Thursday, November 7, 2013

Latihan intensif.


Saya dengan kawan-kawan di hadapan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya pada tahun 1971.


1. Tak kira banjir.

Setelah dilatih awal selama 4 bulan dan kemudian bekerja sambil membuat latihan amali selama 20 bulan tibalah masanya untuk saya menjalani latihan intensif selama lebih 11 bulan. Latihan ialah untuk mendapatkan apa yang dipanggil Royal Society for the Promotion of Health Diploma for Public Health Inspectors. Siapa yang gagal di peperiksaan akhir terpaksa datang kembali untuk latihan dua tahun kemudian. Maka pada awal bulan Januari 1971 dalam hujan renyai-renyai saya pun bertolak dari Seremban ke Jalan Bangsar, Kuala Lumpur menaiki bas.

Lulus peperiksaan ini juga menjadi syarat untuk kami disahkan dalam jawatan. Jika tidak gaji akan tersekat dan jika tidak lulus beberapa kali kami akan diberhentikan.

Di waktu itu sebahagian Kuala Lumpur dilanda banjir termasuk Kg. Abdullah Hukum di Bangsar. Dari pusat latihan saya Institut Kesihatan Umum yang terletak di atas bukit saya boleh nampak keadaan banjir di situ. Bila hujan berhenti sahaja dan tidak ada kelas latihan saya pun berjalan kaki ke kampung itu melihat keadaan. Kesihan rumah-rumah kampung yang terletak di tengah-tengah bandar dilanda banjir. Saya lihat ada sebuah keretapi barang yang saya tidak pasti sengaja atau tidak diletakkan di sebelah kampung itu. Di dalam keretapi itulah orang-orang kampung ini meletakkan barang-barang berharga mereka. 

Latihan ini dipanggil intensif kerana sukatan pelajaran atau 'syllabus' yang sepatutnya diberi dalam masa tiga tahun dimampatkan ke setahun sahaja. Oleh itu latihan dalam kerja selama hampir dua tahun sebelumnya amat mustahak. Mereka yang duduk sambil lewa selama dua tahun itu akan menghadapi masalah dalam latihan ini. 

Saya beruntung kerana mendapat latihan yang cukup baik dari Vaithi. (Sila lihat pos saya sebelum ini). Dari apa yang diajarnya saya amat senang untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan bahagian pertama yang dijalankan empat bulan setelah latihan bermula. Siapa yang gagal penuh di peringkat pertama terpaksa gulung tikar dan berharap dipanggil untuk latihan di tahun hadapan.

Kedudukan Institut Kesihatan Umum di Jalan Abdullah off Jalan Bangsar sangat strategik. Ia berhampiran dengan institusi-institusi di mana kami pergi untuk mendengar kuliah dan membuat praktikal.

2. "Give me a pig's heart"

Mata pelajaran yang paling susah bagi kami ialah Veterinary Science atau Sains Veterinar. Ini kerana kerja-kerja pemeriksaan daging sembelihan dijalankan oleh Jabatan Veterinar dan bukan Jabatan Kesihatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh itu Veterinary Science ialah satu subjek yang asing bagi kami. Kebanyakan dari kami yang gagal untuk mendapatkan  diploma ialah kerana gagal dalam subjek Veterinary Science sedangkan lulus atau sebaliknya tidak memberi kesan kepada tugas-tugas kami sebenar. Tetapi apa boleh buat ini syarat yang dikenakan oleh pihak di London. Cuma mereka yang bekerja di PBT boleh menafaatkannya kerana mereka menjaga pasar-pasar awam di mana daging sembelihan dijual. 

Bukan sahaja teori Veterinary Science susah, tetapi pratikalnya juga. Untuk amali kami pergi ke rumah sembelih atau 'abbatoir' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Syed Putra berhampiran syarikat menjual kereta Volvo. Waktunya ialah sebelum Subuh pada tiap-tiap hari Sabtu.

