Sunday, March 2, 2014

Tak kenal tak cinta


Saya dikenalkan kepada badan di mana saya 'bekerja' sekarang secara kebetulan. Saya tahu pembiayaan perubatan untuk seorang pesara kerajaan seperti saya dan keluarga ditanggung oleh kerajaan, kalau tidak sepenuhnya separuh. Cuma saya tidak tahu bahawa ada badan yang boleh menguruskan proses tuntutan sebagainya. 

Apabila saya menguruskan pembedahan mata isteri saya di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban saya terserempak dengan seorang mantan Ahli Majlis di mana saya bekerja dahulu. Di masa itu dia menjadi seorang ahli Lembaga Pelawat Hospital tersebut. Dia juga menguruskan pembedahan mata seorang kenalannya. Dialah yang mengenalkan saya kepada 'badan' yang boleh menguruskan tuntutan perubatan untuk isteri saya itu.

Saya pun pergi ke alamat yang diberikannya. Bangunan itu tidak asing bagi saya, kerana ia dipunyai oleh sebuah koperasi anggota kerajaan di mana saya menjadi ahli dari tahun saya mula bekerja sehingga saya bersara. 'Badan' yang dimaksudkan ialah Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Sembilan. Ibu Pejabatnya di Kuala Lumpur. Saya terus mengisi borang kehlian, membayar yuran seumur hidup dan dengan itu diterima menjadi ahli. 

Sebenarnya di negara ini terdapat lebih dari satu 'persatuan pesara'. Ada yang khusus untuk pesara tentera, polis dan guru. Tetepi persatuan pesara saya ini unik kerana ia boleh dianggotai oleh mana-mana pesara dengan syarat ia menerima pencen bulanan dari kerajaan. 

Pertolongan pertama yang saya dapati dari persatuan baru saya ini ialah mendapatkan borang-borang tuntutan perubatan isteri saya. Walaupun terdapat seorang kerani ditempatkan di pejabat ini, saya tidaklah sebebal itu untuk memintanya mengisikan borang-borang berkenaan untuk saya. Saya mengisinya sendiri dan walau pun kerani ini berkata ia boleh mengposkannya kepada Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya, saya sendiri mengposkannya.

Selang beberapa hari saya menerima panggilan talipon dari Bahagian Pencen JPA mengatakan pihak mereka tidak boleh berbuat apa-apa terhadap tuntutan saya. Oleh kerana saya dulu bekerja dengan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan, saya hendaklah membuat tuntutan di situ. Mereka pun mengembalikan borang-borang tuntutan saya dan saya alihkan tuntutan saya ke jabatan lama saya Majlis Perbandaran Seremban.

Boleh dikatakan titik peluh saya pergi ke pejabat persatuan pesara, mengisi borang-borang dan membayar yuran keahlian sia-sia belaka. Kerana saya boleh mendapatkan apa yang saya tuntut di masa itu dengan senang di pejabat lama saya. 

Tetapi kerana saya sudah terlanjur saya bertekad untuk terus aktif dalam persatuan ini. Saya meminta kerani persatuan untuk memberitahu saya tentang apa-apa aktiviti persatuan. Permintaan saya tidak sia-sia kerana dipanggil untuk beberapa aktiviti yang ada saya dokumenkan dalam blog saya ini.

Kebetulan Yang Dipertua persatuan ialah kenalan lama saya dan apabila tiba masa untuk mesyuarat agung di mana ada pemilihan  jawatankuasa dia bertanyakan adakah saya sanggup lebih aktif dengan menjadi seorang ahli jawatankuasa. Saya jawab tiada masalah. Apabila dia menang semula dia pun melantik saya sebagai seorang ahli jawatankuasa tambahan.

Kemudian saya dipanggil oleh Setiausaha dan ditanya sanggupkah saya mengambil alih tugasnya kerana dia bercadang untuk melepaskan jawatan. Saya jawab ini saya kena kaji dulu. Saya pun datang ke pejabat untuk beberapa hari dan ditunjuk ajar mengenai tugas-tugas Setiausaha. Akhirnya saya menjawab tidak ada masalah saya menggantikan tempatnya.

Kebetulan kerani persatuan pun hendak berhenti di waktu yang sama. Dari apa yang saya pelajari di pejabat persatuan, tugas utama kerani ialah membuat surat yang dideraf oleh Setiausaha. Saya juga dapati  jumlah fail di pejabat tidak sampai 30. Saya teringat semasa bekerja dulu saya menaip surat-surat dan laporan saya sendiri tanpa menggunakan khidmat jurutaip. Fail di pejabat pun beribu jumlahnya. Saya nyatakan kepada Setiausaha saya sanggup mengambil alih jawatannya dan persatuan tidak memerlukan khidmat kerani yang baru.

Ekoran itu mulai 2 Januari 2014 saya memulakan kerjaya baru sebagai Setiausaha, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Sembilan. Banyak barang-barang lama kepunyaan saya yang saya ketepikan sebagai tidak perlu terpaksa digunakan semula. Contohnya kasut kulit, baju kemeja, baju kot, pen dan pensel. Mujurlah saya tidak pernah mengenepikan komputer saya.

Banyak juga yang saya belajar dalam melayan ahli-ahli saya orang pencen ni. Contohnya satu pasangan guru pencen datang untuk menukar bank melalui mana pencen mereka dibayar. Mereka ingin memindahkan wang pencen mereka ke bank berdekatan dengan rumah mereka. Bank mereka sekarang terletak dalam bandar Seremban dan mereka sukar untuk meletak kereta. Saya kata mesin ATM sekarang ada di mana-mana termasuk stesen minyak. Mereka jawab tidak mempunyai kad ATM dan tidak pernah menggunakannya.    

Ada juga soalan-soalan lucu yang saya terima melalui telefon. Ada seorang itu menyatakan bapanya baru diganti dari menjadi Pengerusi JKKK. Adakah bapanya layak menerima pencen? Saya tidak perlu nyatakan di sini apakah jawapan saya kepadanya.

Ujian besar pertama saya ialah semalam 1 Mac 2014 di mana salah satu cawangan persatuan pesara di bawah Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Sembilan mengadakan mesyuarat agung tahunan. Sebagai Setiausaha Bahagian saya dikehendaki hadir di mesyuarat agung itu. Syukurlah saya dapat menjawab semua soalan-soalan yang dibangkitkan.

Ada lagi enam cawangan di bawah Bahagian saya yang akan mengadakan mesyuarat agung tahunan tidak lama lagi dan saya dikehendaki hadir di kesemuanya. Kemudian barulah saya sendiri mengatur Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian pula. Saya berharap semua berjalan lancar.     

No comments: