Sunday, July 8, 2012

Tidak semua khidmat di pusat sehenti baik.

Saya menulis pos ini kerana tertarik dengan apa yang berlaku di satu kedai alat-alat elektrik di Karamunsing, Sabah yang disiarkan di Youtube di sini.. Saya akan menggunakan istilah pusat sehenti untuk menceritakan kedai alat-alat elektrik itu selepas ini. Apa yang saya difahamkan ialah seorang peniaga di sana berang kerana ramai pelanggannya telah 'lari' ke pusat sehenti itu dan membeli alat-alat elektrik di sana.

Saya tidak pernah membeli apa-apa alat elektrik dari pusat sehenti yang diserang itu walau pun ia mempunyai cawangan di Seremban di mana saya tinggal. Tetapi dari gamabr video yang saya lihat pusat sehenti itu menjual alat dari telefon bibit kepada komputer, kamera, television, peti sejuk dan lain-lain. Itulah sebab kenapa saya memberinya gelaran pusat sehenti.

Pusat sehenti tidak terhad kepada alat-alat elektrik sahaja. Pusat Perniagaan atau 'Shopping Complexes', Pasaraya dan Pasar Hyper adalah juga pusat sehenti kerana kita boleh mendapat segala-galanya di situ. Ada Pasar Hyper mengandungi bank, pejabat pos, restoran makanan segera dan juga apa yang dipanggil 'food-court'.

Konsep pusat sehenti adalah baik kerana kita boleh mendapat banyak khidmat di bawah satu bumbung. Kemudahan tempat letak kereta biasanya disediakan. Kita hanya perlu meletak kereta di satu tempat dan kita boleh merayau di kompleks berkenaan dan mendapatkan apa yang kita hendak. 

Ada juga pusat sehenti yang memberi khidmat kepada kereta sahaja. Di situlah pelanggan boleh menukar tayar kereta, membuat 'alignment' tayar, 'tuning' enjin dan menukar minyak hitam.

Ini mengingatkan saya beberapa bulan yang lepas apabila menantu lelaki saya meninggalkan keretanya kepada saya. Dia ingin saya menukar keempat empat tayar kereta, membuat 'alignment' tayar dan akhirnya menukar minyak hitam serta penapisnya sekali. Saya pun membawa keretanya ke tiga tempat yang berlainan. Di kedai pertama saya menukar tayar keretanya, di kedai kedua tayarnya dibuat 'alignment' dan akhirnya di kedai ketiga minyak hitam dan penapisnya ditukar.

Apabila saya menunjukkan tiga resit yang berlainan kepada menantu saya dia hairan dan bertanya kenapa saya tidak menghantar keretanya ke satu tempat sahaja. Saya jawab memang ada di Seremban ini kedai yang memberi ketiga-tiga khidmat tersebut tetapi sudah menjadi kebiasaan saya menghantar kereta ke tempat-tempat yang berasingan jika ia memerlukan apa-apa khidmat.

Mungkin kerana pengalaman lama tinggal di bandar Seremban yang sederhana besarnya ini dan juga kerana pernah bekerja di Majlis Perbandaran Seremban membuatkan saya tahu di mana kedai-kedai yang memberi khidmat khusus yang terbaik. Contohnya saya tahu kedai mana yang boleh memberi khidmat telefon bimbit yang baik untuk saya dan juga saya tahu dimana untuk menghantar television saya jika ia rosak.

Ada satu kedai yang terletak di pinggir bandar Seremban yang memberi khidmat 'alignment' tayar semata-mata. Walau pun kedai ini tidak menjual dan memasang tayar tetapi pelanggan yang perlu khidmat 'alignment' tayar terpaksa menunggu berjam lamanya. Pelanggan sanggup bersabar kerana mereka tahu mereka menerima khidmat terbaik. 

Teori saya satu sahaja iaitu pusat sehenti sudah tentu tidak sanggup menggaji ramai pakar dalam satu bumbung. Mereka mungkin mempunyai pakar dalam bidang television tetapi tidak ada pakar dalam bidang kamera walau pun kedua-dua alat itu dijual dalam satu kedai.

Mungkin saya dianggap 'old fashioned' dalam hal ini, tetapi bagi saya apabila memerlukan satu-satu khidmat saya akan memilih dari tempat yang terbaik walau pun kedudukannya agak tersorok.

1 comment:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Tuan Haji,
Saya setuju dengan cara begitu.

Baru baru ini saya menukar 2 biji tayar hadapan kereta kami di Tayaria Bandar Seri Permaisuri.

Mekanik2 kat sana memang pelik sedikit.

Yang lelaki Cina buat kerja macam baru belajar. Habis kemek logo di sport rim saya diketuk guna tukul besi tak berlapik getah. Hasilnya kesan kemek yang jelas.

Geram saya dibuatnya tetapi nak buat macamana sebab itulah pertama kali cuba perkhidmatan disitu.Tak akan pergi dah!

Kedua mekanik Melayu yang buat 'alignment' pandai pandai nak caj kita lebih untuk 'alignment' padahal kita dah beli tayar baru disana. Sepatutnya termasuk sekali didalam harga tayar.

Saya serik ke Tayaria Bandar Seri Permaisuri lagi!

Kena pergi dua tiga tempat serupa tuan juga untuk mendapat khidmat yang berbaloi dengan duit yang kita bayar!