Bercerita tentang Dr. Suradi Salim mengingatkan saya kepada seorang lagi senior saya di sekolah. Cuma senior ini boleh saya jumpa bila-bila masa. Namanya Derani Shafie dan dia sebaya dengan Dr. Suradi. Abang Derani berasal dari Perak tetapi sekarang menetap di Paroi Jaya Seremban. Isteri beliau orang Nilai, Seremban.
Beberapa tahun yang lalu saya ditugaskan untuk menjemput Abang Derani untuk satu jamuan makan malam murid-murid tua di Seremban. Beliau terus menyatakan tidak dapat datang kerana terpaksa berlepas ke Sabah dalam urusan kerjanya. Saya tanya apakah kerjanya sekarang kerana setahu saya Abang Derani sudah bersara dari menjadi guru. Jawapannya ialah ia menjadi guru kepada guru.
Rupa-rupanya Abang Derani telah diambil bekerja oleh satu syarikat yang mangajar guru-guru cara mengajar menggunakan komputer. Kebetulan Abang Derani ialah seorang bekas guru ijazah. Sebelum masuk universiti beliau sudah menjadi guru yang terlatih dari Maktab Perguruan. Oleh itu tidak payahlah beliau mengambil Diploma of Education seperti yang diperlukan oleh guru-guru berijazah semasa itu.
Sememangnya seorang guru seperti Abang Derani memang dihormati bukan sahaja oleh murid-murid, tetapi guru-guru yang lain. Katanya kepada saya memang ramai graduan di bidang komputer yang boleh mengajar guru-guru berkenaan. Tetapi perlu diingat para graduan ini mengajar bukan sebarang orang. Mereka mengajar guru-guru yang memang pakar dalam hal-hal mengajar. Silap-silap guru pula yang diajar oleh murid-muridnya.
Disinilah orang seperti Abang Derani amat diperlukan. Sudah tentu guru-guru hormat kepadanya. Tetapi itu semua tidak menjadi apa jika Abang Derani sendiri tidak celik komputer. Inilah satu kelebihan Abang Derani, iaitu celik komputer. Itu jugalah sebabnya Abang Derani nampak muda dari umurnya iaitu 63 tahun sekarang, sebaya dengan Dr. Suradi. Cuma rambutnya tidaklah selebat rambut Dr. Suradi.
1 comment:
Maaf, tumpang bertanya
Adakah arwah Derani Shafie bekas guru di MCKK sekitar tahun 70'an?
Post a Comment