Monday, November 14, 2011

Tajuk perlu sesuai.

Siapa Brian Epstein? Mungkin ramai yang tidak tahu. Tetapi bila ditanya siapa The Beatles berjuta yang tahu. Tetapi berjuta juga tidak tahu tanpa Brian Epstein mungkin beratus sahaja yang kenal The Beatles. Sebab Brian Epsteinlah orang yang yang mengenalkan The Beatles kepada dunia.

Sebelum kenal The Beatles Brian Epstein menguruskan kedai rekod keluarganya di Livepool, England. Satu hari datang seorang bertanyakan satu rekod lagu My Bonnie nyanyian Tony Sheridan diiringi kumpulan bernama The Beatles. Tiba-tiba Brian teringat kumpulan dengan nama itu sedang bermain di satu kelab bernama The Cavern di bandar itu. Brian pun pergi melihat The Beatles membuat persembahan. Apabila sahaja Brian Epstein melihat mereka Brian seperti jatuh cinta pandang pertama terhadap The Beatles. 

Brian Epstein kemudian menawarkan diri untuk menjadi pengurus The Beatles. Sejak itu mulalah sejarah kemasyhuran The Beatles dengan usaha Brian Epstein. Saya merasa bertuah kerana di era The Beatles saya masih dalam belasan tahun di mana muzik menjadi penghibur utama saya. Hidup saya seperti tidak sempurna jika tidak mendengar satu lagu The Beatles dalam sehari.

Dulu semasa zaman kaset anak-anak saya sama-sama menyanyi lagu The Beatles semasa saya memainkannya di kereta. Sekarang di zaman CD dan 'flash drive' cucu-cucu saya pula yang sama-sama menyanyi lagu-lagu The Beatles di dalam kereta juga. 

Nasib baik juga era The Beatles telah berlaku. Dua anggota The Beatles telah meninggal dunia. Brian Epstein juga meninggal dunia semasa The Beatles berada di puncaknya. Saya berkata begitu kerana Brian Epstein ialah seorang Yahudi dan fakta ini mungkin tidak disenangi oleh orang-orang kita di Malaysia jika The Beatles dan Brian Epstein masih ada.

Satu lagi fakta yang mungkin memeranjatkan ialah Brian Epstein sebenarnya seorang 'gay'. Dua fakta iaitu Yahudi dan 'gay' sudah cukup untuk menghalang Brian Epstein membawa The Beatles datang ke Malaysia untuk membuat persembahan jika mereka masih ujud sekarang.

Brian Epstein pernah mengarang satu buku autobiagafi dirinya. Bila beliau meminta pendapat John Lennon iaitu ketua The Beatles untuk tajuk bukunya John terus menjawab 'Queer Jew'. 'Queer' ialah gelaran lain untuk seorang bertabii seks lain seperti 'gay' dan 'Jew' ialah bahasa Inggeris untuk Yahudi. Sudah tentu Brian tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana sekali pandang di kulit buku mendedahkan identitinya. Saya tidak pasti apakah tajuk yang disetujui oleh Brian akhirnya. 

Saya nampak perkataan 'Queer' baru-baru ini sebagai sebahagian dari ungkapan dalam dalam program apa yang dinamakan 'Seksualiti Merdeka'. Ungkapan penuhnya ialah 'Queer Without Fear' atau lebih kurang maknanya 'Bertabii seks songsang tanpa takut'. 

Ramai orang membantah terhadap program 'Seksualiti Merdeka' itu. Saya pun terpengaruh pada mulanya terhadap bantahan ini kerana ungkapan 'Seksualiti Merdeka' boleh disalah ertikan. Mula-mula saya fikir ia bermakud 'seks bebas'. Tetapi setelah meneliti lanjut saya dapati ia tidak bukan dari satu forum untuk membincangkan nasib mereka yang bertabii seperti Brian Epstein itu.

Saya pernah bertanya kepada seorang 'gay' bagaimana dia boleh jadi begitu. Jawapannya dia anak bongsu dari adik beradik yang lain semua perempuan. Dari kecil pula dia hanya berkawan dengan perempuan. (Untuk kawan yang dimaksudkan jangan ambil hati ya, identiti mu tetap ku jaga).

Sebenarnya saya sendiri nyaris jadi 'gay'. Bapa saya dahulu pernah kahwin beberapa kali tanpa mendapat anak. Tiba-tiba dengan ibu saya dia mendapat anak pula. Anak pertama ialah seorang lelaki iaitu abang saya. Tiba pula giliran saya yang dijangkakan perempuan. Bapa saya telah bersedia dengan pakaian bayi dan perhiasan perempuan untuk saya. Apabila saya lahir saya dipakai dengan pakaian perempuan siap dengan perhiasan. Bagaimana saya tidak berubah menjadi 'gay' tuhan sahaja yang tahu. 

Berbalik kepada program 'Seksualiti Merdeka'. Saya fikir kesilapan penganjur ialah menggunakan tajuk yang mengelirukan. Oleh itu apa-apa tujuan mereka dianggap serong. Mereka sepatutnya mendengar pendapat dari seorang genius seperti John Lennon untuk menapatkan tajuk yang sesuai.

Janganlah kita pandang hina kepada manusia yang bertabii lain itu. Mereka sudah dilahirkan begitu. Mungkin pengaruh manusia lain juga membuatkan mereka begitu. Bagi saya jika tidak ada seorang  'queer' seperti Brian Epstein telefon bimbit saya tidak akan berbunyi lagu-lagu Beatles bila orang memanggil saya. Anak-anak saya juga tidak akan menyanyi lagu 'Yellow Submarine' dan cucu-cucu saya tidak akan menyanyi lagi 'I am the Walrus'. 

1 comment:

Abu Nu'man said...

Assalamualaikum wrh wbt...

Izinkan saya menegur sedikit tuan haji. Sebagai orang muslim, kita wajib mengikut apa yg telah tertulis dlm syariat. Syariat jelas mengatakan perhubungan sesama jantina adalah dilarang sama sekali. No compromise. Masalahnya ramai golongan sebegini menyalahkan takdir (sbg contoh, sahabat tuan haji). Ada ramai lagi yg berdepan situasi adik beradik mereka semuanya perempuan. Namun, kecenderungan mereka tetap tidak melawan fitrah (cuma perwatakan lembut sahaja). Saya juga pelik mengapa alasan sedemikian boleh ditimbulkan sedangkan hidup kita bukan hanya di rumah. Kita punya rakan lelaki di sekolah, di tempat kerja dan kawasan kejiranan. Malah Islam juga punya penyelesai masalah dalam hal sebegini. Mengikut buku pendidikan anak2 dlm Islam karangan Syeikh Abdul Nasseh Ulwan, jika adik beradiknya semua perempuan, adalah digalakkan membawa anak lelaki dgn kerap ke masjid supaya dapat bergaul dgn kaum lelaki (beliau berckp dlm konteks ketika mana sekolah belum lagi menjadi official dan wajib). Jika Islam bersetuju dgn kumpulan 'queer' ini, maka tiadalah kisah azab kepada kaum Nabi Luth diceritakan dalam Al Quran