Wednesday, December 31, 2008

Yamtuan Mangkat, Yamtuan Menanam

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Saya mengucapkan beribu-beribu tahniah dan terima kasih kepada Undang yang Empat Negeri Sembilan iaitu negeri tumpah darah saya kerana telah membuat pilihan yang tepat dalam perlantikan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 1 Muharram 1430 bersamaan 29 Disember 2009 baru-baru ini.

Mungkin ada yang bertanya apa bezanya Yamtuan dan Yang Di Pertuan Besar? Sebenarnya itu adalah sama. Yamtuan ialah sebutan Yang Di Pertuan Besar dalam loghat Negeri Sembilan.

Ramai orang terutama yang tidak mengetahui salah silah institusi raja di Negeri Sembilan terperanjat dengan perlantikan Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke sebelas menggantikan Yang Di Pertuan Besar sebelumnya Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Ada yang meminta saya menerangkan secara SMS. Oleh kerana ceritanya sedikit panjang saya terpaksa membuat satu email khas dan menerangkan kepada kenalan-kenalan saya.

Tetapi saya tidak terperanjat langsung. Saya sudah menjangka Undang yang Empat sekarang tidak akan mengulangi kesilapan yang dibuat oleh Undang yang Empat 41 tahun yang lalu. Kesemua Undang yang Empat 41 tahun yang lalu telah meninggal dunia dan digantikan dengan Undang yang Empat yang baru.

Apa yang unik mengenai Undang yang Empat ini ialah mereka terdiri dari rakyat biasa dan bukan dari keturunan raja. Inilah salah satu keunikan Adat Perpatih. Saya sekarang dalam proses mengkaji Adat Perpatih ini dan Insya Allah saya akan cuba muatkan dalam blog saya ini.

Berbalik kepada perlantikan Yang Di Pertuan Besar ini. Jika saya hendak memulakan dari mula iaitu dari zaman Raja Melewar iaitu Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan pertama ceritanya agak panjang. Oleh itu saya mulakan dengan zaman moden ini.

Tarikh permulaan ialah 31 Ogos 1957 iaitu hari keramat dimana Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Di hari itu jugalah Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan semasa itu Tuanku Abdul Rahman diberi penghormatan menjadi Yang Di Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi perhormatan kepada Negeri Sembilan ialah gelaran 'raja' untuk Persekutuan Tanah Melayu dan sekarang Malaysia ialah ikutan panggilan 'raja' Negeri Sembilan.

Oleh kerana timbul kekosongan jawatan Yang Di Pertuan Besar di Negeri Sembilan putera sulung Tuanku Abdul Rahman iaitu Tuanku Munawir telah dilantik menjadi Pemangku Yang Di Pertuan Besar di hari yang sama. Saya kurang pasti sama ada perlantikan Pemangku ini melibatkan Undang yang Empat. Ini kerana di zaman Tuanku Jaafar baginda seolah-olah melantik sendiri Pemangkunya tanpa melibatkan Undang yang Empat.

Tuanku Abdul Rahman mangkat pada tahun 1960. Seperti yang kita pernah lihat beberapa kali jenazah Yang Di Pertuan Agong yang mangkat dibawa atau dipulangkan ke negeri asalnya untuk dimakamkan. Disinilah sebutan 'Yamtuan Mangkat, Yamtuan menanam' dikotakan. Sebelum dimakamkan Yang Pertuan Besar yang baru hendaklah dilantik. Kemudian tugas pertama baginda ialah mengarahkan pemakaman Yang Di Pertuan Besar yang mangkat.

Pada tahun 1960 itu sudah tentulah Tuanku Munawir diisytiharkan sebagai Yang Di Pertuan Besar yang baru oleh Undang yang Empat.

Tuanku Munawir pula mangkat pada tahun 1960 di usia 45 tahun. Sepatutnya anak lelaki baginda iaitu Tunku Muhriz dilantik menggantikan baginda. Tetapi mengikut ceritanya Undang yang Empat menganggap baginda terlalu muda untuk memegang jawatan Yang Di Pertuan Besar. Tunku Muhriz berumur 18 tahun di waktu itu. Oleh itu adinda tiri kepada Tuanku Munawir iaitu Tuanku Jaafar dilantik sebaliknya.

Disinilah timbul ketidakadilan dalam sistem raja di Negeri Sembilan. Jika Tunku Muhriz dianggap terlalu muda pada mulanya mengapa jawatan itu tidak diberikan kepadanya apabila baginda dianggap sudah dewasa? Kata orang putih 'Justice delayed is justice denied' atau 'Keadilan yang ditangguh ialah keadilan yang dinafi'. Oleh itu Tunku Muhriz telah dinafikan haknya.
Malang sekali ketidakadilan ini dilakukan oleh mereka yang bukan berdarah raja iaitu Undang yang Empat.

Dengan terlantiknya Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 1 Muharram 1430 bersamaan 29 Disember 2008 baginda telah mendapat semula hak baginda yang telah dinafikan 41 tahun yang lalu. Saya dan rakyat Negeri Sembilan yang lain berharap kesilapan yang dibuat lebih 40 tahun yang lalu tidak akan berulang lagi selama-lamannya.

Saya harap Tuanku akan menjadi raja yang betul-betul adil kepada rakyat jelata. Saya sendiri pernah mengalami dan melihat sendiri keadaan sumbang di Istana Besar Seri Menanti. Saya ada masukkan dalam pos saya di sini http://maarofkassim.blogspot.com/2008/06/naik-terror-ride.html.


Adalah harapan saya supaya perkara-perkara yang saya sebut itu tidak berulang kembali.

Daulat Tuanku.

1 comment:

Anonymous said...

Maarof

Sayo pun sememangnya eh tolah mengagak atau menjangka yang undang yang empat 'mesti' lantik Tuanku Mukhriz menjadi Yamtuan N9 baru.

Saya pun bersembang dengan orang rumah (yang bukan orang N9) rajo yang patut naik jadi Yamtuan ialah Tuanku Mukhriz. Kalau undang yang ompek yang kira orang baru tidak lantik akan ada yang protest macam berlaku di Jelebu sedikit masa dulu, bila orang yang tidak sepatutnya jadi undang dilantik menjadi undang. Begitu juga ada kecoh diperlantikan undang Sungai Ujung. giliran 'perut' tidak betul. Sekarang ada juga orang main kong kali kong didalam perlantikan undang yang ompek tu.

Betul lah kato kau tu. Boto lah tu, yang hak poi kepada yang berhak. Bayang kanlah betapo 'porit' eh derito yang di tanggung oleh Tuanku Mukhriz.

Semuga Tuanku Mukhriz akan menjadi Yamtuan yang adil dan akan membawa banyak kemajuan kedalam N9. Walau pun maso mudo dulu, ado jua a small perkara yang tak sodap dibuek oleh Tuanku yang maso tu, berdarah mudo.

Wallah hu Aklam

wassallam
MA