Sunday, September 18, 2011

Sungai Ujung dan Perdana Menteri.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa nama lama untuk Seremban ialah Sungai Ujung. Saya tidak tahu kenapa perlu pertukaran nama itu. Tetapi untuk mengekalkan nama itu jalan yang menghubungi bandar Seremban dengan Lebuhraya Utara - Selatan diberi nama Jalan Sungai Ujung.

Selain itu Dato' Undang untuk Seremban juga masih bergelar Undang Luak Sungai Ujung. Di samping itu terdapat sebuah kelab bernama Kelab Sungai Ujung bertentangan dengan ibu pejabat SPRM Negeri Sembilan.

Saya tidak pernah tahu akan asal usul nama Seremban tetapi saya boleh mengagak akan asal usul nama Sungai Ujung. Tidak ada tampat di Seremban yang bernama Ujung, melainkan Kampung Ujung Pasir. Juga tidak ada sungai yang bernama Sungai Ujung. Jadi mana datangnya nama Sungai Ujung?

Saya fikir nama Sungai Ujung timbul dari sebutan salah dan terbalik untuk 'ujung sungai' atau hulu sungai. Memang tepat Seremban terletak di hujung (ejaan semasa untuk ujung) sebuah sungai. Sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Linggi. Jadilah nama Sungai Ujung, walau pun tidak kekal. Mujurlah nama itu diabadikan sebagai nama jalan, gelaran pembesar negeri dan kelab. 

Kebanyakan orang Cina di Seremban menyebut nama bandar ini sebagai 'Fu Yong' yang seirama dengan Sungai Ujung. Adakah secara kebetulan, saya tidak tahu.

Sungai Ujung ialah satu contoh penggunaan bahasa Melayu yang salah. Tetapi ramai dari kita yang tidak sedar tentang satu lagi cotoh salah bahasa. Sebutan itu ialah 'Perdana Menteri' yang sebenarnya salah. Sebutan sebenar sepatutnya 'Menteri Perdana'. Kalau Dato' Seri Najib berani memansuhkan ISA saya tidak tahu jika dia berani membetulkan sebutan salah jawatan yang dipegangnya sekarang. 

Berdasarkan kepada 'Menteri Besar' sebutan 'Ketua Menteri' juga salah dan sepatutnya 'Menteri Ketua'. Saya fikir perkataan 'ketua' di permulaan sebutan hanya boleh dibuat untuk satu kumpulan, contohnya 'ketua pasukan' dan 'ketua perbarisan'. Untuk satu-satu jawatan sepatutnya ia disebut selepas nama jawatan, contoh 'Hakim Ketua' bukan 'Ketua Hakim' dan 'Doktor Ketua'  bukan 'Ketua Doktor'. Saya lihat di Indonesia 'Chief Judge' disebut 'Hakim Ketua'.

'Amerika Syarikat' untuk 'United States of America?' Jangan tanya saya.



1 comment:

Abu Nu'man said...

menarik teori tuan haji. mungkin ada benarnya. tapi ada baiknya juga tuan haji refer pada persatuan sejarah n.sembilan. keahlian masih dibuka. antara topik yang sering dikaji oleh persatuan sejarah negeri sembilan sekarang ialah tentang asal usul panglima awang hitam yang dikatakan berasal dari rembau. menarik kan?