Wednesday, September 28, 2011

Mendengar guruh di langit....





Ada peribahasa Melayu berbunyi 'Mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan'. Mungkin generasi muda akan bertanya mana datangnya peribahasa itu?


Di masa dulu-dulu bekalan air paip hanya dibekalkan di bandar. Orang kampung mendapat bekalan air dari perigi, sungai dan langit. Air dari langit tidak lain tidak bukan air hujan. Atap rumah menjadi bahan tadahan air dan air ini kemudian disalurkan ke tempayan.


Ada tempayan diletakkan di dalam rumah, biasanya di dapur dan ada juga di luar rumah. Di luar rumah biasanya berhampiran tangga. Air tempayan di dapur digunakan untuk masak memasak dan air tempayan di tangga ialah untuk membasuh kaki sebelum memasuki rumah.


Akibat perjalanan masa air di tempayan akan menjadi kurang bersih. Maklum sahajalah tangan yang memegang gayung untuk mengambil air boleh mencemarkannya. Tidak kurang juga tempayan menjadi tempat pembiakan nyamuk. 


Oleh itu sudah menjadi kebiasaan apabila hujan turun air yang berada dalam tempayan akan diganti dengan air hujan yang sedang turun. Orang yang bijak tidak akan menadah terus air hujan yang turun, tetapi membiarkannya membersihkan atap dahulu. Maklumlah atap yang sudah lama tidak ditimpa hujan akan berdebu. Setelah hujan turun beberapa minit barulah airnya ditadah. Untuk tujuan ini sudah disediakan saluran yang menyalurkan air tadahan terus ke dalam tempayan.


Saya boleh menceritakan ini secara terperinci kerana telah mengalaminya semasa saya kecil-kecil dulu sebelum bekalan air paip masuk ke kampung kami.


Seperti sekarang ada kalanya kita mendengar guruh dentum mendentum tetapi hujun tidak turun. JIka turun pun ia turun di tempat lain. Bagi kita yang tidak menggunakan tempayan hujan turun atau sebaliknya tidak menjadi hal bagi kita. Tetapi jika tempayan sudah dikosongkan sedangkan hujan tidak turun kita sudah kehilangan satu elemen yang penting dalam hidup kita iaitu air. 


Dari itu peribahasa 'Mendengar guruh dilangit air di tempayan dicurahkan' bermakna lebih kurang 'Membuang segala yang ada kerana menjangkakan gantinya akan tiba'. 


Saya menulis pos ini untuk mengingatkan seorang kawan saya yang berniat membuang apa yang ada padanya kerana menjangka gantinya akan tiba.  Saya harap dia tidak 'mencurahkan air yang ada dalam tempayannya hanya kerana mendengar guruh di langit'. Tidak payahlah saya ceritakan identiti kawan saya ini. Saya harap pos ini sampai kepadanya dan dia membuat keputusan yang bijak.

No comments: