabila saya bersemuka dengan kawan-kawan sekolah saya yang berasal dari Kelantan saya dengan bangga menyatakan pernah berjabat tangan dengan Sultan mereka. Bagitu juga saya nyatakan hal yang sama kepada penduduk taman perumahan saya yang tidak kurang jumlahnya berasal dari Kelantan.

Selesai taklimat satu jamuan kecil diadakan dan selepas itu kami berjabat tangan sekali lagi sebelum baginda pulang ke Kota Bharu.

Semalam baginda pulang sekali lagi ke Kota Bharu, cuma kali ini bukan pulang dari mendengar taklimat dari seorang Pegawai Jajahan, tetapi pulang setelah menerima rawatan perubatan di negara Singapura sejak bulan Mei tahun 2009.

Patik harap Tuanku segera betah dari kegeringan Tuanku.

Daulat Tuanku.

No comments: