Thursday, April 29, 2010

Ikut arahan polis.

Saya tumpang berdukacita terhadap kematian adik Aminul Rasyid yang meninggal dunia kerana ditembak polis di Shah Alam. Kejadian berlaku selepas Pilihanraya Kecil P 94 Hulu Selangor. Saya tidak boleh bayangkan jika kejadian terjadi sedang kempen rancak berjalan. Kebetulan pilihanraya dan kejadian tembakan berlaku di negeri yang sama. Adakah kejadian ini akan mengubah keputusan pilihanraya? Saya tidak berani nak jawab.

Ini bukan pertama kali kita mendengar atau membaca cerita yang serupa. Kejadian serupa berlaku di seluruh dunia. Ia juga ditunjukkan di dalam filem-filem. Dalam filem 'Devil's Own' lakunan Brad Pitt ada ditunjukkan polis menembak mati seorang remaja yang lari dan disangkakan mempunyai senjata.

Banyaklah tuduh menuduh terkeluar di laman-laman web seperti blog dan sebagainya. Pihak polis menjadi tumpuan tuduhan. Tetapi tidak terfikirkah kita akan kesalahan kita juga. Lihatlah di sekeliling kita betapa ramainya kanak-kanak yang berumur serendah sepuluh tahun menunggang motosikal?

Mungkin menunggang motosikal cuma susah sedikit dari menunggang basikal. Lebih-lebih lagi sekarang ada motosikal dan skuter seperti Yamaha EGO dan Modenas Karisma yang fungsinya tangannya betul-betul seperti basikal. Kaki kita tidak berfungsi langsung. Oleh itu kanak-kanak yang tahu menunggang basikal boleh menunggang motosikal dan skuter tanpa diajar.

Bagaimana pula dengan kereta? Saya tidak percaya adik Aminul belajar membawa kereta dengan sendirinya. Sudah tentu ada orang dewasa yang mengajarnya. Sepatutnya siapa yang mengajar adik Aminul membawa kereta juga merasa bersalah dalam kes ini.

Kenapa kerajaan meletakkan had umur minima untuk pengeluaran lesen memandu kenderaan bermotor? Sebab lebih kita dewasa lebih matang pemikiran kita. Saya sudah berkali-kali hampir kemalangan jalanraya, cuma pengalaman menyelamatkan saya.

Saya juga mempunyai saudara dan kawan-kawan dari anggota polis. Dalam kerja dulu pun saya sering meminta bantuan pihak polis terutama dalam operasi. Pesanan mereka senang sahaja iaitu 'Ikut arahan polis.' Saya mematuhi arahan mereka walau pun ada arahan itu saya kurang bersetuju.

Ada juga arahan polis itu bertentangan dengan arahan asal jabatan saya. Tetapi bila balik ke pejabat dan ditanya oleh boss jawapan saya senang sahaja iaitu 'Saya ikut arahan polis.'

Saya masih ingat dalam satu operasi yang sensitif Yang Di Pertua saya mengarahkan boss saya sendiri mengetuainya. Seperti biasa pihak polis diminta membantu, kali ini diketuai oleh seorang berpangkat ASP. Tetapi boss saya tidak mengindahkan arahan polis. Akibatnya boss saya kena pukul oleh orang awam. Itu baru kena pukul. Kalau kena tikam senjata tajam bagaimana?

Sama jugalah dengan kes adik Aminul. Dari apa yang saya baca dia tidak mengindahkan arahan polis supaya berhenti. Mungkin dia panik kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Saya tidak mahu memberi komen apa-apa kerana tidak mengetahu cerita sebenar. Saya minta maaf jika menyinggung sesiapa.

Tetapi jika apa yang saya baca itu benar dan adik Aminul 'ikut arahan polis' mungkin dia masih hidup sekarang.

3 comments:

Abu Nu'man said...
This comment has been removed by the author.
Abu Nu'man said...

Memang tidak boleh dinafikan adik Aminulrasyid telah melakukan suatu kesalahan. Namun, apakah kesemua kesalahan itu jika disabit boleh dijatuhkan hukuman bunuh? Jika seorang murid lari daripada ditangkap guru kerana merokok, adakah guru tersebut boleh membelasah pelajar tersebut sehingga koma atau mati? Bunuh adalah satu perkara yang besar dalam Islam dan ianya hanya dibenarkan jika berlaku peperangan dan ke atas sesiapa yang murtad.Itupun jika si murtad didapati boleh membahayakan agama Islam sahaja dibenarkan untuk dibunuh. Bunuh adalah perkara yang berat kerana ianya eksklusif milik Allah.Hanya Allah yang boleh kebenaran untuk hukuman bunuh. Syarat-syarat untuk dibenarkan hukuman ini boleh didapati dalam Al Quran dan hadis. Dahulu kita mengutuk Taliban yang membunuh sesiapa yang didapati bersalah. Adakah sekarang kita menyokong tindakan itu pula?Wallahu a'lam.

abdulhalimshah said...

Saya sokong pandangan Tuan Haji Maarof tentang nasihatnya supaya mengikuti arahan polis. Dalam kes ini, kereta yang dipandu secara tidak cekap itu telah pun terlibat dalam kemalangan kecil dengan melanggar sebuah kereta Mercedes Benz dan kemudian melanggar pula motosikal. Setelah diminta berhenti, kereta tersebut cuba merempuh Polis dan mungkin kerana itu beberapa das tembakan yang telah dilepaskan mengenai pemandunya.
Pengajaran yang disampaikan oleh Tuan Haji itu memang tepat sekali. Bagi seorang murid berumur 15 tahun, dia sepatutnya berada dirumah pada jam 2 pagi.Walaupun begitu, ajal maut adalah ditentukan ALLAH S.W.T.