Saturday, April 17, 2010

Menyamar

Bila membaca cerita mengenai 'Tuan Muda Pahang' yang menyamar saya teringat bahawa saya pun pernah 'menyamar' juga, walau pun dalam keadaan berbeza.

Jabatan saya mempunyai jawatan Pegawai Pendakwa. Tetapi bila Pegawai Pendakwa ini tidak dapat hadir bekerja kerana bercuti atau berkursus seorang pegawai lain dikehendaki menggantikannya untuk mendakwa kes-kes di mahkamah. Semasa saya masih bekerja dahulu 80% dari penggantian ini diserahkan kepada saya.

Ada satu ketika apabila jawatan Pegawai Pendakwa ini kosong selama enam bulan kerana pemegangnya berhenti untuk bekerja di jabatan lain. Saya diminta untuk memangku jawatannya dalam tempoh tersebut. Di dalam tempoh itu juga saya seolah-olah 'menyamar' satu hari dalam seminggu.

Saya dikehendaki hadir ke Mahkamah Majisteret Seremban pada tiap-tiap hari Selasa. Isteri saya Salmah pun tahu. Pada tiap-tiap pagi Selasa dia akan menggosok seluar hitam dan baju lengan putih untuk saya. Tali leher dan 'coat' saya tinggalkan di pejabat.

Di masa itu Mahkamah Majisteret Seremban masih terletak di Jalan Campbell, Seremban berhadapan dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Seremban. Sekarang kedua-duanya sudah berpindah ke Seremban 2.

Apabila sahaja saya sampai ke kompleks mahkamah bermulalah 'penyamaran' saya. Bukan apa, pakaian peguam dan pegawai-pegawai pendakwa adalah sama iaitu seluar hitam, baju putih bertali leher dan memakai 'coat' hitam. Cuma pegawai-pegawai pendakwa dari Polis, JPJ, Kastam dan Bomba memakai pakaian seragam mereka.

Dari itu juga orang awam yang datang ke mahkamah, sama ada sebagai orang kena tuduh, penjaman atau cuma sebagai pemerhati tidak dapat membezakan antara peguam dengan pegawai pendakwa.

Pada satu pagi apabila sahaja saya meletakkan kereta saya, seorang peguam perempuan Cina telah menegur saya kerana tidak memasukkan duit ke dalam meter letak kereta. Saya terus menjawab bahawa saya bukan seorang peguam tetapi pegawai pendakwa jabatan saya. Oleh kerana meter letak kereta ini di dalam kuasa jabatan saya, saya tidak perlu membayar apa-apa. Saya juga menunjukkan pelekat khas di kereta saya.

Saya nyatakan kepadanya bahawa antara tujuan saya datang ke mahkamah hari ini ialah mendakwa mereka yang gagal memasukkan duit ke meter letak kereta. Dia terus ketawa mendengar jenaka sindiran saya sambil berkata dia mula-mula menyangka saya seorang peguam.

Saya tidak menukar pakaian sehingga petang setelah balik dari mahkamah. Cuma saya menyangkut 'coat' dan tali leher saya di tempatnya. Nanti kalau memakai 'coat' di pejabat melebehi ketua saya pula. Kalau ada operasi di luar saya berpakaian seluar hitam dan baju lengan panjang putih sedangkan kawan-kawan saya yang lain berpakaian seragam. Seronok juga memakai lain dari yang lain. Apabila ada yang bertanya kenapa saya tidak berpakaian seragam jawapan saya ialah "Saya ke mahkamah pagi tadi."

Bercakap mengenai menyamar ini saya teringat kepada satu filem bernama 'Midnight Run' lakonan Robert De Niro. Dia berlakon sebagai seorang pemburu upahan atau 'bounty hunter' untuk memburu seorang akauntan yang lari dari satu firma 'bail bonds' atau lebih kurang satu syarikat ikat jamin. Pihak Mafia pun memburu akauntan ini dengan tujuan membunuhnya kerana menggelapkan duit mereka dan juga supaya dia tidak menjadi saksi terhadap mereka. Pihak FBI sama-sama memburu akauntan ini untuk dijadikan saksi mereka terhadap Mafia.

Bertahun-tahun pihak Mafia dan FBI memburu akauntan ini tetapi tidak berjaya. Tetapi hero kita dengan pengalamannya sebagai seorang bekas polis dapat menangkap akauntan ini dengan senang. Tetapi ia juga tidak akan berjaya jika tidak menyamar.

Ajen FBI yang bertahun-tahun memburu akauntan ini meminta hero kita supaya jangan buang masa memburu buruannya. Dia seorang ajen FBI yang dibantu oleh peralatan canggih pun tidak berjaya menangkap buruan mereka. Apakan lagi seorang bekas polis yang bekerja seorang diri.

Tetapi hero ini telah mencuri kad kuasa ajen FBI tadi dan menggantikan gambar ajen tadi dengan gambarnya sendiri. Dengan kad kuasa ini ditambah dengan pengalamannya sebagai seorang anggota polis itu dia dengan senang menangkap akauntan tadi.

Dengan kad kuasa curi itu juga dia senang bergerak dari New York ke Los Angeles membawa akauntan tadi. Apabila ada halangan dia menunjukkan kad kuasa curinya dan menjerit 'FBI'. Dia juga menyebut nama ajen yang tertulis di kad kuasa itu, bukan namanya sendiri.

Boleh dikatakan semua mereka yang ditunjukkan kad kuasa curi tadi tidak memeriksa sama ada kad itu tulin atau tidak. Kalau diperiksa sudah tentu nama yang tertulis di kad berlainan dengan nama di kad pengenalan pemburu upahan tadi. Saya mengaku ini benar, kerana dalam pengalaman saya setiap kali saya tunjukkan kad kuasa saya tidak ada yang berani mempersoalkannya.

Sehingga sekarang pun jabatan saya tidak menuntut balik kad kuasa saya. Ini bermakna saya boleh menyamar, jika saya mahu.

Ajen FBI yang hilang kad tadi sudah tentu malu melaporkan kehilangan kad kuasanya, takut diambil tindakan tatatertib. Apatah lagi dia tahu kadnya dicuri oleh orang yang diejeknya.

Hampir dengan Las Vegas ajen FBI sebenar tadi telah menangkap pemburu upahan yang menyamar tadi. Dia terus mengugut untuk mendakwa pemburu upahan ini kerana menyamar sebagai seorang pagawai kerajaan. Pemburu ini terus menjawab 'Sepatutnya kau yang didakwa kerana menyamar'.

Ajen tadi terperanjat pada mulanya dengan jawapan tadi. Tetapi kemudian baru dia sedar bahawa selama ini kerjanya terlalu teruk, seolah-olah menyamar. Akhirnya mereka bekerjasama menangkap pihak Mafia yang berniat hendak membunuh seorang saksi kerajaan berupa akauntan tadi.

Moral ceritanya ialah jika kita bekerja dengan teruk, samalah seperti kita menyamar.

1 comment:

abdulhalimshah said...

Tuan Haji Maarof,
Apa yang dilakukan oleh Tuan Haji itu bukanlah satu penyamaran kerana diberikan kebenaran secara undang undang untuk menggantikan orang lain, atau dalam istilah undang undang ada " Locus standi". Pakaian bagi pihak pendakwa dan pembela adalah disyaratkan oleh peraturan bagi Mahkamah majistret hinggalah yang paling tinggi.