Tuesday, October 25, 2011

Kenapa tak rancang awal-awal? (Bahagian 2)

Pos ini ialah ekoran kepada pos saya sebelum ini. Saya tidak sangka pos saya itu telah memecahkan rekod bilangan pembaca pos saya sebelum ini. Ini kerana pos itu telah digunakan oleh beberapa orang blogger untuk tujuan tertentu. Ekoran itu saya fikir perlu untuk membuat penjelasan lanjut.

Sebenarnya saya sedang mencari seorang kawan yang telah terpisah sejak kami meninggalkan sekolah lebih 40 tahun yang lalu. Tiba-tiba saya ternampak sepasang jambatan yang menarik perhatian saya. Dengan pengetahuan yang ada saya tidak dapat menentukan yang mana satu dibina terlebih dahulu. Sudah tentu tidak logik jika kedua-dua jambatan diharap untuk digunakan kerana sudah pasti tidak ada yang akan ke jambatan gantung yang terhad muatan dan saiznya.

Rupa-rupanya jambatan berkembar itu mempuyai sejarah tersendiri. Jambatan gantung telah dibina di tahun 60an apabila saya dan kawan saya masih bersekolah. Jambatan ini pula merupakan sebahagian dari jalan pintas yang menghubungkan dua kampung. Sudah tentu di masa itu pihak berkuasa tidak mempunyai cukup peruntukan untuk membina satu jambatan besar yang boleh dilalui kenderaan berat. Oleh itu satu jambatan gantung memadai kerana di masa itu berapa orang sangat yang mempunyai kereta. Kalau hendak berkereta juga dari satu kampung ke kampung yang lagi satu kenalah menggunakan jalan yang jauh.

Berpuluh tahun kemudian jambatan gantung difikirkan tidak sesuai kerana sudah ramai penduduk dari kedua-dua kampung mempunyai kereta. Negara dan negeri pun telah bertambah maju dan sebuah jambatan yang boleh dilalui kereta telah dibina. Itu pun terhad kepada kenderaan berjumlah muatan 5 tan dan tinggi 3 meter. Mana tahu jika negara dan negeri bertambah maju lagi jambatan yang lebih besar akan dibina?

Perkara yang sama pernah berlaku di satu kampung di Mambau, Negeri Sembilan. Kampung itu juga pernah mempunyai satu jambatan gantung untuk laluan pejalan kaki, basikal dan motosikal untuk memudahkan penduduknya pergi be Bandar Seremban. Tetapi bagi mereka yang hendak ke pekan kecil Mambau atau menuju ke Port Dickson tidak perlu menggunakan jambatan gantung ini. 

Malangnya jambatan gantung ini telah disapu oleh air bah. Tapi musibah ini sebenarnya menguntungkan orang kampung kerana kerajaan telah menggantikan jambatan gantung dengan jambatan baru yang lebih besar dan boleh dilalui kereta. 

Berbalik kepada jambatan kembar tadi timbul soalan kenapa perlu dikekalkan jambatan gantung kerana secara logik ia tidak akan digunakan lagi. Kenapa perlu diturap jalan kecil yang menghubungi jalan besar dengan jambatan ini? Itulah yang menyebabkan saya mengemukakan soalan 'Kenapa tak rancang awal-awal?' 

Saya ada satu cadangan. Kekalkan sahaja jambatan gantung itu sebagai satu produk pelancongan. Saya fikir tidak banyak jambatan gantung yang masih ada di negara kita. Tetapi notis mengenainya hendaklah diletakkan di kiri kanan jambatan. Kalau perlu digazetkan sebagai bahan sejarah gazetkanlah.

Jika tidak ia akan menjadi bahan kontroversi yang akan digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka.


2 comments:

Anonymous said...

rasanya senang je jawapan dia.. tujuan jambatan gantung tu pun untuk moto, basikal dan pejalan kaki, jadi untuk mengelakkan benda tak elok berlaku sebab tanah tak rata atau pun berbatu, baik JKR turap kan sekali jalan tu.

Abu Nu'man said...

kalau nak dismantle jambatan gantung tu extra cost lagi. dlm tnb pun gitu gak. menara2 yg dah tak alirkan elektrik dibiarkan sahaja untuk menjimatkan kos