Sunday, March 9, 2014

Apa lagi umat Islam di Malaysia mahu?


Seorang kawan blogger meminta saya menulis mengenai masalah yang dihadapi orang Islam di Malaysia sekarang. Antaranya masalah kegunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Dari dulu lagi saya seboleh-bolehnya tidak mahu menulis apa-apa artikel yang menyentuh agama Islam, melainkan yang melibatkan diri saya sendiri secara langsung. Contohnya pos-pos awal saya ialah pengalaman saya dan iasteri mengerjakan Haji.

Sebab utama saya enggan menulis artikel mengenai agama Islam ialah kerana pengetahuan saya tentang Islam amat cetek. Sebab kedua, apabila saya menulis mengenainya saya bimbang akan menyentuh soal politik, satu perkara yang saya ingin elak seboleh-bolehnya. Tetapi untuk tidak menghampakan kawan blogger saya itu, berikut ialah secebis tulisan dari saya mengenainya. Saya akan tumpukan liputan pos saya ini di keadaan sekitar saya. 

Apa lagi umat Islam di Malaysia mahu?

Saya dulu bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban, satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Antara tugas-tugas sebuah PBT ialah meluluskan permohonan mendirikan bangunan, tidak kira bangunan domestik atau komersial dan juga projek-projek perumahan.

Mana-mana pemaju yang hendak membina projek perumahan dikehendaki menyediakan kawasan-kawasan lapang untuk tujuan berikut: 1. Tangki air, 2. Pencawang elektrik, 3. Taman permainan, 4. Padang permainan, 3. Kolam tebatan banjir (di mana perlu) dan akhirnya 4. Tapak surau. Gambar di atas ialah surau taman di mana saya tinggal sekarang yang dibina di atas tapak yang dikhaskan oleh pemaju perumahan untuknya. Bukan setakat mendapat tapak percuma, kerana surau tersebut dibina oleh kerajaan negeri.

Kenapa tapak surau dan bukan tapak untuk kuil atau tokong? Kenapa tidak ketiga-tiganya sekali? Sedangkan pemaju taman perumahan saya ini satu syarikat Cina. Mana syarikat itu tahu yang majoriti bakal pembeli rumah-rumahnya ialah orang Islam?

Di sebelah taman saya ini ada tiga lagi taman perumahan syarikat Cina. Malah di satu taman itu jumlah penduduk bukan Islam mengatasi penduduk Islam. Tetapi di ketiga-tiga taman itu juga ada surau,  bukan kuil atau tokong. Malah di satu projek perumahan syarikat Cina yang sedang rancak dibina cuma seratus meter di belakang rumah saya ada tapak yang dikhaskan untuk surau. 

Jawapan kepada soalan saya itu bukan kerana negara kita negara Islam. Juga bukan kerana agama rasmi negara kita ialah Islam. Jawapannya ialah Negeri Sembilan ditadbir oleh satu kerajaan yang majoriti Ahli Dewan Negeri (ADUN) dan Exconya beragama Islam. Menteri Besar pun beragama Islam. Bagi Majlis Perbandaran Seremban walaupun penduduk bukan Islam mengatasi penduduk Islam, Ahli-ahli Majlis yang beragama Islam menjadi majoriti.

Sudah tentu jika ada pemaju perumahan yang tidak memperuntukkan tapak surau untuk projek perumahan mereka, atau meletakkan juga tapak-tapak untuk kuil dan tokong, permohonan mereka akan ditolak.

Sekarang cuba kita lihat situasi Dewan Undangan Negeri Sembilan. Dari jumlah 36 kerusi dewan, kerajaan yang memerintah sekarang dengan ADUN majoriti beragama Islam mempunyai 22 kerusi. Pembangkang pula mempunyai 14 kerusi yang hanya seorang beragama Islam. Jika pembangkang hendak mengambil alih kerajaan mereka hanya memerlukan lima kerusi lagi.

Katalah pembangkang berjaya menambah lima kerusi lagi dan lima kerusi itu dimenangi oleh orang Islam, mereka akan mengambil alih kerajaan. Jadilah situasi walau pun di Negeri Sembilan orang Islam menjadi majoriti, tetapi di Dewan Undangan mereka menjadi minoriti. Saya tidak tahu apa syarat untuk menjadi Menteri Besar dalam perlembagaan negeri, sama ada dia perlu beragama Islam atau tidak. Jika syarat itu tidak ada, Negeri Sembilan akan mendapat seorang Menteri Besar bukan Islam.

Bukan itu sahaja, majoriti ADUN serta EXCO juga bukan Islam. Sudah tentu Ahli-ahli Majlis PBT pun majoriti bukan Islam. Ekoran itu pemaju-pemaju perumahan di bandar-bandar seperti Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah tidak perlu disyaratkan untuk menyediakan tapak-tapak surau dalam projek mereka. Kalau ada pun syarat itu, perlu disediakan juga tapak untuk kuil dan tokong.

Itu baru situasi dalam satu negeri. Cuba bayangkan situasi itu merebak ke negeri-negeri lain. Maka jangan haraplah penduduk-penduduk bandar mendapat surau percuma seperti yang saya gambarkan di atas.         

No comments: