Wednesday, July 11, 2012

"Dia lupa kenapa dia datang ke sini"



Beberapa hari lepas saya menonton semula filem kegemaran saya The Guns of Navarone yang saya minati sejak di sekolah lagi. Filem menceritakan sekumpulan komando yang hantar ke pulau Navarone, satu wilayah Greece di Perang Dunia Kedua untuk meletupkan dua meriam gergasi kepunyaan tentera Germany. Kumpulan komando ini mengandungi pakar mendaki gunung, pakar letupan dan tidak kurang pakar membunuh jarak jauh dan dekat.

Dalam kumpulan itu ada satu karaktor bernama Spyros Pappadimos, seorang keturunan Greece tetapi telah menetap lama di Amerika. Di Navarone dia ditemukan dengan kakaknya yang mengetuai satu gerakan bawah tanah menentang penaklukan oleh Germany. Spyros ditugaskan membuat kacau sebanyak yang boleh dan membunuh apabila perlu sambil pakar-pakar bom meletupkan meriam Navarone. Tetapi Spyros telah hilang akal, membunuh lebih dari perlu dan akhirnya dia sendiri terbunuh.

Selepas The Guns of Navarone berjaya diletupkan kakaknya sedar adiknya tiada untuk merayakan kejayaan misi mereka dan dia pun mengagak adiknya Spyros terbunuh. Apabila dia bertanya bagaimana adiknya boleh terbunuh, seorang ahli misi menjawab "He forgot why he came here" atau "Dia lupa kenapa dia datang ke sini".

Itulah juga yang terjadi kepada seorang hamba Allah bernama Khalil Afandi bin Abdul Hamid yang terbunuh di perkarangan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada Hari Isnin 9 Julai 2012 yang lepas. Khalil terbunuh setelah ditembak oleh pihak polis di luar kompleks Jabatan Perdara Menteri setelah diberitakan mengamuk dengan pedang Samurai dan mengaku dirinya Imam Mahadi.

Rupa-rupanya Allahyarham Khalil juga ada menulis blog. Saya sempat membaca sebahagian blognya sebelum ia ditahan atau 'blocked'.  Saya tidak tahu mengapa blognya ditahan dan siapa menahannya. Tetapi dari apa yang sempat dibaca saya anggap Khalil bukanlah sebarang manusia. Artikelnya panjang-panjang dan dari pengalaman saya menulis blog saya tahu setiap artikel dikarangnya dalam tempoh beberapa jam.

Saya anggap setiap penulis blog sebagai manusia yang luar biasa. Ramai orang mempunyai akaun laman sosial seperti Facebook tetapi tidak ramai yang mempunyai blog.  Di dalam hal ini saya sering menegur isteri saya yang tidak dapat membezakan antara  blog dengan Facebook. Apabila saya menulis blog dia ingat saya sedang 'chatting' di Facebook. Ramai penulis blog yang saya tahu menulis separuh jalan. Jika meneruskan pun setakat 'copy and paste' atau salin dan tampal sahaja. Mereka seolah-olah hilang idea. 

Tetapi tidak Allahyarham Khalil. Dalam hanya sebulan iaitu Jun 2012 ialah telah menulis berpuluh artikel dalam blognya, kalau tak salah saya. Tulisanya pula boleh mempengaruh pembaca. Jika tidak masakan Allahyarham datang ke Putrajaya dengan seorang wanita yang terpengaruh dengan tulisannya. Ini berbeza dengan saya yang menulis tidak sampai sepuluh artikel dalam sebulan. Sayang sekali Allahyarham tidak dapat lagi meneruskan menulis.

Saya bukan seorang pakar psikologi. Tetapi dari akaun Facebook saya dapati Allahyarham seorang yang tidak ramai kawan. 'Friends' Facebooknya hanya berbelas orang walau pun Allahyarham mempunyai dua akaun. Mungkinkah kerana kurang kawan menyebabkan beliau bertindak seperti mana yang telah terjadi itu?

Apabila Allahyarham datang dengan seorang teman wanita ke Jabatan Perdana Menteri sudah tentu dia tidak terfikir akan ditembak mati. Saya tidak pasti sama ada Allahyarham terpengaruh dengan filem seperti 'Rambo, First Blood'. Tetapi itu adalah filem, di mana Rambo tidak dapat dibunuh walau pun beratus anggota bersenjata dikerah memburunya setelah membuat kacau di satu balai polis.

Cuma agaknya dia lupa kenapa dia datang ke situ.

No comments: