Beberapa hari lepas saya menonton di TV cerita mengenai Pablo Escobar yang pernah digelar sebagai 'Drug Lord'. Dalam Bahasa Melayu ia bermakna lebih kurang 'Raja Dadah' kerana ia tidak layak untuk digelar sebagai seorang pengedar dadah sahaja. Sehingga ada orang menggelarkannya 'World's Greatest Outlaw' atau 'Penjenayah Paling Agung di Dunia'. Dia juga pernah menjadi orang ketujuh paling kaya di dunia.
Di Malaysia seorang yang memiliki beberapa gram dadah sahaja boleh dihukum gantung sampai mati. Apa lagi seorang Raja Dadah yang memproses berpuluh tan dadah. Oleh itu negaranya Colombia mengisytiharkan perang terhadapnya.
Semua orang tahu dadah ialah pembinasa manusia. Tetapi apa yang membuatkan kerajaan Colombia memburunya ialah kerana Pablo Escobar seorang pembunuh. Dia membunuh siapa sahaja yang menghalang kegiatan jenayahnya, termasuk anggota polis, pendakwa dan hakim.
Membunuh pihak berkuasa yang dilantik untuk menjaga keamanan menjadi kesilapan besarnya. Jika kita membaca atau menonton cerita penjenayah mafia di Amerika, mereka jarang-jarang membunuh pihak berkuasa. Mereka cuma membunuh musuh-musuh di kalangan mereka sendiri.
Pihak Amerika juga menolong pihak berkuasa Colombia memburu dan akhirnya membunuh Pablo Escobar sama seperti mereka menolong Britain semasa mereka berperang dengan Argentina dalam krisis Pulau Falklands dulu. Kedua-dua negara Colombia dan USA akhirnya merasa amat lega kerana terhapusnya penjenayah amat dikehendaki ini.
Tetapi walau pun Pablo Escobar menjadi musuh nombor satu negaranya ramai pula yang menganggapnya sebagai seorang jaguh atau 'hero'. Dadah 'cocaine' yang diprosesnya datang dari pokok 'coca'. Sudah tentu ramai petani 'coca' senang hati kerana hasil tanaman mereka mempunyai pembeli tetap seperti Escobar. Begitu juga ramai rakyat Colombia dan bukan Colombia cari makan melaluinya. Sebagai contoh pemeroses cocaine, pengawal peribadi, pemandu, juruterbang dan tidak kurang penting para pengedar dadahnya di Colombia, Amerika Selatan, USA dan mungkin seluruh dunia.
Tidak hairanlah rancangan TV itu juga menunjukkan beratus dan mungkin beribu manusia meratapi kematian Pablo Escobar.
Siapa kata penjenayah tidak boleh dianggap hero?
No comments:
Post a Comment