Kami melawat semua tempat sembelihan termasuk kambing, lembu dan babi. Di bahagian babi kami betul-betul dicabar. Apabila pensyarah yang berbangsa China itu meminta satu bahagian organ babi contohnya jantung ia akan bercakap China kepada mana-mana pekerja rumah sembelih tersebut. Pekerja itu akan memotong jantung dari seekor babi yang sudah disembelih dan melemparkannya ke atas meja di mana kami berdiri sekeliling. Bagi kami yang sudah menjangka awal-awal lagi sudah mengelak. Tetapi bagi mereka yang tekun mendengar taklimat pensyarah dan berada dekat dengan meja sudah tentu terkena percikan darah babi.   

Kerana ia tidak relevan dengan tugas-tugas seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran subjek Veterinary Science sudah dikeluarkan dari subjek latihan kami sekarang.

3. Menyamar sebagai penuntut universiti.

Untuk sukatan pelajaran Kejuruteraan kami pergi ke Universiti Malaya di Lembah Pantai berhampiran. Di situlah saya perhatikan kawan-kawan saya yang mempunyai motosikal dan kereta membeli stiker 'University of Malaya' dan menampalkannya di kenderaan mereka. Bagi saya jika diberi percuma dan dibayar pun saya tidak akan menampal stiker seperti itu di kereta saya. Kereta saya hanya mempunyai stiker sekolah lama saya. 

Subjek Applied Science diajar di institut tetapi untuk praktikal kami pergi ke Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor. Bagi saya yang meminati Sains dan pernah mengambil subjek Additional General Science untuk MCE dulu inilah subjek yang paling saya minati walau pun ia merupakan antara yang susah bagi kawan-kawan saya.

Cuma dalam praktikal melibatkan vektor atau pembawa penyakit kami pergi agak jauh. Untuk melihat tempat pembiakan lalat kami pergi ke Kg. Baru Ampang dan tempat pembiakan nyamuk pembawa Malaria pula di Kuala Selangor.

Di masa itu penyakit demam denggi belum sampai ke Malaysia, oleh itu kami belajar mengenainya secara umum sahaja, tidak intensif seperti sekarang.

4. Kami bukan perompak

Kami juga belajar cara-cara melupuskan najis dan ini telah menimbulkan satu situasi yang melucukan. Sebahagian bandaraya Kuala Lumpur masih menggunakan sistem tandas tong atau 'bucket latrine' pada tahun 1971 dan kami dikehendaki melihat bagaimana pungutan najis dilakukan.

Untuk tujuan itu pada satu malam kami berkumpul di satu lokasi di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Orang ramai yang lalu lalang di situ turut hairan mengapa sekumpulan budak-budak muda berbilang kaum ini berkumpul di malam buta di tengah-tengah bandar. Lama kelamaan bilangan pemerhati kami melebehi jumlah kami.

Kemudian datanglah lori DBKL dengan pekerja-pekerja malam untuk memulakan tugas mereka. Kami pun bergerak ke arah lori tersebut. Para pemerhati tadi pun masing-masing ketawa. Rupa-rupanya budak-budak muda ini bukanlah penyangak atau perompak, tetapi datang untuk melihat bagaimana 'kerja malam' dijalankan.    

Sebahagian dari latihan ialah lawatan ke Pulau Pinang dan Sekolah Latihan Kesihatan Luar Bandar di Jitra Kedah dimana ketuanya di masa itu ialah Dr. Hasmah Mohd. Ali, isteri kepada Dr. Mahathir yang sedang tidak berparti di masa itu. 


5. "Don't be too sure".

Di penghujung latihan dan sebelum peperiksaan akhir saya sempat berkunjung ke pejabat saya. Di sana saya juga berjumpa dengan 'chief'' peringkat negeri. (Sila lihat pos saya sebelum ini). Dia bertanya selepas latihan ini saya hendak bertugas di mana? Saya jawab sudah tentu di Negeri Sembilan, tidak kira di daerah mana. Jawapannya ialah "Don't be too sure". 

Saya tidak faham maksud jawapannya itu sehingga beberapa minggu kemudian. 

(bersambung)

No comments: