Tuesday, September 23, 2008

Bila tak dapat menjawab soalan

Semasa saya bersekolah menengah di Tanjong Malim dulu kami mempunyai seorang guru yang bernama Mansor bin Kaliwon. Dari namanya jelaslah ia berketurunan Jawa. Dia berasal sama ada dari Perak atau Selangor, saya kurang pasti sebenarnya. Semasa ditugaskan di sana dia berkelulusan Maktab Perguruan Bahasa atau lebih dikenali sebagai LI atau Language Institute.

Cik Gu Mansor ialah seorang yang cerdik. Dia sering menegur Pengetua dalam mesyuarat guru-guru, tidak seperti guru-guru lain.

Satu kegemaran Cik Gu Mansor ialah mengembara ke seluruh Semenanjung Malaysia di masa cuti sekolah. Selalunya dia akan mengembara dengan motosikal Honda 250 c.c. nya. Jika dia bertanya dengan seorang murid dia ingin tahu dahulu dari mana murid itu berasal. Lepas itu dia akan menceritakan pengalamannya berada di daerah murid tersebut. Biasanya pengalaman yang negatiflah.

Bagi saya yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dia akan bercerita mengenai jalan bengkang bengkok di Bukit Tangga yang menghubungi Jelebu dengan Seremban. Saya rasa bagus juga dia bercerita sedemikian, untuk memberitahu kepada siapa yang belum tahu. Sedikit sebanyak ia boleh menolong dalam pelajaran Geografi kami.

Itu kegemarannya semasa cuti sekolah. Kegemarannya dalam kelas semasa musim persekolahan lain pula. Dia suka menanya kami soalan-soalan yang bukan-bukan, terutama yang menyentuh agama Islam. Contohnya "Kau oghang sembahyang tu untuk apa?". Ini menimbulkan situasi tidak senang diantara kami. Ustaz juga tidak senang. Pengetua lagi tak senang.

Satu hari saya terdengar satu perbincangan mengenai Cik Gu Mansor diantara kawan-kawan saya. Salah seorang kawan saya bernama Mohair bin Syawal, juga berketurunan Jawa dari Johor. Memang budak-budak dari Johor kuat beribadat, terutama sembahyang lima waktu. Saya dengar Mohair menyebut "Jangan dengar cakap Cik Gu Mansor tu, dia dah murtad". Saya pun terus masuk campur.
  • Maarof: "Kita tak boleh saja-saja tuduh orang murtad. Aku tak fikir dia murtad".
  • Mohair: "Habis itu yang dia tanya kita macam-macam?".
  • Maarof: "Sebenarnya dia hendak kita berfikir".
  • Mohair: "Jadi apa nak jawabkan?"
  • Maarof: "Bila dia tanya kenapa kita sembahyang, jawablah kita nak 'exercise'. Bila dia tanya mengapa puasa, jawabnya kita nak jaga berat badan".
Tidak ada orang yang mengajar saya menjawab bagitu. Juga saya tidak menyelidik dimana-mana untuk mencari jawapannya. Cuma saya fikir sendiri.

Cik Gu Mansor kemudian meninggalkan sekolah kerana masuk universiti. Satu hari apabila saya sudah bekerja saya terdengar adik saya Zahari berbincang dengan kawannya mengenai seorang Cik Gu barunya yang sering menanya soalan yang bukan-bukan. 

Saya terus bertanyakan Zahari nama Cik Gu ini. Jawapannya ialah 'Mansor bin Kaliwon'. Dah ditendang ke Jelebu rupanya Cik Gu Mansor. Sekolah Zahari merupakan penempatannya yang pertama setelah lulus universiti. Saya ada berjumpa dengannya di Jelebu.

Cik Gu Mansor kemudian berkenalan dan berkahwin dengan seorang Penolong Jururawat bernama Maznah berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, walau pun di waktu itu dia sudah bertunang dengan perempuan lain. Agak eh Ci Gu Mansor dah kono komat Jolobu. Itulah mengato Jolobu lai. 

Kalau Cik Gu Mansor pergi ke Jelebu sekarang sudah tentu dia terperanjat melihatkan jalan bengkang bengkok di Bukit Tangga dulu sudah diluruskan.

Cik Gu Mansor kemudian dinakkan pangkat menjadi Pengetua sekolah Zahari tersebut iaitu Sekolah Menengah Bandar Tinggi, Jelebu. Rasa-rasanya sekolah itu sudah bertukar nama sekarang. Beliau kemudian berpindah ke Seremban untuk bersyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM), sekarang IPRM.

Tetapi oleh kerana sikapnya yang suka melawan dia telah berhenti dari khidmat kerajaan dan berniaga sendiri, bermula di Paroi, Seremban. Tetapi saya fikir perniagaannya di Seremban tidak maju. Dia pernah jadi kontraktor dan saya ada melihat sendiri dia membancuh simin untuk membuat kerja-kerja ubahsuai rumah seorang jiran saya di Taman Paroi Jaya.

Di Seremban juga Cik Gu Mansor memasukki PAS dan pernah memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan. Akhirnya saya terbaca dari poster ceramah PAS dia berada di Selangor menjadi ahli Lujnah di sana.

Kemudian saya pergi kepada Tun Dr. Mahathir pula. Tak payahlah saya kenalkan siapa TDM kerana semua orang sudah kenal. Cuma sama seperti Cik Gu Mansor Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri sering menyoal soalan yang bukan-bukan kepada rakyat Malaysia amnya. 

Ada juga soalan-soalannya yang menyentuh agama Islam yang tidak disenangi oleh para ulama sendiri. Ada ulama yang menuduhnya mempersendakan Islam. Tidak kurang yang menuduhnya sebagai munafik. Saya kurang pasti sama ada dia pernah dituduh murtad.

Pada pendapat saya apa yang Tun Dr. Mahathir soalkan kepada rakyatnya samalah seperti apa yang Cik Gu Mansor soalkan kepada murid-nya. Kedua-dua manusia ini termasuk dalam golongan cerdik pandai dan sudah tentunya sering berfikir. Mereka juga ingin orang lain berfikir. TDM ialah seorang yang suka membaca. Saya tidak pasti mengenai Cik Gu Mansor. Saya menbaca blog TDM tiap-tiap hari sekarang.

Malangnya kadang-kadang mereka berdua ini berada jauh di hadapan kita. Jadi bagi sesiapa yang tidak sempat berfikir untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan mereka akan mencari jawapan yang mudah seperti 'murtad, munafik dan mempersendakan Islam'.

Sebenarnya tidak. Cik Gu Mansor terbukti tidak murtad, kalau tidak mengapa pula dia masuk PAS yang memperjuangkan Islam.

Di satu perhimpunan agong UMNO pula seorang wanita UMNO pernah melabelkan Tun Dr. Mahathir sebagai seorang 'Mujahiddin' tulin. 

No comments: