Saturday, September 11, 2010

Hari Raya Ku

1 Syawal 1431 ku bermula dengan aku berbuka puasa dengan isteri ku Salmah dan anak-anak ku Miza dan Anis. Aku kemudian menunakan solat Maghrib di rumah sahaja. Apabila mendengar azan Isya' dari surau aku terus ke sana membawa lebihan makanan berbuka puasa. Seperti jemaah lain aku meletakkan makanan di dewan makan surau.

Pada perkiraan ku inilah jemaah solat Isya' yang paling kecil direkodkan di surau ku sejak ia dibuka lebih dari dua bulan yang lalu. Jumlah ini juga berbeza dengan bilangan yang datang untuk solat Tarawikh dalam sebulan Ramadan. Ini tidak menghairankan kerana sebilangan besar penduduk Islam taman ku telah balik kampung. Maklumlah taman ku ini dipenuhi oleh orang-orang muda belaka dengan anak-anak mereka yang masih kecil. Gulungan tua seperti aku ini boleh dibilang dengan jari.

Setelah solat Isya' kami pun makan makanan yang kami bawa tadi. Orang-orang kuat surau yang biasanya memeriahkan acara seperti ini sudah balik kampung. Kemudian kami membuat tiga kumpulan dan pergi ke rumah tiap-tiap ahli kumpulan dan melaungkan takbir Raya. Kumpulan ku diketuai oleh Ustaz Sharul yang tinggal hanya dua pintu dari rumah ku.

Pada pagi raya kami berempat pergi ke Masjid Sikamat yang letaknya satu kilometer dari rumah kami untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Aku duduk di saf kedua dari hadapan kerana aku hendak mengambil gambar imam membaca khutbah dari dekat.

Setelah berehat sekejap di rumah kami pun bergerak ke kampung ku di Jelebu. Sampai sahaja di rumah aku dapati rumah ibuku penuh sesak dengan anak-anak dan cucu-cucu buahnya. Aku menunggu sepupu-sepupu  dan anak-anak-buah ku beredar sebelum bersalam serta mencium tangan ibu ku.

Tiba waktu Zohor aku pun pergi ke masjid kampung ku untuk menunaikan solat Jumaat. Gembira juga aku melihat ramai orang kampung ku yang datang bersolat Jumaat. Yang menyedihkan aku cuma satu, iaitu aku tidak mengenali kebanyakan mereka. Tetapi aku bangga kerana kawan sama sekolah ku Aziz Basirun ialah Imam 2 Masjid ini. Kebetulan pula Aziz ialah tiga pupu ku. Aziz ini dulu bertugas sebagai Polis dan kahwin dengan orang Kelantan. Semasa aku di Kelantan semasa bujang dulu aku pernah bercakap dalam talipon dengan Aziz. Syukur juga aku kerana Aziz memilih untuk menetap di kampungnya sendiri setelah bersara.

Aku sempat beraya di rumah dua orang ibu saudara ku iaitu adik-adik kandung ibuku. Seperti ibu ku mereka pun sudah kematian suami. Sambil itu aku pun bertemu dengan anak-anak mereka yang menjadi sepupu ku. Sepupu ku Razif atau kami panggil Ajip baru pulang dari Jeddah, Arab Saudi setelah bertugas dengan Tabung Haji selama tiga tahun di sana. Dia banyak bercerita mengenai kerenah orang Arab Saudi. 

Kemudian kami balik ke Seremban di mana anak-anak ku Halimi dan Ina datang dengan isteri, suami dan anak-anak mereka. Kami sempat bergambar sekeluarga. 
Takbir Raya di rumah jiran.

Takbir Raya di rumah ku.

Takbir Raya di Masjid Sikamat.
Imam berdoa sebelum mengetuai solat sunat Aidilfitri.


Imam membaca khutbah Aidilfirti.

 
Aku bersama jemaah Masjid Sikamat.

 
Pandangan di belakang ku. Jemaah perempuan di tingkat atas.

 
Jemaah perempuan turun dari tingkat atas.

 
Suasana dalam rumah ibu ku.

Aku mencium tangan ibu ku.

 
Imam masjid kampungku membaca khutbah Jumaat.


Aku bersama jemaah masjid kampung ku.

 
Keluarga ku di petang Raya.

No comments: