Monday, July 30, 2012

"Tahniah, Simcard anda telah terpilih memenangi wang RM 30,000.00......"


Itulah sebahagian mesej yang saya terima di Tab saya berapa hari yang lepas. Ia menyatakan saya telah memenangi peraduan yang diadakan oleh satu syarikat minyak. Mesej itu juga meminta saya menalipon satu nombor telefon bimbit. Tetapi hati saya telah curiga dari mula lagi berasaskan perkara-perkara berikut:

  1. Setahu saya syarikat-syarikat minyak akan mengumumkan nama-nama pemenang apa-apa peraduan mereka di akhbar.
  2. Saya tidak memasuki apa-apa peraduan pembelian minyak untuk sekian lama. Di situ pun saya masukkan nombor telefom bimbit biasa saya, bukan nombor telefon untuk Tab.
  3. Mesej dihantar oleh satu nombor bermula dengan 014. Tetapi saya diminta untuk menghubungi nombor bermula dengan 017.
Untuk memuaskan hati saya menalipon nombor pertama (014). Tak ada jawapan. Kemudian saya menalipon nombor kedua (017). Kali ini ia di jawab oleh seorang lelaki bukan Melayu dan juga saya syak bukan orang Malaysia. Sama ada dia orang Bangladesh, India atau Indonesia. Mungkin juga orang Afrika yang boleh bertutur Bahasa Melayu sedikit.

Dia mengesahkan saya telah memenangi peraduan tersebut dan terus bertanya di bank mana wang itu harus dimasukkan. Saya pun memberikan nama bank di mana saya mempunyai akaun dengan baki duit berpuluh ringgit sahaja. 

Kemudian dia meminta saya pergi ke mana-mana tempat di mana ada ATM bank tersebut. Saya mula syak sesuatu. Kalau dia mahu memasukkan wang kepada akaun saya, apa perlu saya pergi ke mana-mana mesin ATM. Minta nombor akaun sudahlah.

Saya bertanya kenapa saya perlu pergi ke mesin ATM. Dia menjawab dia akan beritahu bila saya berada di mesin ATM nanti. Dia meminta saya menaliponnya balik bila sampai ke mana-mana mesin berkenaan. Katanya lagi wang akan dimasukkan ke akaun saya dalam lima minit saya menekan beberapa kekunci di mesin ATM.

Saya pun terus menalipon 103 Telekom Malaysia untuk mendapatkan nombot ibu pejabat syarikat minyak tersebut. Nombor 'bertunang' walau saya telah mendail beberapa kali.

Saya telefon 103 sekali lagi dan kali ini diberi nombor tol percuma khidmat pelanggan syarikat minyak tersebut yang bermula dengan 1800. Sekali dail sahaja saya sudah dilayan. Saya pun terus menceritakan pengalaman saya beberapa minit sebelum itu.

Pegawai di khidmat pelanggan terus menyatakan itu satu penipuan. Dia telah banyak menerima pertanyaan yang serupa.

Saya berfikir kembali dan bertanya sendiri jika apakah yang mungkin berlaku jika saya pergi ke mana-mana mesin ATM seperti yang diminta pada awalnya. Inilah yang mungkin berlaku:
  1. Saya diminta memberikan nombor akaun, nombor kad ATM dan juga nombor PIN.
  2. Saya diminta membuat pemindahan sedikit wang sebagai 'bayaran perkhidmatan' sebelum wang hadiah dimasukkan ke dalam akaun saya.
Akhirnya bukan sahaja saya tidak menerima apa-apa 'hadiah' tetapi wang saya hilang. Saya tidak tahu beberapa ramai sebelum saya ini telah tertipu tetapi malu untuk membuat apa-apa aduan.

No comments: