Friday, September 26, 2008

Bila tak dapat menjawab soalan - Bahagian Dua

Saya tertarik untuk menyambung topik ini kerana memikirkan apa yang sedang berlaku kepada Raja Petra Kamarudin. Umum sudah mengetahui beliau telah ditahan di bawah ISA baru-baru ini. Keputusannya ia dihantar ke kem tahanan ISA di Kamunting, Perak selama dua tahun.


Saya tidak mahu komen mengenai penahanannya. Apa yang mahu saya bangkitkan ialah berita mengatakan Raja Petra akan menjalani pemulihan agama atau 'religous rehabilitation' semasa tahanan.

Saya berpendapat ada persamaan antara Raja Petra dengan Cik Gu Mansor Kaliwon dan Tun Dr. Mahathir. Mereka menyoal Islam, itu sahaja. Bezanya ialah Raja Petra ditahan di bawah ISA. Jika nak tahu apa yang telah dibuat oleh Cik Gu Mansor dan Tun Dr. Mahathir sila tengok pos saya di Bahagian Satu tajuk yang sama.

Cik Gu Mansor menyoal tentang Islam kepada murid-muridnya di dalam kelas. Saya fikir jika dia berucap di Padang Bandaran Tanjung Malim atau Kuala Klawang, Jelebu tentang perkara yang sama beliau mungkin juga ditahan di bawah ISA. Tun Dr. Mahathir pula semasa beliau dituduh 'mempersendakan Islam' ialah orang yang paling berkuasa dalam negara ini. Siapa berani nak tahan dia masa tu?

Keadaan Raja Petra cuma berbeza sedikit. Dia dituduh 'menghina Islam' melalui tulisan dalam blognya. Sama seperti Tun Dr. Mahathir Paja Petra juga sudah tentu banyak membaca. Jika tidak manakan beliau boleh tidak henti-henti menulis dalam blog. Antara yang dibacanya ialah mengenai Islam. Pada pendapat saya itulah sebabnya beliau berani menulis mengenai Islam. Mungkin ada orang yang 'terasa pedas' apabila membaca 'lada' yang ditulis olehnya. Itulah sebabnya dia ditahan.

Sekarang Raja Petra ditahan di Kamunting, Perak dan antara program yang diatur untuknya ialah pemulihan agama. Tetapi beliau sudah terlalu matang untuk pemulihan apa-apa pun. Setahu saya dia sebaya dengan saya. Perumpamaan Melayu berkata 'Kalau hendak melentur buluh hendaklah semasa rebungnya'. Raja Petra bukan rebung lagi. Dia sudah sampai ke peringkat buluh yang tidak boleh dibuat lemang pun. Semasa remaja dulu emak saya mengajar saya mencari buluh yang sesuai untuk dijadikan lemang. Jangan yang terlalu muda dan jangan yang terlalu tua. Yang masih rebung tu memang tak bolehlah.

Saya fikir jika Raja Petra diberi ceramah apa pun penceramah itu akan diceramah balik oleh Raja Petra. Ini disebabkan kepala Raja Petra sudah penuh dengan ilmu yang melebehi ilmu yang ada dalam kepada mana-mana penceramah yang dihantar untuk 'memulihkan' beliau.

Tapi tak tahulah saya jika lepas enam bulan tiba-tiba Raja Petra keluar dari kem tahanan Kemunting dengan serban di kepalanya yang botak tu. Lepas itu beliau menjadi pendakwah pula.

Saya masih ingat penyanyi yang saya tidak suka Jamal Abdillah dulu dimasukkan ke pusat pemulihan dadah. Tetapi dia memang sah penagih dadah. Bila keluar beliau disebut-sebut sebagai satu contoh seorang penagih yang pulih. Beliau juga dijangka akan menjadi sebahagian dari pasukan pemulih penagih dadah. Tapi apa yang jadi? Lagi menagih kawan kita tu.

No comments: