Thursday, November 5, 2015

Siapa yang menyamar sebenarnya?

Saya tertarik dengan satu video yang dihantar melalui laman sosial Facebook oleh seorang pegawai Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Ia mengenai dua orang lelaki Melayu yang kononnya menyamar sebagai pegawaai MPS. Jelas seorang dari mereka menyebut dari jabatan 'Perancang' bermakna Jabatan Perancang Bandar, MPS.

Ini mengingatkan saya pada filem 'Midnight Run' lakunan Robert De Niro. Ceritanya mengenai seorang akauntan yang pernah bekerja dengan seorang gangster. Dia telah melesapkan berjuta dolar US dari akaun gangster tersebut. Gangster itu pun mengupah orang untuk mencari akauntan tersebut untuk tujuan dibunuh. Mereka gagal mengesannya.

Badan risikan FBI dengan diketuai oleh seorang agennya pun mencari akauntan tersebut untuk tujuan menjadi saksi terhadap perbuatan jenayah gangster itu. Tetapi dengan bantuan polis yang mempunyai  helikopter dan sebagainya agen itu juga gagal mengesan akauntan tersebut.

Akhirnya seorang 'bounty hunter' diupah oleh satu syarikat penjamin untuk mencari akauntan tersebut dalam masa terhad, jika tidak duit jaminan yang dibayar oleh akauntan itu kepada mahkamah akan hangus.

Agen FBI itu mengejek 'bounty hunter' dengan kata-kata 'Jangan haraplah kau dapat cari dia'. Tanpa disedari 'bounty hunter' tersebut mencuri kad kuasa agen tersebut semasa ejekan tersebut.

Dengan menyamar sebagai agen FBI, 'bounty hunter' telah menggunakan tipu daya dan menahan akauntan itu dalam masa beberapa hari sahaja. Agen FBI pula malu nak melaporkan kecurian kad kuasanya, takut kena tindakan tata-tertib seperti dibuang kerja atau dipenjara.

Akhirnya agen FBI memerangkap agen menyamar dan berkata 'Kau tau tak yang kau boleh dipenjara sepuluh tahun kerana menyamar sebagai seorang pegawai persekutuan?' Penyamar atau 'bounty hunter' menjawab 'Oh sepuluh tahun ya, kenapa tak ada orang yang cari kau?' Agen FBI tidak berani nak buat apa-apa.

Moral cerita ialah kalau kita bekerja tak betul atau teruk, samalah seperti kita menyamar.

Saya berbalik kepada penyamaran di Seremban tadi. Sebelum itu ada kawan Facebook saya seorang pegawai tentera bertanya 'Apa dia orang dapat menyamar?' Jawapan saya senang 'Nak dapat duit rasuahlah' atau lebih tepat duit perasugut kerana mereka bukan penjawat awam'.

Soalan saya adakah sesuatu yang tidak kena di MPS amnya atau di Jabatan Perancang Bandar mereka khususnya sehingga ada orang luar yang berani menyamar sebagai pegawai mereka?. Adakah pegawai-pegawai mereka bekerja tak betul atau teruk sehingga ada orang lain yang sanggup mengaku (dan mungkin meyakinkan) sebagai pegawai awam?

Sebelum itu mungkin ada orang yang tidak senang dan berkata saya sendiri pun teruk masa bekerja dulu. Untuk itu jawapan saya ialah jika saya teruk, tentu boss saya tidak sabar untuk mengucapkan 'selamat jalan' kepada saya apabila saya nak bersara dulu. Tetapi kenapa beliau sebaliknya mengambil saya bekerja semula selama empat tahun selepas saya bersara? Sedangkan menggaji seorang pegawai yang baru lulus latihan tentu lebih murah.

Dan baru tadi saya hadir di satu seminar anjuran Kementerien Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Negeri Sembilan. Semasa saya beratur di jamuan makan Timbalan Pengarah jabatan itu memanggil saya untuk duduk satu meja dengannya. Baru saya ingat dia dulu selalu datang mewakili jabatannya untuk operasi bersama kami. Kalau dia tahu perangai saya teruk adakah dia sanggup mempelawa demikian?

Sekian.     

No comments: