Wednesday, December 23, 2015

Ia bermula 37 tahun yang lalu.

C3PO dan R2-D2, dua karaktor yang muncul di tiap-tiap episod filem Star Wars.

Saya tahu mengenai filem Star Wars pada tahun 1978 dari majalah Readers Digest yang saya langgan. Kalau tak salah saya gambar di atas itulah yang ditunjukkan dalam majalah itu. Umur saya di masa itu 28 tahun dan baru punyai seorang anak lelaki dan anak perempuan saya Ina sedang sarat dikandung.

Saya pun membawa anak sulung saya Halimi sama-sama menonton filem itu di panggung Rex, Seremban (sekarang sudah diroboh dan dibangunkan semula menjadi Public Bank). Sambil menonton saya juga terpaksa menjaga kerenah Halimi yang belum reti bahasa dan tidak boleh duduk diam. 

Kerana tumpuan saya sering diganggu oleh Halimi, saya tidak dapat menghayati filem itu sepenuhnya di malam itu. Tetapi itu sudah cukup untuk menanamkan minat saya kepada siri filem tersebut. 

Kemudian saya dapat tahu sebenarnya filem Star Wars ialah espisod keempat siri filem itu dan telah ditukar tajuk menjadi A New Hope. Tetapi kerana minat saya telah tertanam saya pun menunggu dengan minat akan episod seterusnya. Kalau tidak salah, saya juga menonton episod 5 The Empire Strikes Back dan episod 6 Return of the Jedi di panggung Rex, Seremban sebelum ia ditutup.

Apabila siri filem Star Wars pergi ke belakang ke episod 1 dengan tajuk The Phantom Menace pada tahun 1999 saya menontonnya di Terminal 1 Seremban di panggung yang mempunyai sistem bunyi 'surround'. Kali ini dengan anak-anak ketiga dan keempat saya Miza dan Anis. Itulah kali terakhir saya masuk ke panggung wayang sehingga pagi tadi.

Saya melihat episod 2 Attack of the Clones dan episod 3 Revenge of the Sith melalui cekera padat DVD dengan sistem Home Theatre di rumah. Untuk pengetahuan, saya mempunyai koleksi semua filem Star Wars, tiga daripadanya DVD Blu-Ray.

Bila filem Star Wars episod 7 The Force Awakens mula ditayangkan diseluruh dunia termasuk Malaysia beberapa hari dulu saya mula-mula berniat menunggu DVDnya dikeluarkan, sudah tentu jenis Blu-Ray. Tetapi entah macam mana saya tertarik untuk menontonnya di panggung pula. Jelas saya tidak hampa pagi tadi.

Siri Star Wars bukan sahaja diminati oleh anak-anak dan menantu-menantu saya, tetapi cucu-cucu saya juga melainkan cucu tiga orang yang masih belum reti bahasa itu. Tetapi bagi mereka yang hanya baru-baru ini meminati siri itu mempunyai sedikit masalah mengikuti cerita sepenuhnya. Ini diberitahu oleh cucu saya Haziq.

Saya fikir di seluruh dunia apabila sahaja karaktor Han Solo yang dilakunkan oleh Harrison Ford muncul di layar sudah tentu penonton bising sedikit. Saya masih ingat semasa menonton filem The Wild Geese. Apabila sahaja sahaja Roger Moore muncul di layar, penonton (termasuk saya) bersorak. Ini kerana Roger Moore ialah James Bond 007 di masa itu.

Tetapi di panggung ini apabila Harrison Ford muncul tidak ada reaksi seperti itu.  Apabila saya keluar dari panggung, saya perhatikan kebanyakan penonton muda-muda belaka. Saya sempat bertanya umur seorang dari mereka dan dapat tahu dia belum lahir semasa filem Star Wars pertama dikeluarkan.

Mungkin mereka tidak tahu asal usul Han Solo dan apa hubungannya dengan pesawat Millenium Falcon. Tetapi tidak bagi saya, kerana telah mula meminati siri Star Wars sejak 37 tahun yang lalu.  

No comments: