Sunday, September 12, 2010

Kini baru dia sedar.

Mereka berkahwin bukan atas dasar suka sama suka. Tetapi Alhamdulillah perkahwinan mereka kekal sampai ke anak cucu. Suami berasal dari keluarga yang miskin sedangkan isteri datang dari keluarga yang berada. Bapa kepada suami meninggal dunia semasa suami berusia tiga tahun tetapi Alhamdulillah ibunya masih sihat walafiat sekarang. Suami dan  isteri pula berasal dari dua negeri yang berlainan tetapi berjiran.

Memang menjadi kebiasan kepada orang Melayu Islam beraya di kampung walau pun mereka hari-hari tinggal di bandar. Timbullah soalan di mana hendak beraya. Di kampung suami atau di kampung isteri. Kebanyakan pasangan mengambil jalan mudah dengan bergilir-gilir. Tahun ini di kampung suami dan tahun hadapan pula di kampung isteri. Bagitulah seterusnya.

Tetapi tidak bagi pasangan ini. Suaminya sudah biasa tidak beraya dengan ibunya. Suami belajar di sebuah sekolah berasrama penuh sejak berumur 12 tahun. Sejak itu suami sudah biasa tidak beraya dengan ibunya. Ibu pula sudah biasa tidak beraya dengan anak lelakinya yang ini. Oleh itu suami mengalah dengan beraya di rumah keluarga isteri setiap tahun. Tetapi di hari raya kedua mereka beraya di rumah keluarga suami pula.

Sebab lain mengapa suami mengalah ialah kerana pasangan ini tinggal satu negeri  dengan ibu suami. Oleh itu kampung suami berdekatan dengan tempat tinggal tetap mereka.

Pernah di pagi satu raya suami dihina oleh seorang ahli keluarga isteri tetapi ia tetap bersabar. Pernah juga isteri menyatakan mahu balik ke rumah keluarga suami di hari raya ketiga. Ini menghilangkan kesabaran suami dan dia balik ke rumah ibunya di hari raya kedua kesaorangan.

Sehinggakan pasangan ini mempunyai menantu mereka tetap beraya di kampung isteri. Sehinggakan kedua-dua ibu bapa isteri kembali ke Rahmatullah mereka juga beraya di kampung isteri. Cuma apabila mereka mempunyai cucu keadaan berubah. Barulah mereka beraya di rumah sendiri pula. Walau bagaimana pun mereka sekeluarga tetap balik kampung setelah solat raya di hari raya pertama atau hari raya kedua. Soal raya bergilir yang mereka tidak amalkan selama ini sudah lenyap langsung.   

Seorang ahli keluarga isteri lain pula ceritanya. Setiap tahun di hari raya ia meninggalkan isteri dan anak-anaknya untuk beraya dengan ibu bapa, adik beradik dan kawan-kawan sekampungnya. Dia sanggup meninggalkan keluarganya beberapa hari untuk tujuan tersebut. Dalam buku dan filem yang bertajuk sama, 'The Godfather' ada berkata "A man who does not spend time with his family is not a real man." Agaknya inilah jenis orang yang dimaksudkan oleh The Godfather.

Setelah ibu bapa kepada isteri meninggal dunia adik beradiknya pernah menganjurkan program 'Hari Keluarga' sebanyak dua kali. Suami menganggap ada agenda tersembunyi dalam program 'Hari Keluarga' ini. Di program pertama suami sengaja tidak hadir dengan memberi alasan ada kerja. Sebenarnya tidak ada kerja pun. Dia sanggup menjadi 'not a real man' di waktu itu.

Di program 'Hari Keluarga' kedua suami sudah bersara. Kali ini alasan ada kerja tidak boleh digunakan lagi. Terpaksalah suami mengharungi tempoh tiga hari dua malam yang paling membosankan baginya. Di sini jugalah agenda tersembunyi yang dijangka oleh suami dari dulu lagi terbongkar.

Keluarga suami isteri ini telah ditempelak depan-depan oleh seorang ahli keluarga lain. Bagi suami ini sudah menjadi perkara biasa. Ia berasal dari keluarga yang miskin dan susah. Dari kecil lagi dia sudah biasa ditempelak dihina dan dicerca oleh jiran-jiran dan kawan-kawan sekolahnya. Tetapi arwah nenek dan ibunya pernah berpesan supaya jangan membalas jika kita ditempelak, dihina dan dicerca nista. Biarlah Allah membalasnya, pesan mereka.

Tetapi tidak bagi isteri. Dia belum pernah ditempelak, dihina atau dicerca oleh sesiapa termasuk suaminya. Oleh itu dia tidak dapat menerima tempelak ini.

Akibatnya untuk pertama kali dalam berpuluh tahun setelah berkahwin dia membuat keputusan tidak balik beraya di kampungnya.

No comments: