Saturday, August 2, 2008

Sebulan masuk hospital

Pada mulanya saya ingin memasukkan pos ini kedalam pos saya sebelumnya yang bertajuk Rasah, Seremban. Tetapi oleh kerana saya ingin menceritakannya secara terperinci says fikir baiklah saya membuat pos asing.

Perkara ini berlaku pada bulan Disember 1973. Saya baharu sahaja mendirikan rumah tangga dengan isteri saya Salmah selama satu bulan. Kami tinggal di rumah beralamat 220-A Taman Mok Sum, Rasah. Pada satu petang kami berjalan kaki membeli sedikit keperluan dapur di Taman Happy berhampiran. Semasa balik waktu hampir Maghrib dan kami melalui satu tapak pembinaan rumah.

Saya ternampak sekeping atap zinc di atas tanah di tapak pembinaan ini yang terletak hanya 100 meter dari rumah kami. Saya pun memijak kepingan atap ini tanpa syak apa-apa. Tiba-tiba kaki kiri saya terjerumus ke bawah dibawa oleh zinc ini. Saya rasa seperti seribu batang paku menyucuk kaki saya.

Apabila saya mencabut kaki saya saya nampak sebahagian kulitnya telah tanggal. 'Mengelebeh' kata orang Negeri Sembilan. Rupa-rupanya kaki kiri saya termasuk ke dalam satu lubang kapur atau 'lime pit' yang digunakan untuk pembinaan. Kapur ini yang korosif telah memakan kaki kiri saya sehingga empat inci dari tapak.

Kami pun terus balik ke rumah dan saya terus memandu kereta Morris Mini saya ke Hospital Besar Seremban (sekarang Hospital Tuanku Jaafar) yang cuma berada lebih kurang dua kilometer dari rumah saya. Salmah saya tinggalkan dirumah. Di Hospital saya diarahkan masuk Wad. Tetapi saya mendapat izin untuk balik ke rumah dulu untuk menyelesaikan masalah Salmah pula.

Saya bercadang untuk menempatkan Salmah di rumah bapa saudaranya di Taman Sungai Ujung berhampiran. Tetapi oleh kerana Salmah tidak mahu mengganggu Pak Utehnya pada waktu malam saya bermalam sahaja di rumah pada malam itu.

Keesokan harinya setelah menempatkan Salmah di rumah Pak Uteh saya pun kembali ke Hospital dan dimasukkan ke Wad 7C iaitu Wad Kelas Pertama. Saya berada di Hospital selama tepat 30 hari. Bayangkanlah dimasukkan ke Hospital selama satu bulan selepas baru mendirikan rumah tangga selama satu bulan juga. Semasa dalam Wad boss saya berjenaka 'Luckily you did not fall until your waist' atau 'Nasib baik kamu tak jatuh sampai ke pinggang!'.

Oleh kerana 'penyakit' saya jarang-jarang terkena manusia kes saya dijadikan satu eksperimen. Kaki saya yang kehilangan kulit tidak dibungkus tapi dibiarkan terdedah. Rawatannya ialah dengan menyembur dengan alat aerosol dipanggil 'Rikospray'. Saya juga diuji alah kepada penicillin, oleh itu ubat itu tidak digunakan.

Kawan-kawan dan saudara mara merasa ngeri pada mulanya melihat kaki saya yang terdedah merah itu. Bagi saya pula saat-saat yang paling menyeksakan ialah semasa kaki saya dicuci oleh jururawat sebelum disembur. Tetapi saya ingat sebuah filem yang saya pernah lihat di TV kalau tak salah namanya 'Tribes'. Dalam satu babak heronya memikirkan saat-saat indah semasa dia diseksa. Dengan cara ini dia dapat mengurangkan rasa seksanya.

Jadi semasa kaki saya dirawat saya pun memikirkan saat-saat indah saya seperti dimanja ibu semasa kecil, berenang dengan kawan-kawan di Sungai Bernam yang memisahkan Perak dengan Selangor dan akhirnya saya memikirkan saat-saat bahagia memasukki alam berumahtangga yang baru sebulan saya alami. Memang cara itu dapat mengurangkan sensasi sakit semasa luka saya dicuci.

Setelah dibenar keluar saya diberi cuti sakit lima belas hari lagi. Keputusan saya mengambil polisi insurans dari MCIS berbaloi juga oleh kerana saya telah dihadiahkan faedah hospital yang boleh tahan juga jumlahnya.

Walau pun telah mula bertugas keadaan saya belum sempurna sepenuhnya sehingga beberapa bulan selepas itu. Jika saya berdiri lama saya akan terasa gatal yang amat sangat di kaki dan darah pun keluar. Jadi saya terpaksa bergerak sentiasa. Masalah ini menyebabkan saya merasa susah untuk bersolat. Walau bagaimana pun keadaan ini tidak timbul jika saya duduk atau tidur. Saya ingat hanya boleh memakai kasut setelah dua bulan keluar hospital.

Beberapa tahun yang lalu kaki kiri terasa sakit, tetapi apabila berlari sakitnya akan hilang. Saya pun mencari doktor yang menjaga saya dahulu yang sekarang membuka kliniknya sendiri. Dia masih ingat saya dan saya bertanyakan adakah saya menghadapati kesan masa panjang 'penyakit' saya dulu. Jawapannya tidak. Mengikut doktor ini saya menunjukkan tanda-tanda penyakit 'gout'. Bila saya berlari saya menghancurkan kristal gout yang terjadi. Jadi dia nasihatkan supaya saya terus berlari. Disamping itu juga dia memberikan nasihat tentang jenis-jenis makanan yang saya dilarang makan. Saya telah mendengar nasihat doktor ini dan sehingga hari ini saya tidak lagi menunjukkan tanda-tanda penyakit gout itu.

Parut di kaki saya akibat terkena kapur itu masih jelas sekarang.

2 comments:

viruspadu said...

oh macam tu yer

kiranya jadi ekperiment la

tp takpe, byk pahala tu, jd ekperiment untuk memudahkan orang2 selepas ni kan :p

oho parutnya masih ada yer

selamat bersenam... dan sihat2 selalu :D

maarofkassim said...

Terima kasih puan kerana buat komen. Tentu eksperimen tu berjaya agaknya kerana saya sembuh juga akhirnya. Sampai sekarang tak ada kesan jangka panjang melainkan parut yang ketara. Parut ini nampak jika saya berkaki ayam atau memakai selipar. Selain tu tak ada masalah apa-apa.