Thursday, November 7, 2013

Ditendang ke Kelantan.


Stesen untuk Kota Bharu, Kelantan.


1. "Oh, not again".

"Don't be too sure". Itulah jawapan kembali kepada jawapan yang saya berikan kepada 'chief' saya di Seremban apabila saya ditanya di mana saya hendak diletakkan selepas tamat latihan intensif. Saya telah menjawab hendak bertugas di Negeri Sembilan tidak kira daerah mana. Saya berjumpanya setelah latihan tamat dan saya hanya menunggu untuk mengambil peperiksaan.

Saya bersekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak selama enam tahun. Saya fikir sudah sampai masanya saya tinggal berdekatan dengan kampung saya di Jelebu dan dapat bermesra dengan emak dan adik beradik saya. 

Jadi saya sungguh kecewa apabila selesai sahaja peperiksaan dan melihat senarai pertukaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Daripada lebih kurang 30 orang yang sama-sama tamat latihan cuma terdapat 3 orang yang ditukarkan ke negeri lain. Yang lainnya balik ke negeri di mana mereka bekerja sebelumnya. 2 dari 3 itu dari Seremban. Yang seorang lagi bertukar dari Kelantan ke Pahang atas permintaannya sendiri kerana bakal isterinya bekerja di sana. Kedua-dua kami dari Seremban pula bertukar ke Kelantan.

Saya tertanya-tanya sendiri kenapa saya ditukarkan. Adakah pihak di Seremban sengaja meminta saya dan kawan saya Mohamad ditukarkan? Adakah mereka cemburu dengan hubungan baik saya dengan Vaithi yang tidak popular itu? (Sila lihat 2 pos sebelum ini). Adakah pihak di Kementerian sengaja meminta 2 nama dari Seremban? Apa yang saya pasti ialah jawapan "Don't be too sure" itu ada kaitan dengan pertukaran saya.

Perasaan saya apabila melihat senarai itu samalah seperti 4 tahun sebelumnya apabila saya melihat nama saya tiada dalam senarai mereka yang lulus peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam. Di masa itu saya sudah berangan-angan untuk masuk ke Tingkatan Enam tetapi tidak berjaya. Kali ini pula saya sudah berangan-angan untuk bertugas di Negeri Sembilan tetapi juga tidak berjaya.

Saya tidak marah jika ditukarkan ke negeri-negeri berdekatan seperti Melaka atau Selangor. Tidak lama lagi saya akan bertunang dengan bakal isteri saya dari Merlimau, Melaka. Selangor pula negeri arwah bapa saya. 

Setelah tamat periksa saya pun mengatur pertunangan saya dan kemudiannya mengatur pula perpindahan saya ke Kelantan. Sebelum itu boss saya Dr. Mrs. Mahinder Singh mengarahkan saya bertugas di Pejabat Kesihatan Jelebu sahaja beberapa hari sebelum berangkat ke Kelantan. Saya pun berulang dari kampung dengan menaiki bas.

Tiba pula masanya saya berangkat ke Kelantan dengan keretapi. Sebelum itu pejabat saya mengadakan jamuan perpisahan untuk saya dan Mohamad di Rumah Rehat Seremban dan saya putus hubungan dengan Mohamad lepas itu. 

Saya memutuskan untuk bertolak pada malam 31 Disember 1971 dan dijangka sampai ke Kota Bharu Kelantan pada 1 Januari 1972. Kemudian saya akan melapor diri pada 2 Januari 1972. Apabila saya ke stesen keretapi Seremban untuk mendapatkan tiket tempat tidur kelas satu menggunakan waran yang dikeluarkan oleh pejabat, saya diberitahu walau pun tempat duduk sudah pasti ada tetapi tempat tidur tidak pasti kerana saya sepatutnya menempah untuknya awal-awal lagi. Baru saya tahu kita kena menempah tempat tidur di keretapi awal-awal lagi.


2. Mereka datang, saya pergi.

Di stesen keretapi Seremban pula saya terserempak dengan beberapa orang kakitangan dari sekolah saya dulu SDAR Tg. Malim. Mereka menunggu kedatangan kakitangan SDAR dan keluarga mereka yang akan berpindah dari Tg. Malim ke Seremban. SDAR berpindah dari Tg. Malim ke Sikamat, Seremban mulai penggal pertama persekolahan tahun 1972 yang akan bermula tidak lama lagi. Pertemuan ini juga mengguris hati saya kerana sudah tentu mereka yang ditunggu itu sampai dengan keretapi yang akan membawa saya pula ke Kelantan. Seolah-olah saya menggantikan tempat mereka. 

Keretapi sampai agak lewat kerana Semenanjung Malaysia dilanda banjir di masa itu. Saya tidak sempat untuk melihat siapa yang datang dari Tg. Malim. Mungkin ada yang masih saya kenal. Tetapi syukurlah tempat tidur untuk saya masih ada, cuma saya terpaksa tidur di katil atas. 

Kerana banjir juga keretapi bergerak perlahan. Apabila sampai di Kuala Lipis, Pahang pada tengah hari esoknya keretapi berhenti lama. Lebih dari satu jam rasanya. Memang sudah menjadi kebiasaan di trek satu landasan bila satu tren lewat tren lain akan lewat juga. Di negeri Pahang dan Kelantan juga keretapi banyak menempuh terowong panjang sedangkan di laluan yang biasa saya lalui iaitu antara Seremban dengan Tg. Malim cuma terdapat dua terowong pendek belaka.


3. Teksi roda tiga

Apabila keretapi berhenti di Gua Musang, Kelantan saya dikejutkan oleh percakapan yang biasa saya dengar beberapa tahun yang lalu di sekolah. Peniaga-peniaga makanan tempatan menaiki keretapi untuk menjual bahan mereka dan sudah tentu mereka bercakap loghat Kelantan. Kemudian saya terfikir bahawa loghat inilah yang akan biasa saya dengar beberapa tahun lagi. 

Apabila keretapi berhenti di stesen Krai iaitu stesen untuk Kuala Krai saya dapati hampir separuh penumpang turun dan ini agak menghairankan saya. Apabila saya sampai di stesen tujuan saya Wakaf Bharu baharulah saya tahu jawapannya. Mereka yang turun di Krai itu kebanyakannya hendak ke Kota Bharu tetapi mendapati lebih cepat sampai ke Kota Bharu dengan teksi dari turun di Wakaf Bharu.

Saya sampai di Wakaf Bharu hampir senja dan telah berada dalam keretapi lebih kurang 20 jam. Saya terus bertanyakan teksi dan ditunjukkan kepada sebuah beca roda tiga. Saya tanya teksi empat roda tidak ada ke? Jawapannya disini cuma teksi roda tiga yang ada. Di Kelantan mereka memanggil beca itu sebagai teksi juga. 

Saya pun mengarahkan pengayuh teksi roda tiga itu untuk membawa saya ke Hotel Rex Kota Bharu iaitu satu-satunya nama hotel yang saya tahu di masa itu.

(bersambung)

No comments: