Saturday, September 3, 2011

Bangku bisu.

Pagi tadi aku dan isteri ke pasar awal sedikit kerana membeli persiapan menjamu adik beradik dan saudara mara kami yang dijangka datang beraya di rumah. Biasanya aku menunggu dalam kereta sahaja dan aku biarkan isteri ku membeli sendirian. Oleh itu aku tidak perlu meletak kereta di mana-mana petak. Biarlah petak diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Tetapi pagi tadi tidak. Aku diminta menemani isteri kerana bahan-bahan yang dibeli banyak dan berat. Seperti orang lain aku pun berpusing mencari tempat letak kereta yang kosong oleh kerana petak letak kereta di Pasar Besar Seremban tidak cukup. Tiba-tiba aku nampak satu petak yang kosong dan pada mulanya aku hairan juga mengapa pemandu-pemandu di hadapan tidak mengambil peluang tersebut. Aku pun memutar 'steering' ke kiri, tetapi tiba-tiba aku jadi bengang.

Rupa-rupanya di petak letak kereta yang kosong sudah diletakkan satu bangku plastik. Walau pun bangku itu tidak boleh berkata-kata, maksudnya adalah jelas iaitu 'PETAK INI SUDAH ADA YANG PUNYA'. Mengetahui 'PETAK INI TIDAK ADA YANG PUNYA' aku pun tanpa berfikir panjang memberhentikan kereta, mengalihkan ketepi bangku bisu itu dan meletakkan kereta ku menggantikannya. Di belakang ku kereta berderet berhenti. Orang-orang sekeliling tergamam melihat tindakan ku.  

Aku pun masuk ke pasar dan setelah membeli bahan-bahan yang berat aku kembali ke kereta sedangkan isteri ku meneruskan membeli bahan-bahan yang ringan. Aku bimbang juga jika kereta ku diapa-apakan. Aku perhatikan tidak apa-apa yang cacat dan bangku bisu itu pun sudah tidak ada lagi ditepi kereta ku. Tetapi bila aku berdiri di tepi pasar aku perhatikan bangku itu sudah berpindah ke petak kosong yang lain.

Kesian aku melihat pemandu-pemandu kereta lain tertipu seperti aku tadi. Mereka melihat ada petak kosong di hadapan dan memutar 'steering' ke kiri hanya untuk memutar lurus semula ababila ternampak bangku bisu tersebut. Aku perhatikan tidak ada di antara mereka yang berani menggunakan hak mereka. Takut sungguh mereka kepada bangku yang tidak bernyawa dan boleh di sepak terajang itu.

Aku pun mengalih perhatian ku kepada soalan yang bermain di kepala ku iaitu 'BANGKU INI SIAPA YANG PUNYA?'. Sebelum itu aku mengambil gambar bangku itu dahulu. Aku pun memerhati sekeliling dan nampak satu lagi bangku yang serupa. Aku pun mengambil gambar bangku ini, tetapi kali ini dengan gambar tuan-tuannya sekali. Tuan-tuannya ialah dua orang kanak-kanak lelaki Melayu berumur diantara 5 hingga 7 tahun. Mereka menjual surat khabar dan majalah di tepi pasar. Tapak di mana  mereka berniaga adalah  tempat awam sebenarnya, tetapi itu cerita lain.

Aku pun bertanya adakah mereka yang meletakkan bangku tersebut di petak letak kereta dan mereka mengaku. Aku bertanya lagi kenapa mereka berbuat demikian. Mereka menjawab ayah mereka yang suruh. Aku tidak bertanya lagi tetapi jelaslah bagi ku bangku itu diletakkan di situ menanti kedatangan ayah mereka yang punya perniagaan akhbar dan majalah tersebut. Orang lain berpusing-pusing mencari petak letak kereta yang kosong, tetapi ayah mereka tidak payah berbuat demikian kerana bangku yang amat berkuasa itu.  

Teringat aku semasa kerja dulu apabila masuk dan keluar dari mahkamah terpaksa tunduk. Seorang kawan ku memberitahu kita sebenarnya bukan tunduk kepada Majisteret atau Hakim, tetapi kepada kerusi mereka.

Aku ingat kanak-kanak ini sudah melakukan perkara ini beberapa kali. Oleh itu aku tidak perlu memberi nasihat lagi. Aku pun tunjukkan gambar yang aku ambil dan meminta mereka mengambil balik bangku dari petak letak kereta, jika tidak aku akan laporkan kepada pihak berkuasa. Selang beberapa saat sahaja selepas bangku diambil petak letak kereta itu mempunyai penghuni baru.  

Aku tidak marah jika ayah mereka datang beberapa minit selepas bangku diletak. Tetapi aku berada di pasar itu lebih satu jam dan apabila akhirnya bila isteri ku menjelma semula ayah mereka belum nampak hidung lagi. 
Jika aku tidak mengambil tindakan tadi selama itu jugalah bangku bisu itu menjadi raja di petak letak kereta. 

Kita marah bila melihat anak-anak muda sekarang ramai yang kurang ajar. Mereka mula merokok semasa sekolah lagi, mereka membuang sampah sesuka hati, merempit, membakar mercun tidak menghiraukan anak-anak kecil yang tidur, mencarut dan bermacam-macam lagi. Sebenarnya kita orang dewasa lah mengajar mereka. Contohnya di Pasar Besar Seremban tadi.

Anak-anak yang kecil sudah diajar melanggar undang-undang. Mereka sudah diajar untuk mementingkan diri sendiri sambil tidak peduli kepada kesusahan orang lain. 



Bangku berdiri tegak di petak letak kereta seperti raja atas takhta. Matahari baru nak naik.


Kanak-kanak itu lah yang meletakkan bangku tersebut. Perhatikan juga bangku serupa di belakang mereka.

2 comments:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Tuan Haji.

Begitulah lumrah kebiasaan manusia zaman ini. Masing masing hanya mementingkan diri sendiri.

Boleh jalan lah dengan keperluan orang lain!

Kiasu kings and queens!

Anonymous said...

Maarof

hebat juga episod you semasa berada di pasau besau Seremban tu.... saya boleh bayangkan betapa hot nya motorists bila nampak petang parkir kosong, tetapi ada kerusi.


Saya pun salute kepada mu kerana berani mengalihkan kerusi tu dan parkir kereta mu. Tapi saya rasa hati you pun agak lebih berani bila mengetahui yang meletakkan kerusi itu orang Melayu yg nak jual akhbar. to be honest, agaknya apa reaksi you sekiranya yang meletakkan kerusi tu bangsa Cina dan ala gangste?

Hanya Maarof yang boleh beri jawaban.

Taqoballah huminna wamingqom.

wasalam
MA