Thursday, September 23, 2010

Kalau nak ajak jemaah surau baca doa....

Sekarang ialah bulan Syawal. Tiap-tiap malam ada sahaja penduduk taman saya menjemput jemaah surau untuk berhari raya di rumah mereka. Biasannya majlis diadakan selepas solat Isya'. 

Kadang-kadang sampai dua jemputan pada satu malam. Ada pula dua rumah yang berhampiran mengadakan jamuan hari raya serentak. Untuk menjimatkan masa dan tempat kedua-dua tuan rumah ini mengadakan majlis di satu rumah sahaja. Ada tuan rumah meminta kami mengadakan bacaan tahlil dan doa. Ada pula kata tak payah doa, terus makan sajalah.

Ada tuan rumah cuma menjemput jemaah surau semata-mata. Ada juga yang menjemput jemaah surau dan jiran-jiran tidak kira bangsa dan agama. Tetapi dalam kes ini jemaah surau didahulukan. Jiran-jiran yang tidak kira bangsa dan agama tadi diminta datang setelah jemaah surau selesai baca doa.

Tetapi tadi lain pula ceritanya. Kami jemaah surau dijemput ke satu rumah yang setahu saya tuan rumah belum pernah saya nampak mukanya di surau. Seperti biasa kami diminta datang selepas solat Isya'. Kami siap membawa sekotak surah Yasiin kepunyaan surau dalam jangkaan kami diminta membacanya. 

Setibanya ke rumah berkenaan saya dapati jiran disebelahnya pun mengadakan jamuan makan juga. Cuma jiran ini bukan mengadakan jamuan hari raya kerana mereka berbangsa Cina. Apa nak dikato, dah botombung. Mano tau oghang sobolah tu samo-samo nak buek jamuan maso tu yo?

Itu nak buek macam mano? Kan kito ni satu Malaysia? Tapi yang tidak menyenangkan saya dan mungkin jemaah yang lain ialah sudara mara, kawan-kawan dan mungkin jiran-jiran tuan rumah ini sedang makan di tempat letak kereta apabila kami sampai. Makanan dihidang secara bufe. Kami pun diminta masuk ke dalam rumah. Mujurlah kami tidak membaca Yasiin yang sudah sedia dibawa. Saya tidak tahu sama ada keputusan in dibuat oleh tuan Imam sendiri atau atas permintaan tuan rumah. 

Kami membaca tahlil ringkas dan doa sahaja. Tetapi semasa tahlil dibaca saudara mara, kawan-kawan dan mungkin jiran-jiran tadi terus sahaja makan. Cuma semasa doa mereka menadah tangan yang ada berlumur dengan makanan.

Saya memikirkan ada makanan khas yang disediakan untuk kami. Rupanya tidak. Setelah selesai tahlil ringkas dan bacaan doa kami diminta mengambil makanan di luar bersama-sama jemputan yang lain. Saya nampak beberapa orang jemaah terus meninggalkan majlis dan menuju ke kenderaan masing-masing. Sedang saya menimbangkan sama ada hendak mengikut jejak mereka telefon bimbit saya berdering. Seorang kawan saya ajak saya keluar. Dia nak belanja saya makan, katanya. Apa lagi, pucuk dicita ulam mendatanglah. Saya pun mengikut jejak jemaah yang meninggalkan majlis tanpa makan tadi.

Saya merasa kesal kerana tidak meminta izin dari tuan rumah. Tetapi saya fikir kalau hendak memanggil jemaah surau untuk membaca tahlil dan doa ada etikanya. Suka atau tidak kami hendaklah didahulukan. Sepatutnya tiada siapa pun boleh mula makan sebelum bacaan doa selesai. Juga janganlah kami diminta untuk makan makanan lebihan orang atau 'left-overs'. 

2 comments:

azahar said...

Itulah sebabnya...betulkan yg biasa dan biasakan yg betul...

Anonymous said...

kami pun berasa malu juga kerana tuan rumah adalah jiran berdekatan dgn lorong kami....mungkin panggil jemaah surau utk syarat je...wallahualam