Saya dulu belajar di sekolah asrama penuh. Kebanyakan pelajar ialah Melayu sedangkan tenaga mengajar berbilang bangsa. Pada satu hari sekumpulan pelajar telah melakukan satu perkara yang kurang senonoh. Seorang guru berbangsa Cina semasa menyatakan kesalnya memberitahu dia agak hairan dengan tindakan segelintir kami itu. Kerana menurutnya orang Melayu yang dia tahu berbudi bahasa dan tidak berkelakuan kurang senonoh itu.
Itulah hakikatnya orang Melayu berbudi bahasa. Itu sudah menjadi sebahagian budaya kita. Sama ada budaya berbudi bahasa itu sebenarnya merugikan orang Melayu, saya tidak berani komen. Tetapi sekurang-kurangnya dengan berbudi bahasa saya telah sampai ke usia sekarang tanpa menyesal. Saya juga tidak pernah meminta maaf kepada sesiapa kerana sikap kurang ajar saya, anak-anak saya dan cucu-cucu saya.
Semasa saya berada di Fukuoka, Japan pada tahun 2004 satu kumpulan bernama Chayag dari Amerika Selatan telah membuat pertunjukan percuma di satu kawasan lapang di situ sambil mempromosikan CD muzik mereka. Saya cukup terpesona dengan persembahan mereka menyanyi lagu-lagu Latin dan Inggeris.
Tiba-tiba saya nampak seorang perempuan Jepun yang saya kira sudah berumur empat puluhan menari mengikut rentak muzik kumpulan itu. Jika ia berlaku di negara kita sudah tentu perempuan itu dianggap gila dan pihak bersuka menahannya. Kerana menari seorang diri di tempat awam bukan budaya kita, walau pun ia mungkin tidak menyalahi undang-undang.
Begitu juga mengencing, memijak dan mendedahkan punggung kepada gambar sesiapa bukan budaya kita walau pun ia mungkin tidak salah di segi undang-undang. Kita tidak boleh memberi alasan perbuatan itu biasa dilakukan oleh orang-orang di negara lain tanpa mana-mana pihak mengambil tindakan. Biarkanlah orang lain dengan budaya mereka. Kita ada budaya kita sendiri.
Jangan sampai orang lain meminta maaf bagi pihak kita.
No comments:
Post a Comment