Thursday, June 9, 2011

Saya tidak akan ke sana lagi.

Skuter Modenas Elegan saya bermasalah sedikit. Telah lama meter laju atau 'speedometer' bergoyang dan mengeluarkan bunyi. Di samping itu lampu berek tidak menyala. Lampu depan pula cuma 'high beam' yang menyala.

Dua tiga hari lepas saya perhatikan meter laju ini terus tidak naik-naik. Saya tidak mengira sangat kelajuan saya, tetapi saya bimbang dengan meter ini tidak berjalan saya tidak dapat menentukan bila masa saya harus menukar minyak pelincir dan minyak gear. Saya syak kabel meter laju sudah putus dan perlu diganti. 

Dari itu pagi tadi saya pergi ke kedai di mana saya pernah menghantar skuter saya untuk dibaiki. Kedai terletak di pinggir Bandar Seremban, tetapi saya perhatikan mekanik biasa yang saya kenal tiada lagi di situ. Di tempatnya ialah seorang berbangsa Cina yang belum pernah saya nampak. Apabila saya terangkan masalah skuter saya dia terus mengatakan seluruh set meter hendaklah ditukar. Walau pun saya menerangkan masalah sebenar dia tetap berkeras mengatakan meter saya rosak dan perlu diganti.

Saya pun terus meninggalkan kedainya dan pergi ke Jalan Rasah di mana saya juga pernah menghantar skuter ini untuk diservis. Saya singgah di satu kedai dimana tuan punyanya saya juga kenal. Apabila saya ceritakan masalah saya dia terus mengarahkan seorang pekerjanya menguji skuter saya. 

Setelah diuji pekerja tadi memberitahu kabel meter laju perlu ditukar, seperti jangkaan saya. Setelah kabel ditukar meter masih tidak berjalan dan kali ini didapati gear yang menghubungkan kabel dengan tayar depan  juga perlu diganti. Saya tidak hairan kerana gear ini pernah rosak dahulu dan sudah diganti.

Apabila melihat bahagian hadapan skuter saya dibuka saya pun meminta pekerja itu membersihkan radiator sekali. Akhirnya kabel meter laju, gear dan dua mentol lampu diganti. Kosnya hanya RM 34.00. 

Apa yang pasti ialah saya tidak akan pergi lagi ke kedai pertama tadi.

No comments: