Monday, August 29, 2011

Jack mata satu.


Dalam peribahasa Inggeris ada disebut 'In the kingdom of the blind, the one-eyed Jack is king'. Maknanya 'Dalam kerajaan yang semua rakyatnya buta, Jack yang bermata satu adalah raja'.


Sebenarnya ramai Jack mata satu dalam masyarakat kita, khususnya masyarakat Melayu. Mereka boleh cari makan oleh kerana lebih ramai pula orang Melayu yang buta. Bukan buta dalam erti kata sebenar, tetapi buta ilmu. Dari itu mereka yang ada ilmu sedikit akan diagungkan sebagai raja. Mereka memberi fakta kurang tepat pun kita kata betul. Buktinya kita akan mengangguk bersetuju bila Jack mata satu berceramah. Mereka berlawak bodoh pun ramai yang ketawa.

Saya ulangi orang Melayu ini malas untuk menimba ilmu. Ilmu yang ada pada mereka pun terpaksa dicari untuk lulus periksa, tidak kiralah setakat sijil, diploma atau ijazah. Dalam agama pula ilmu yang kita cari hanya untuk melengkapkan diri kita sebagai orang Islam. Sebagai contoh, walau pun kita khatam Al-Quran, berapa ramai dari kita yang faham apa yang ditulis dalam Surah Yaasiin? Yang kita tahu membacanya sahaja, sampai ada yang hafal terus, tetapi maknanya tak tahu. Samalah kita boleh menyanyi lagu Hindusan dari pangkal hingga hujung, tetapi tidak faham apa yang kita nyanyikan.

Tetapi kita sanggup duduk sehingga berjam-jam mendengar ceramah. Di sinilah Jack mata satu menjadi raja. Di bulan puasa yang habis hari ini saya terbaca mengenai dua ceramah kontroversi. Yang pertama si Jack mempersoalkan perlembagaan negara kita yang tidak Islamik dan mengikutnya dikarang oleh seorang bernama Lord Reid. Saya sendiri pernah mendengar ceramah yang sama disampaikan di surau saya pada bulan puasa tahun lepas. Si Jack sanggup memberi ceramah yang sama di tempat yang berlainan kerana dia tahu pendengarnya buta belaka, sedangkan beliau sekurang-kurangnya ada satu mata.

Sedangkan perlembagaan kita bukan dirangka sepenuhnya oleh Lord Reid. Dia cuma menjadi pengerusi kepada satu suruhanjaya yang terdiri dari lima orang, dua daripadanya beragama Islam. Tetapi para pendengar yang buta-buta belaka terima sajalah apa yang diceritakan oleh Jack mata satu ini.

Yang kedua baru-baru ini terdengar cerita dari seorang lagi Jack. Seperti Jack yang pertama saya juga melihat videonya, jadi saya membuat komen bukan berasaskan kepada laporan media semata-mata. Mengikut Jack ini Mat Indera yang menjadi ketua pengganas komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepung, Johor pada bulan Februari tahun 1950 (saya baru berumur 1 bulan di masa itu) sebenarnya pejuang kerajaan kerana menentang polis penjajah British.

Memang benar di masa itu setiap rakyat Malaya ingin merdeka dari Britain. Tetapi Mat Indera ialah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang ingin menjatuhkan kerajaan melalui keganasan. Jika tidak mengapa PKM tidak meletakkan senjata bila kita merdeka pada tahun 1957? Kerana mereka hendak menjatuhkan kerajaan yang ada secara keganasan juga.

Tetapi bagi mereka yang buta ilmu kerana malas membaca terima sajalah apa yang diceritakan oleh Jack mata satu ini.

1 comment:

Abu Nu'man said...

Assalamualaikum wrh wbt Tuan Haji...

Saya bukanlah nak menyokong Mat Sabu, tp kalau kita pergi ke Jabatan Sejarah universiti tempatan kita akan terjumpa banyak fakta yang disembunyikan oleh pihak2 tertentu. Sebab tu ada satu masa dahulu (dalam 2-3 tahun lepas), ada permintaan supaya sejarah ditulis semula. Sebagai permulaan, UKM telah menemu ramah dan menulis biografi Shamseah Fakeh

Sebagai contoh, tidak pernah diterangkan mengapa ramai orang Melayu yang menyertai komunis. Dalam tulisan yang terdapat di jabatan sejarah universiti tempatan, orang melayu menyertai komunis kerana mahu menentang British. Pada tahun 1947 (kalau tidak silap saya),UMNO menjadi satu-satunya pertubuhan yang tidak diharamkan oleh British. API, AWAS, Hizbul Muslimin dan KMM semuanya diharamkan. Ini menyebabkan segelintir orang melayu marah dan mula mengangkat senjata bersama komunis. Malah ada yang mengesyaki UMNO punya hubungan secara rahsia dengan British. Jika dilihat sejarah UMNO pun hampir tidak pernah menerima tentangan langsung daripada British. Ini cuma hasil bacaan saya sahaja, bukan lintasan pemikiran saya.

Pun begitu, saya masih lagi mencari-cari sumber sejarah yang menerangkan mengapa komunis melayu sanggup membunuh rakyat tempatan yang juga sebangsa dengan mereka. Bagi saya, jika menentang British, mengapa perlu mengorbankan nyawa bangsa sendiri? Sehingga kini saya masih mencari-cari jawapan tersebut.