Friday, December 26, 2008

Perginya Bang Ngah

Semalam 25 Disember 2008 saya kehilangan kekanda kandung saya Shamsudin dalam usia 61 tahun. Dia baharu sahaja meraikan hari ulang tahunnya itu pada 19 Disember yang lepas.




Kak Ngah Rokiah @ Latifah tidak tahan menahan sebak menjirus air di makam suaminya dibantu oleh anak bongsunya Siti. Diperhatikan oleh anak sulungnya Ira dan cucunya Danial (anak Ira).


Saya mendapat panggilan dari anak saya Ina pada malam 23 Disember 2008 memberitahu Pak Ngah Shamsudin iaitu abang saya telah dimasukkan ke Wad ICU Unit Nephrology Hospital Kuala Lumpur. Saya pun terus menghubungi adik-adik saya Zahari, Shamsiah dan Razak. Razak ialah adik saya berlainan bapa.

Saya memutuskan untuk pergi ke HKL dengan KTM Komuter dan STAR dan sampai pada lebih kurang jam 12.15 tengah hari. Razak mengikuti saya. Saya terus ke ICU Unit Nephrology dan di sana sudah ada Kak Ngah Tipah dan anak mereka Ira. Anak-anak saya Ina dan Miza menyusul dari tempat kerja mereka bersama Nazeem, suami Ina.

Saya dapati Bang Ngah tidak sedarkan diri dengan tiub dan wayar dilekat di badannya. Dia sedang menjalani dialysis darah. Saya yang mempunyai tekanan darah tinggi ini boleh membaca bahawa tekanan darah Bang Ngah amat rendah.

Kemudian adik saya Zahari dengan isteri Rafeah dan anak mereka Nani sampai. Anak Bang Ngah Didi, isteri dan kedua mertua Didi juga sampai. Saya dan Razak kemudian meninggalkan HKL dan balik ke Seremban.

Pada jam 8.30 malam saya menalipon Ira bertanyakan berita. Ira menjawab tiada perubahan pada bapanya dan pihak hospital sedang memasukkan darah. Pada jam 11.30 malam Ira memberitahu doktor memberitahu dia dan keluarga bahawa tiada tindak balas kepada rawatan yang diberikan kepada Bang Ngah. Saya pun menjangkakan apa sahaja dan berdoa jika Bang Ngah pergi biarlah dia pergi dengan tenang.

Saya tidak tidur dengan tenang pada malam itu dan pada jam 3.30 pagi esoknya 25 Disember 2008 saya mendengar bunyi SMS di telefon bimbit saya. Apa yang saya jangkakan memang benar. SMS itu datangnya dari Ira dan bertulis 'abah baru meninggal'. Pada jam 3.33 saya menerima satu lagi SMS, kali ini dari Hizam anak kepada adik saya Shamsiah. SMSnya 'Pak Ngah sudah meninggal'.

Saya tidak mahu mengganggu Ira, oleh itu saya SMS Hizam 'Hizam dimana?'. Hizam menjawab 'Di hospital'. Dari itu saya pun terus talipon Hizam dan bertanyakan berita lanjut. Kebetulan Shamsiah ada disitu dan saya terus bercakap dengannya.

Kata Shamsiah dia datang pada jam 2 pagi bersama ibu kami yang tinggal dengannya. Dia meninggalkan hospital setelah diberitahu keadaan Bang Ngah tidak berubah. Apabila sahaja dia hendak sampai di rumahnya di Shah Alam Ira menalipon memberitahu bapanya sedang Nazak.

Bang Ngah Shamsudin menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi di hadapan ibu kami, isteri, anak-anak, menantu-menantu Bang Ngah, adik kami Shamsiah dan Hizam anak Shamsiah. Dia pergi dengan tenang.

Saya pun terus mengejutkan Salmah memberitahu berita ini. Saya pun terus menghantar SMS kepada sesiapa yang saya fikir perlu termasuk kawan sekolah saya Muhammad bin Abdullah yang sudah mengenali Bang Ngah sebelum dia mengenali saya. Muhammad atau Madolah sering bertanyakan abang saya bila kami bertemu.

Saya, Salmah dan anak kami Anis bertolak ke rumah Bang Ngah di Taman Bidara, Selayang pada jam 7.50 pagi. Kami sampai pada lebih kurang jam 9.15 pagi kerana tiada kesesakan lalulintas dijalanraya. Kebetulan hari ini ialah hari cuti Krismas.

Kebetulan juga rumah Bang Ngah terletak berhadapan dengan surau tamannya. Sampai sahaja di rumahnya saya nampak kenderaan jenazah berada di surau dan ini membimbangkan saya pada mulanya, takut saya terlambat.

