Saya dah lama tak pergi mandi manda di pantai Port Dickson. Kalau pergi pun sebagai sampingan apabila menginap di satu unit Apartment Seri Bulan kepunyaan jabatan saya dulu. Untuk melihat aktiviti saya di apartment itu sila klik di sini.
Dari apartment itu saya boleh nampak pantai Teluk Kemang atau lebih dikenali sebagai Pantai Batu 8. Pantai ini merupakan pantai utama di Port Dickson. Kebelakangan ini saya perhatikan Pantai Batu 8 ini dipenuhi dengan kanopi dan payung dan ini jelas kelihatan dari Apartment Seri Bulan.
Saya menyangkakan kanopi dan payung ini didirikan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson atau MPPD sebagai kemudahan kepada orang ramai secara percuma. Rupa-rupanya sangkaan saya salah.
Semalam saya menghantar anak bongsu saya Anis untuk pendaftaran semester barunya di Politeknik Port Dickson. Malangnya kami datang semasa pejabat ditutup untuk waktu makan tengah hari. Sementara menanti pukul 2 petang kami pun singgah di Pantai Batu 8 yang hampir sangat dengan Politeknik ini.
Pantai Batu 8 dipenuhi pengunjung kerana cuti sekolah dan kanopi dan payung hampir penuh. Juga tidak nampak ada ruang diantara kanopi dan payung untuk sesiapa mendirikan yang sama kepunyaan mereka. Saya bertanya kepada seorang di situ adakah kanopi dan payung itu untuk disewa dan jawapannya ialah 'ya'. Saya terus bertanyakan kepada pihak yang punya kanopi dan payung berapa harga sewa. Dia menjawab untuk hari ini sewa kanopi ialah RM 35 dan payung RM 20. Tetapi di hujung minggu harga ini naik sedikit.
Saya tahu kemudahan pelampung, motobot dan sebagainya di Pantai PD boleh disewa. Baru saya tahu kanopi dan payung dengan kerusi meja juga boleh disewa. Saya kurang senang dengan isu kanopi dan payung ini, bukan mengenai penyewaannya tetapi mengenai lokasinya.
Pantai Port Dickson ialah tempat awam dan sebagai seorang yang pernah bekerja di satu Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT saya tahu mendirikan bangunan, sementara atau kekal di tempat awam adalah menjadi kesalahan. Melainkan ia dibina oleh pihak berkuasa seperti PBT sendiri.
Saya tidak tahu di bawah peraturan mana MPPD membenarkan sesiapa mendirikan kanopi dan payung di tempat awam seperti Pantai Batu 8 Port Dickson dan menyewakannya pula. Bagaimana pula hak pengunjung yang ingin berkelah di Pantai PD dengan membawa sendiri kanopi, payung dan kerusi meja mereka? Nampaknya tidak ada ruang bagi mereka kerana segala ruang yang ada telah diteroka oleh tuan punya kanopi dan payung untuk disewakan.
Saya berharap pihak berkuasa seperti MPPD biar betul dalam perkara ini. Saya tidak mahu nanti ada seseorang yang arif undang-undang membangkitkan isu bangunan haram dan halangan di tempat awam di Pantai PD. Akibatnya pihak berkuasa terpaksa meroboh atau mengalihkan halangan-halangan tersebut. Akhirnya masuklah campurtangan politik dan kerajaan dituduh zalim.
Pandangan arah utara di Pantai Batu 8 Teluk Kemang, Port Dickson.
Pandangan arah selatan Pantai Batu 8. Bangunan yang nampak itu ialah Apartment Seri Bulan.
Lagi pandangan arah selatan. Apartment Seri Bulan lebih ketara.
No comments:
Post a Comment