Nampaknya cerita saya dengan KTM tak habis-habis. Tetapi sebenarnya saya cukup sayangkan KTM ni. Saya mula menaiki keretapi sejak saya berumur 12 tahun dan saya telah ceritakan di pos saya dulu dulu. Bila khidmat KTM Komuter sampai ke Seremban saya juga di antara yang pertama menaikinya. Akhirnya bila KTM membina dua stesen baru di Senawang dan Sungai Gadut saya juga diantara yang mula-mula ke sana dengan tren mereka.
Semalam saya menceritakan pengalaman saya menggunakan kad Touch 'n Go di stesen KTM Seremban. Di kaunter tiket KTM Seremban juga saya nampak satu lagi kad. Kad yang saya maksudkan ialah Kad Konsesi Warga Emas.
Semasa menyerahkan kad Touch 'n Go saya di kaunter tiket saya sempat bertanya apa kah umur minima untuk seorang memiliki Kad Konsesi Warga Emas. Jawapannya ialah 60 tahun dan saya pun terus bertanya bagaimana saya hendak mendapatkan kad tersebut. Umur saya sekarang 61 tahun dan sudah tentu saya layak mendapatkan kad tersebut.
Saya diarahkan untuk pergi ke stesen KL Sentral untuk memohon kad tersebut. Saya bertanya lagi tidak bolehkah saya memohon di stesen KTM Seremban sahaja. Kerani di kaunter menjawab tidak boleh. Oleh kerana saya tidak mahu membuang masa saya dan penumpang lain di belakang, saya pun terus beredar selepas urusan kad Touch 'n Go saya selesai.
Pagi tadi saya memutuskan untuk memohon Kad Konsesi Warga Emas itu di hari ini juga. Hari ini saya menghadiri 'World Bloggers and Social Media Summit' di PWTC Kuala Lumpur untuk hari kedua dan terakhir. Seperti semalam saya juga menggunakan KTM Komuter untuk ke sana. Saya perhatikan mesin pengesan kad Touch 'n Go di stesen KTM Seremban masih diletakkan label ROSAK dan saya tidak ada pilihan dari membeli tiket.
Saya pun singgah sebentar di stesen KL Sentral untuk memohon Kad Konsesi saya. Kakitangan KTM di sana memberi saya kerjasana penuh dalam permohonan saya. Yang paling membanggakan saya ialah saya tidak dikehendaki mengisi apa-apa borang. Memadai saya menyerahkan Mykad sahaja dan membayar lima ringgit untuk harga kad.
Mujurlah saya masih mempunyai kesihatan yang baik dan tidak menjadi masalah bagi saya untuk pergi ke KL Sentral untuk memohon kad berkenaan. Tetapi bagaimana jika kesihatan saya sebaliknya? Tidak bolehkah permohonan kad ini dibuat di mana-mana stesen KTM? Atau lebih baik lagi Mykad atau Kad Pesara Kerajaan digunakan sebagai ganti Kad Konsesi ini?
1 comment:
salam ziarah
jom ke blog buaya dan jadi follower sekali k
Post a Comment