Monday, December 14, 2015

Apa Najib nak buat pada Muhyiddin lepas ni?


Saya perhatikan banyak persamaan antara hubungan Dato' Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Michael Corleone dan Fredo Corleone dalam filem The Godfather. 

Vito Corleone, Godfather asal, mempunyai tiga anak lelaki dan satu perempuan. Bila dia ditembak dan masuk hospital anak sulungnya Santino menjalankan tugas Godfather. Tetapi semasa Vito belum pulih, Santino ditembak mati. Jadi tempoh Santino berkuasa tidak lama. Vito kemudian melantik anaknya yang ketiga Michael untuk menggantikannya, mengenepikan Fredo yang lebih tua. Bila Vito meninggal dunia, Michael disahkan menjadi Godfather baru. 

Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri telah membuang tiga orang timbalannya sebelum melantik Pak Lah sebagai timbalan yang keempat dan terakhir. Apabila Dr. Mahathir berhenti, Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Atas desakan Dr. Mahathir, Pak Lah melantik Najib menjadi timbalannya, sedangkan Muhyiddin lebih tua. Pak Lah tidak lama menjadi Perdana Menteri dan atas desakan Dr. Mahathir juga, terpaksa berhenti dan digantikan Najib. Najib kemudian melantik Muhiuddin menjadi timbalannya. 

Fredo terkilan kerana diketepikan. Dia berpakat dengan musuh-musuh Michael untuk membunuhnya. Tetapi cubaan itu gagal dan Michael pada mulanya tidak sedar yang abangnya telah belot. Apabila Michael sedar dia telah membuang Fredo dari perniagaan dan keluarganya, tetapi masih membenarkan Fredo melawat ibu mereka yang tinggal bersama Michael.

Muhyiddin terkilan kerana dia lebih tua dan tidak berpeluang menjadi Perdana Menteri melainkan Najib ditumbangkan. Dia pun berpakat dengan Dr. Mahathir (yang juga terkilan terhadap Najib kerana tidak mendengar katanya) untuk menumbangkan Najib. Pakatan itu gagal dan Najib terus dapat tahu yang Muhyiddin telah belot. Najib membuang Muhyiddin dari kabinet tetapi tidak mengusik kedudukannya dalam parti UMNO, di mana Najib menjadi Presiden dan Muhyiddin timbalannya.  

Connie, adik perempuan dan bongsu kepada Michael dan Fredo sedih kerana kedua-dua abangnya sekarang bermusuh. Di hari kematian ibu mereka Connine telah merayu kepada Michael untuk memaafkan Fredo. Michael setuju dan disebelah jenazah ibu mereka dan di hadapan ahli-ahli keluarga yang lain dia memeluk Fredo (sambil memberi isyarat mata pada Al, bodyguardnya). Rupa-rupanya itu wayang belaka.

Ahli-ahli UMNO sedih kerana orang nombor satu dan nombor dua mereka bermusuh. Di persidangan tahunan parti itu, mereka merayu kepada kedua-dua supaya berdamai. Di akhir persidangan, di depan ribuan perwakilan UMNO dan dipancarkan di television seluruh negara, Najib pun menghulur tangan kepada Muhyiddin yang menyambutnya. Tetapi adakah itu satu wayang?

Kerana tidak lama lepas itu Michael mengarahkan supaya abangnya Fredo dibunuh.

Kerana kita tidak tahu apa Najib nak buat pada Muhyiddin lepas ini.

No comments: