Saturday, September 1, 2012

Kalau tak faham bahasa baik diam sahaja.

Pada mulanya saya tidak mahu menulis pos ini. Tetapi semalam semasa saya menghadiri satu rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri seorang tetamu telah membangkitkan perkara ini. Saya tidak bercakap apa-apa di situ kerana tidak mahu merosakkan majlis tuan rumah. 

Walau pun saya berpendidikan Bahasa Inggeris di sekolah, saya hanya bergaul dalam suasana berbahasa Inggeris apabila saya mula bekerja. Semasa di sekolah kawan-kawan saya kebanyakannya berbangsa Melayu. Kami  bertutur dalam Bahasa Inggeris dalam kelas, tetapi apabila balik ke asrama kami akan bercakap Melayu.

Di tahun-tahun awal saya bekerja boss saya yang tidak popular antara pekerja-pekerjanya diberitakan akan bertukar. Maka gembiralah kami di pejabat, sehiggalah seorang kawan saya berbangsa India berkata "A known devil is better than an unknown angel". Maksudnya lebih kurang seorang jahat yang kita kenal itu lebih baik dari seorang baik yang kita tidak kenal. Jika dikembangkan lagi ia boleh bermakna sejahat-jahat orang ada kelebihannya dan sebaik-baik orang ada kelemahannya. Kawan saya itu seolah-olah mengingatkan kami supaya jangan terlalu yakin dengan boss baru yang tidak diketahui baik buruknya. 

Ini kerana seorang yang jahat itu akan digeruni, bukan sahaja oleh orang bawahnya, tetapi orang setaraf dengannya dan orang atasannya. Tetapi seorang yang baik hati itu boleh dipijak dan dipermainkan.

Tetapi jika diterjemah secara langsung "A known devil is better than an unknown angel" akan menjadi "Seorang syaitan yang dikenali lebih baik dari seorang malaikat yang tidak dikenali". Tetapi 'devil' di sini tidak sama dengan 'syaitan' yang disebut dalam Al-Quran, kerana 'syaitan' di situ ialah terjemahan dari 'satan'.

Baru-baru ini mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir ada menyebut "A known devil is better than an unknown angel". Perlu diingat Tun pun berpendidikan Bahasa Inggeris, oleh itu ia berani menyebut ungkapan itu. Bila ditanya siapakah 'devil' yang dimaksudkan ia menjawab dengan yakin, itu ialah parti politiknya. Maka timbullah suara-suara dan tulisan-tulisan yang mengatakan Tun Dr. Mahathir mengaku bahawa parti politiknya ialah 'syaitan'. 

Jika dilihat di kamus Bahasa Inggeris ada beberapa makna 'devil'. Antaranya 'devil' bererti 'a person who is is very clever' atau 'seorang yang amat pandai'. Penyanyi seperti Elvis Presley, Cliff Richard dan The Beatles ada menyanyi lagu-lagu yang berlirikkan 'devil'. Tetapi tidak pernah pula saya dengar lagu-lagu Melayu berlirikkan 'syaitan'. 

Seperti 'devil' ada juga perkataan Bahasa Inggeris lain yang mempuyai lebih dari dua makna. Antaranya 'race', yang boleh bermakna 'bangsa' atau 'berlumba'. 

Kelab bolasepak Manchester United juga digelar 'The Red Devils'. Tetapi peminat Robin van Persie sudah tentu marah jika dia dipanggil sebagai seorang 'Syaitan Merah'.

Itulah kompleksnya Bahasa Inggeris dan saya berbangga memahaminya, walau pun saya tidak belajar sampai ke universiti. Malah seorang kawan sekolah saya yang berjaya ke universiti pernah merujuk kepada  pos-pos bahasa Inggeris dalam blog saya ini sebagai contoh bagaimana mahirnya murid-murid dulu berbahasa Inggeris.

Oleh itu bagi sesiapa yang hendak menterjermah satu ungkapan dari satu bahasa ke bahasa lain hendaklah memamahi bahasa itu sepenuhnya. Jika tidak baik diam sahajalah. 

No comments: