Sunday, July 8, 2012

"Dulu Pak Cik kerja kedai basikal ke?"

Dua tahun lepas kerajaan kita mengadakan Banci Penduduk dan Perumahan dan saya terlibat dengan banci tersebut. Di antara soalan yang ditanya dalam borang selidik ialah berapa kenderaan yang dipunyai oleh tiap-tiap keluarga. Kemudian soalan dipecahkan kepada berapa kereta, berapa motosikal dan berapa basikal.

Boleh dikatakan setiap keluarga mempunya sama ada kereta atau motosikal atau kedua-duanya sekali. Tetapi bilangan yang mempunyai basikal amat mengecewakan, sekurang-kurangnya bagi saya. Pertama mungkin kerana saya mempunyai ketiga-tiga kenderaan tersebut. Tetapi yang lagi mengecewakan saya ialah kebanyakan basikal yang dipunyai oleh satu-satu keluarga ialah basikal mainan untuk anak-anak mereka. 

Tetapi jawapan saya untuk soalan ini senang sahaja. Kita sedang menuju taraf negara maju dan kita tidak mahu dilihat mundur ke belakang. Dulu kita menggunakan basikal. Kemudian apabila taraf hidup kita bertambah baik kita membeli motosikal atau skuter. Akhirnya kita membeli kereta, dari satu ke dua dan seterusnya. Sebagai contoh di deret rumah saya ini setiap rumah mempunyai sekurang-kurang dua kereta, termasuk saya sendiri. 

Dari itu kita tidak mahu menoleh ke belakang dengan kembali kepada basikal. Sedangkan di negara maju seperti Jepun semua orang tidak malu untuk berbasikal. Harap-harap cepatlah negara kita maju supaya kita kembali berbasikal balik. 

Pagi tadi di pusingan akhir 'jogging' saya ternampak anak seorang jiran saya cuba membaiki basikal kawannya. Apa yang perlu dibuat ialah meninggikan tempat duduk penunggang. Tetapi saya lihat anak jiran saya cuba menggunakan 'pliers' untuk tujuan tersebut. Sudah tentu tidak boleh kerana 'nut' yang memegang tempat duduk itu bersaiz 14 mm iaitu itu terlalu besar untuk 'pliers' bersaiz sederhana.. Saya pun mengajak budak yang punya basikal ikut ke rumah saya.

Saya terus mengeluargan 'spanner' no 14 dari skuter saya dan membetulkan tempat duduk basikal budak tadi. Rupa-rupanya seorang lagi kawannya mempunya masalah yang sama. Cuma tempat duduk basikalnya tidak menggunakan 'nut' tetapi satu 'clamp' yang boleh dibuka dengan tangan. Masalahnya ialah 'clamp' itu telah longgar, oleh itu tempat duduknya  berada di paras minima. Saya pun mebetulkan kekuatan 'clamp' tadi, menaikkan paras tempat duduknya dan akhirnya menutup 'clamp'. Saya sempat menasihat budak kedua tadi bahawa walau pun tempat duduknya agak canggih tetapi pencuri boleh mencuri tempat duduknya dengan menggunakan tangan sahaja. Oleh itu dia tidak boleh meletakkan basikalnya di mana-mana.

Lepas itu budak kedua terus bertanya "Dulu Pak Cik kerja kedai basikal ke?". Saya tanya balik kenapa dia tanya bagitu. Dia jawab saya boleh baiki dua-dua basikal dengan senang sahaja. Lebih-lebih lagi saya tahu 'spanner' nombor berapa patut digunakan. Memang saya ada menyebut 'Nombor 14' apabila melihat basikal pertama. 

Saya jawab saya tak pernah kerja di kedai basikal, tetapi saya menyimpan satu set 'spanner' yang boleh digunakan untuk basikal, skuter dan kereta saya. Untuk kerja-kerja kecil macam tadi tak payahlah hantar basikal ke kedai. 

Mungkin saya sudah dapat satu lagi jawapan kenapa orang kita jarang menggunakan basikal. Bila ada basikal tak kan nak naikkan tempat duduk pun nak hantar basikal ke kedai. Tetapi bila tahu buat nanti takut ada orang bertanya "Dulu Pak Cik kerja kedai basikal ke?".

No comments: