Tuesday, December 23, 2008

Adat Perpatih

Assalamualaikum,

Ada seorang blogger mencadangkan kepada saya supaya membuat kajian berkenaan dengan Adat Perpatih dan memuatkan kajian saya itu dalam blog saya ini. Ini setelah memikirkan saya ialah seorang anak Negeri Sembilan dan sudah tentu mengamalkan Adat Perpatih ini.

Sebenarnya saya tidaklah tahu sangat mengenai Adat Perpatih ini ditambah pula saya berkahwin dengan seorang yang berasal dari Melaka, oleh itu saya tidak mengamalkannya secara serious. Saya pun tidak tahu siapa Ketua Adat yang patut saya temui jika saya menghadapi masalah amalan Adat ini.

Saya juga telah mengahwinkan dua orang anak saya, seorang lelaki dan seorang perempuan dan di dalam kedua-dua kes ini tidak melibatkan langsung hal-hal adat.

Tetapi walau bagaimanapun orang mengatakan mengenai Adat Perpatih ini saya tetap mempertahankannya. Bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur tiga tahun. Dimasa itu juga abang saya Shamsudin berumur lima tahun dan adik saya Zahari berumur satu tahun. Bukan itu sahaja, adik perempuan saya Shamsiah masih berada dalam kandungan ibu saya di masa itu.

Kalau difikirkan tentulah ibu saya menghadapi dunia yang gelap untuk membesarkan kami empat beradik. Tetapi syukur kepada Adat Perpatih ibu saya mewarisi sedikit harta dalam bentuk sebuah rumah dan sebidang tanah. Ibu saya adalah yang sulung diantara tujuh adik beradik. Ibu saya masih sihat walafiat sekarang sedangkan tiga adik lelakinya sudah meninggal dunia.

Mengenai tanah pula ibu saya mempunyai dua bahagian. Di bahagian atas ialah dusun yang ditanam dengan pokok-pokok durian, rambutan, langsat dan manggis. Pokok-pokok itu masih lagi mengeluarkan buah sekarang walau pun ibu saya tidak dapat melawan serangan monyet-monyet yang tinggal di hutan berhampiran.

Kehadiran monyet-monyet mengerjakan buah-buahan ibu saya ialah kerana kerakusan manusia juga. Hutan tebal yang menjadi habitat asli mereka telah banyak ditebang membuatkan mereka tidak ada pilihan dari masuk ke kampung dan mengerjakan buah-buahan kami. Tapi bagi ibu saya dan anak-anaknya monyet-monyet ini makhluk Allah juga dan perlu makan untuk hidup.

Tentang monyet ini ibu saya ada cerita juga. Satu hari dia berjaya menghalau monyet-monyet yang datang ke halaman rumahnya untuk mencari makanan. Monyet-monyet yang dihalau dan hampa itu pun berkumpul dengan ahli-ahli keluarga atau kumpulannya di dalam hutan. Kemudian ibu saya terdengar monyet-monyet ini berkelahi. Kesimpulan ibu saya ialah kumpulan monyet yang datang tadi dimarahi oleh ahli-ahli keluarga atau kawan-kawannya kerana gagal membawa balik makanan.

Jika setakat dimarahi tak apa juga. Ibu saya bimbang jika monyet-monyet suruhan ini diapa-apakan oleh ahli-ahli keluarganya. Itulah sebabnya ibu saya semacam membiarkan sahaja buah-buahannya dimakan monyet. Lebih-lebih lagi sekarang harga buah-buahan murah. Oleh itu dari tidak termakan oleh saya, adik beradik dan keluarga kami dan juga tidak berbaloi dijual biarlah disedekahkan sahaja kepada makhluk Allah bergelar monyet ini.

Sebahagian tanah lagi ialah tanah sawah. Semasa kami kecil kami menolong ibu mengerjakan sawah ini bukan sahaja untuk makanan sekeluarga tetapi untuk jualan. Tetapi sekarang sawah ini tidak diusahakan lagi dan tempatnya diganti dengan buah-buahan.

Untuk makanan kami tidak mempunyai masalah. Kami memelihara ayam dan itik dimana telurnya juga dijual selain menjadi makanan kami. Di satu ketika kami pernah memelihara kambing untuk tujuan yang sama.

Di hadapan rumah juga mengalir sungai yang kaya dengan ikan. Selepas sekolah kami adik beradik akan memancing ikan untuk dijadikan makanan. Sayur juga tidak menjadi masalah. Sayur kangkung, pucuk paku dan pucuk ubi tumbuh tanpa kawalan di tepi sungai. Ulam pegaga dan cili padi juga tak perlu dibeli.

Pokok-pokok kelapa pula tidak berhenti mengeluarkan buah untuk dijadikan santan kelapa sebagai bahan masakan. Kalau teringat hendak makan atau minum air kelapa muda terpaksalah berusaha sedikit untuk mengambilnya.

Itulah serba sedikit kehidupan saya semasa kecil. Walau pun tidak mewah tetapi kami tidak merasa susah. Ibu tidak perlu meminta wang dari adik-adiknya yang bekerja untuk membesarkan kami.

Semasa saya masih bujang dahulu saya pernah bekerja di Kelantan. Saya pernah melawat keluarga-keluarga yang betul-betul daif. Selain dari pakaian barang-barang yang didapati dari pembelian ialah pinggan mangkuk. Itu sahaja. Tak ada almari, tak ada katil. Basikal atau motosikal jangan sebutlah.

Saya fikir saya datang dari keluarga yang miskin. Rupa-rupanya ada lagi yang lebih miskin dari saya. Saya masih ingat walau pun kami miskin ibu tidak pernah gagal dari membeli baju baru untuk kami setiap Hari Raya. Bukan itu sahaja setiap Hari Raya ibu akan membuat lemang dan kuih-kuih raya. Tetapi sekarang ibu terpaksa membeli lemang kerana tidak berdaya untuk memasaknya.

Ini semua tidak akan terbukti jika ibu saya dan anak-anaknya tidak termasuk dalam golongan yang yang mendapat manfaat Adat Perpatih.

2 comments:

Anonymous said...

Tuan Haji,

Sebenarnya adat Perpatih adalah sangat menarik kalau kita betul2 mengikutinya. Orang politik yang arif yang kita tahu dah tak ada lagi maksudnya dah arwah iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris. Dulu ada juga ahli akademik sebuah universiti buat kajian tetapi senyap begitu aje selepas tu. Patutnya kerajaan negeri beri sokongan kalau tidak adat perpatih akan padam begitu aje. Saya rasa tok undang luak empat tentu arif tentang adat perpatih ni. Tentu masih ada lagi orang2 tua2 di Rembau, Kuala Pilah, di Jelebu dan di Johol dan di Jempol yang masih boleh menceritakan tentang adat ni. Adat perpatih ni unik. Pelajar2 IPTA yang berasal dari NS patut buat kajian dan bukukan selagi masih hidup orang2 tua yang berumur 60an keatas yang boleh didapatkan pengetahuan mereka. Anak2 muda masa ni lebih2 lagi dibawah umur 40an kebanyakannya tak tau langsung tentang adat perpatih ni. Cubalah tanya suku/waris seorang anak muda `kau suku/waris apa?' Jawapannya mestilah`tak tau, pakcik'. Salasilah, susur galur, tatacara hidup yang diamalkan melalui adat perpatih dah tentu boleh menarik para pelancong ke Negeri Sembilan. Kenapalah bangunan istana raja di NS tak dibina ikut bangunan minangkabau?. Bangunan hotel,bangunan pasar seperti pasar Payang di Terenggganu boleh dibina ikut rekabentuk bangunan minang tak kiralah di Seremban ke atau di Tampin.....kalau di Tampin pelancong yang datang ke Melaka boleh ke Tampin kalau ada tarikan di bandar itu. Sayang pekan Batu Kikir dulu pekan yang dihuni orang Melayu sekarang tak bercirikan rekabentuk bangunan melayu. Tidak ada tarikan pelancong ke pekan itu walhal pekan tempat lalulalang orang ke Pekan, Temerloh, Pulau Tioman negeri Pahang selain `shortcut' ke Endau, Johor. Apatah lagi MRSM Serting, SBPI, Matrikulasi K Pilah adalah berhampiran. Ramai orang dari pelusuk negara menghantar anak2 ke institusi yang dimaksudkan tetapi tdak ada tarikan yang lain untuk mereka melancong dan membelibelah. Teratak Za'aba yang lebih kurang 2 kilometer dari pekan Batu Kikir pun tak ada pengunjung. Peranan duit mengabui segala2nya bagi sesetengah orang melayu terutama orang politik. Hanya NS saja yang punya satu adat yang unik yang pasti boleh menarik pelancong samada luar negara dan dalam negara kalau betul2 serius diamalkan. wassalam.

MUHAMMAD A, Kajang

Anonymous said...

Tahniah...fakta yang amat menarik.