Tuesday, November 30, 2010

Bintang Klasik Nasional

Pada Hari Ahad 28 November 2010 baru-baru ini saya dan isteri telah pergi ke Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Sungai Gadut, Seremban untuk melihat Pertandingan Akhir Bintang Klasik Nasional. Kompleks RTM ini kebetulan terletak di sebelah sekolah saya iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban. Saya muatkan gambar-gambar dan ceritanya di sini

Penggunaan 'flash' tidak dibenarkan di dalam auditorium. Juga kami tidak boleh bergerak supaya tidak mengganggu siaran. Oleh itu gambar-gambar yang saya ambil tidaklah sebaiknya.

Untuk pengetahuan, Almarhum Tuanku Muhammad ialah moyang kepada Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan sekarang Tuanku Muhriz. Auditorium di mana pertandingan ini diadakan pula dinamakan Auditorium Tunku Puan Chik, isteri Tuanku Muhammad.

Saya sememangnya mendengar Radio Klasik Nasional tiap-tiap hari. Di kereta-kereta saya stesen radio itulah yang saya programkan sebagai stesen utama. Oleh itu apabila saya mendapat tahu pertandingan akhir ini diadakan di Seremban saya tidak melepaskan peluang untuk menontonnya. Kebetulan isteri saya Salmah juga meminati stesen radio ini. Hanya lagu-lagu klasik nasional Melayu yang disukanya. 

Tetapi berlainan bagi saya. Saya memang gilakan lagu-lagu kumpulan The Beatles, Deep Purple dan Led Zepellin. Tetapi lagu-lagu Melayu saya cuma lagu-lagu klasik nasional. Lagu-lagu rock Melayu saya tak mainlah.

Baik juga kami datang awal, iaitu sebaik sahaja solat Maghrib. Auditorium penuh akhirnya dan ramai yang berdiri di belakang. Mungkin ramai lagi yang berdiri di luar dan melihat di monitor TV sahaja. Siaran juga dibuat secara langsung di TV1. Nampaklah muka saya dan isteri di TV. Sampaikan ada seorang kawan sekolah saya di Port Dickson menalipon saya sebaik sahaja dia nampak muka saya tersiar.

Selain melihat pertandingan saya juga melihat kehadiran artis-artis veteran seperti Aziz Sattar, Maria Menado, Jeffridin dan Adre Goh.

Program berjalan lancar. Tidak ada langsung waktu-waktu yang membosankan bagi saya. Maklumlah RTM sudah banyak berpengalaman dalam hal ini.

Cuma saya rasa program ini cacat sedikit kerana semasa pembukaan semua peserta tidak menyanyikan lagu klasik nasional. Mereka menyanyikan lagu 'Khayalan' yang sebenarnya disadur dari lagu Bahasa Inggeris 'Fatasy' nyanyian Earth, Wind and Fire. Saya tidak tahu sama ada perkara ini disedari oleh RTM atau tidak.

1 comment:

dannalli said...

Untuk pengetahuan Abang Maarof, Seniwati Maria Menado juga adalah seorang penyanyi dan pernah diterbitkan satu LP mengandungi 10 buah lagu. Seorang cucunda beliau juga pernah belajar di sekolah lama Abang Maarof bersebelahan dewan tersebut.