Malam tadi saya tidak pergi bersembahyang Terawikh. Ini kerana saya dapati saya telah ketinggalan komputer saya. Banyak email yang tidak terbaca dan blog saya pun tidak dikemaskini. Ditambah pula isteri saya Salmah sakit kaki, kalau tidak sudah tentu dia awal-awal lagi mengajak saya pergi kesurau.
Pada jam sembilan malam TV3 menyiarkan rancangan 360 mengenai perempuan bersifat lelaki. Kalau tak salah orang sebegini dipanggil 'Pengkid'. Tiba-tiba terpapar di TV gambar seorang yang saya mula kenali 46 tahun yang lalu. Saya pun terus mencapai kamera saya dan mengambil gambarnya. Gambar-gambarnya adalah seperti di atas.
Tidak payahlah saya nyatakan siapa nama dan pekerjaannya oleh kerana ia terpapar di gambar atas. Cuma saya nak beritahu beliaulah orang yang mula-mula membimbing saya apabila saya terpaksa menukar cara hidup saya 46 tahun yang lalu. Penukaran cara hidup yang saya maksudkan ialah berhijrah dari hidup bersama ibu dan adik beradik di kampung kepada hidup bersama-sama kawan-kawan di asrama sekolah . Memang tepatlah Dr. Suradi akhirnya menjadi seorang Pakar Psikologi kerana beliau berjaya membimbing saya dengan baik.
Saya berjaya masuk ke Sekolah Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim pada tahun 1962. Di masa itu ia merupakan salah satu dari lima sekolah asrama penuh di Persekutuan Tanah Melayu. Saya ditempatkan di bilik 4 asrama Rumah Laksamana. Sudah tentu ini menjadi kejutan bagi saya dan kawan-kawan yang rata-rata berumur 12 tahun di waktu itu. Tidak kurang yang menangis. Nasib baiklah di masa itu tiap-tiap bilik asrama menempatkan murid-murid dari Tingkatan Peralihan (Remove Class) hingga ke Tingkatan 5. Jadi yang senior akan membimbing yang junior. Saya difahamkan sekarang sekolah-sekolah asrama penuh menempatkan murid-murid mengikut Tingkatan di asrama untuk memudahkan pentadbiran. (Sdarians please confirm).
Kebetulan katil Dr. Suradi bersebelahan dengan katil saya. Beliaulah yang mula-mula membimbing saya cara-cara hidup di asrama. Semasa itu memang ada sikit-sikit cerita 'bully' dan 'ragging' di sekolah saya itu. Saya bangga oleh kerana saya tidak pernah kena 'bully' atau di'rag'. Ini mungkin kerana Dr. Suradi ada di sebelah saya. Sehingga hari ini saya selalu ditanya mengenai 'bully' dan 'ragging' ini. Jawapan saya senang sahaja iaitu saya tidak tahu. Ini kerana saya tidak pernah di'bully' atau di'rag'. Oleh itu apabila saya menjadi senior saya tidak tahu macam mana nak 'bully' atau 'rag' budak-budak yang junior.
Pagi tadi saya menunjukkan gambar Dr. Suradi kepada kawan saya Halim dan bertanyakan berapakah agaknya umurnya. Halim menjawab 40 tahun. Ya, Dr. Suradi memang nampak begitu muda sedangkan umurnya sekarang sudah 63 tahun berdasarkan umur saya yang muda lima tahun darinya. Rupanya juga tidak berubah dari dulu. Itu jugalah fesyen rambutnya dari dulu. Nampaknya rambutnya masih lebat dibanding dengan rambut saya.
Dr. Suradi ini orang Selangor. Saya masih ingat beliau bersama-sama saya semasa saya naik keretapi kali pertama seperti pos saya ini:http://maarofkassim.blogspot.com/2008/06/keto-api-bahagian-satu-english-version.html. Kalau tak salah saya dia turun di Bangi. Saya pernah berjumpa beliau di satu makan malam murid-murid tua di Subang Jaya beberapa tahun yang lalu. Saya tidak tahu sama ada beliau masih bekerja makan gaji atau bekerja sendiri. Sesiapa yang tahu dimana Dr. Suradi sekarang tolonglah beritahu saya.
No comments:
Post a Comment