Saturday, September 17, 2011

Ingat Pol Pot?

Kalau saya tanya kepada mana-mana orang Melayu 'Siapa Pol Pot?' mungkin ramai yang tak tahu oleh kerana orang Melayu ni malas membaca. 

Saya hanya mendapat pangkat 7 dalam kertas History semasa peperiksaan Malaysia Certificate of Education pada tahun 1967 dahulu. Ini menunjukkan saya memang lemah dalam bidang sejarah.

Tetapi ini tidak menghalang saya dari mengetahui lebih mendalam mengenai orang seperti Pol Pot. Secara amnya Pol Pot ialah seorang ketua komunis negara Cambodia yang telah menyebabkan kematian berjuta rakyat negaranya. Mungkin perkataan 'kematian' juga berbunyi am kerana sebenarnya kematian berjuta manusia itu hasil pembunuhan yang diarahkan oleh Pol Pot. Ada statistik yang mengatakan rakyat manusia berjuta ini ialah 21 % dari jumlah rakyat Cambodia sebelumnya.

Dipendekkan cerita setelah Pol Pot menjatuhkan kerajaan yang sah di Cambodia pada tahun 1975 ia telah membawa negaranya kepada apa yang dikatakan 'Year Zero' atau 'Tahun Sifar'. Segala yang moden dihapuskan seolah-olah dunia ini baru bermula. Sebagai contoh pertanian cara moden menggunakan jentolak tidak dibenarkan dan rakyat Cambodia dikerah bertani menggunakan cangkul dan tangan sahaja. Siapa yang membantah akan dibunuh.

Akibatnya berjuta rakyat Cambodia mati kerana dibunuh dan diserang penyakit. Rakyat Cambodia hanya diselamatkan apabila Vietnam, yang juga sudah menjadi negara komunis menyerangnya. Sekali lagi siapa yang malas membaca cerita Pol Pot ini boleh cari DVD filem seperti 'The Killing Fields'.

Kenapa saya membawa cerita Pol Pot ini? Kerana ramai dari kita yang mempertikaikan kemerdekaan kita. Ada yang berkata si anu dan si anulah pejuang kemerdekaan sebenar dan bukan si anu dan si anu. Paling baru saya baca ialah Perdana Menteri pertama kita Tunku Abdul Rahman dianggap hanya sebagai 'penerima' kemerdekaan dan bukan 'pejuang'.

Saya berasa beruntung kerana sudah bersekolah semasa Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957 dahulu. Saya di Darjah 2 di masa itu dan cikgu-cikgu bercerita mengenai merdeka sahaja walau pun di masa itu saya tak faham langsung apa makna merdeka.

Saya fikir janganlah kita persoalkan siapakah yang memerdekakan kita. Biarlah kita nikmati merdeka ini sepenuhnya dan memandang ke hadapan, bukan ke belakang.

Tetapi kepada mereka yang masih mempersoalkan kemedekaan kita saya ada satu cadangan. Buat seperti apa yang Pol Pot buat ia itu kembali ke 'Year Zero'. Sebagai permulaan kita mansuhkan Perlembagaan negara kita, kerana itu pun ada yang mempertikaikan. Kalau ISA pun boleh dimansuhkan kenapa tidak Perlembagaan juga?

Kemudian kita minta Britain menjajah kita semula. Kali ini kita minta mereka betul-betul jajah kita, kerana ada orang berkata dulu kita sebenarnya tidak dijajah. Buat dokumen penjajahan dan sebagainya. 

Kemudian siapa yang hendak jadi pejuang kemerdekaan bolehlah lawan orang putih ini. Siapa yang nak masuk hutan masuklah ke mana-mana hutan yang masih ada. Senjata tak jadi masalah sebab apabila Perlembagaan kita dimansuhkan tentera kita pun terpaksa letak senjata. Tak payah curi senjata macam Al Maunah dulu. Mana-mana askar yang cerdik boleh buat duit dengan menjual senjata kepada penjuang kemerdekaan era moden ini.

Seperti dulu penjajah baru kita sudah tentu hendak menghapuskan pejuang kemerdekaan kita. Hutan kita pun sudah kecil, sebab Felda sudah banyak dibuka. Jadi senanglah mereka hendak memburu hero-hero baru kita. Senjata mereka juga sudah canggih.

Jika semasa perang pulau Falklands dulu tentera British mendapat pertolongan dari Amerika untuk menunjukkan kedudukan tentera Argentina, di sini mereka boleh meminta pertolongan pihak Singapura untuk menunjukkan kedudukan pejuang kemerdekaan Malaysia baru. Seperti Amerika tentera Singapura pun tidak kurang canggihnya.

Kemudian tentera udara Britain tak payah guna pengebom canggih. Pesawat Harrier mereka sudah cukup untuk mengebom pejuang kemerdekaan kita.

Saya fikir ini saja caranya untuk kita  menentukan siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan kita. Cuma apa yang saya tak mahu lihat, seperti kes Pol Pot dan Cambodia, ialah negara jiran kita yang lebih canggih alat ketenteraannya menyerang dan menakluk negara kita pula.

Sekian untuk renungan sahaja.




 


1 comment:

Wan Sharif said...

Khabarnya.. dokumen yang di bincang oleh Mat Sabu tu dari Arkib .. tulisan dari Umno Johor.. entah lah
Trengganu ada A Rahman Limbong, Tokku Paloh, Tok Lam, Sheikh Ibrahim.. Kelantan ada Tok Janggut.. Pahang ada Datuk Bahaman, Mat Kilau dan lain lain.. semuanya Penentang British yang di khabarkan tidak pernah menjajah..
Orang Gganu kata Kok panda mung lah..
sejarah ni ikut selera penulis.. kalau penulis tu pembangkang.. cerita nya tak sampai ke massa.. kalau penulisnya pro-penguasa.. maka akan tersohorlah penulis itu adanya..
Kita tahu bintang tiga banyak membunuh ..samada yang di bunuh itu talibarut jepun atau tidak.. Wallahua'lam..