Rupa-rupanya jenazah abang saya baharu sahaja hendak dimandikan. Jadi saya pun sama-sama memandikan Bang Ngah. Saya lihat wajah Bang Ngah cukup tenang. Keempat anak-anak Bang Ngah dan menantunya Talib (suami Ira) sama-sama memandikan jenazahnya. Saya cukup terharu melihat Ira begitu berani memandikan abahnya dan dia sempat menyuruh anaknya Danial supaya sama-sama memandikan jenazah datuknya.

Mengikut Kak Ngah jenazah Bang Ngah sampai ke rumah pada waktu subuh semasa ramai jemaah mengerjakan solat Subuh di surau berkenaan. Dia pun meminta Imam membaca Tahlil. Ini mungkin tuah abang saya kerana ramainya jemaah yang membaca Tahlil tanpa dijemput berbuat demikian.

Saya berjumpa dengan ibu kami di rumah Bang Ngah. Ibu cukup tabah nampaknya. Sebenarnya ini ialah anak ibu yang kedua meninggal dunia. Sebelum Bang Ngah kami mempunyai seorang Kak Long dari perkahwinan ibu yang pertama yang berakhir dengan perceraian. Tetapi Kak Long telah meninggal dunia semasa Bang Ngah masih kecil dan sebelum saya dilahirkan.

Bang Ngah, saya, Zahari dan Shamsiah ialah anak-anak ibu dengan suami kedua. Bapa kami meninggal dunia semasa Bang Ngah berumur lima tahun, saya berumur tiga tahun, Zahari berumur satu tahun dan Shamsiah masih lagi dalam kandungan.

Semasa saya berumur sepuluh tahun ibu berkahwin lagi dan mendapat dua orang anak, Faridah dan Razak. Bapa mereka juga telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Jadi ibu telah mengalami kehilangan beberapa ahli keluarganya termasuk tiga adik lelakinya. Alhamdulillah ibu masih sihat sekarang.

Bang Ngah mengidap penyakit buah pinggang sejak beberapa tahun yang lalu dan menjalani 'peritonial dialysis'. Ini banyak menghadkan pergerakannya. Dia juga kurang membawa kereta dan kebanyakannya dibawa oleh anak-anak dan menantu-menantunya untuk kemana-mana.

Saya masih ingat lebih dari setahun yang lepas. Bang Ngah datang ke rumah saya untuk kenduri yang saya dan Salmah adakan sempena pemergian kami menunaikan Fardu Haji. Semasa Bang Ngah hendak pulang saya telah memeluknya, suatu yang saya belum pernah buat selama ini. Entah mengapa saya berperasaan tidak akan berjumpa lagi dengannya.

Rupa-rupaya satu dua hari sebelum penerbangan saya Bang Ngah telah memandu kereta anak bongsunya Siti untuk pergi he Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan berkalanya. Semasa hampir tiba ke rumah di waktu balik dia telah terasa pitam dan keretanya terlanggar pokok. Nasib baik juga kereta Myvi Siti mempunyai 'air bag' dan ini menyelamatkan beliau walau pun mengalami sedikit kecederaan. Sejak itu juga Bang Bang tidak dibenarkan oleh keluarganya untuk memandu kereta lagi.

Keadaan yang yang sering pitam juga membuatkan keluarganya memasukkannya ke hospital baru-baru ini.

Saya hanya berjumpa Bang Ngah kembali apabila dia sekeluarga melawat saya setelah saya dan Salmah pulang dari dari Tanah Suci Madinah dan Makkah setelah kami selesai mengerajan Haji.

Kali terakhir saya berjumpa dan berbual dengan Bang Ngah ialah pada bulan Ogos tahun ini. Saya dan Salmah pergi ke kenduri kahwin anak kepada saudara Salmah di Batu Caves. Selepas itu kami pun pergi ke rumah Bang Ngah di Selayang berhampiran.

Saya lihat Bang Ngah uzur. Dia turun dari tingkat atas rumahnya dengan perlahan. Dia juga seolah-olah tidak mengindahkan keceriaan dirinya. Janggut dan misainya dibiar tidak dicukur.

Di waktu itu sukan olimpik sedang berlangsung di Beijing. Bang Ngah yang memang meminati Sains menerangkan serba sedikit bagaimana upacara pembukaan rasmi sukan itu dapat diadakan. Ini memberikan keyakinan kepada saya yang pemikirannya masih baik. Saya pun sempat melihat beberapa acara sukan olimpik di rumahnya.
Jenazah abang saya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Selayang sebelum waktu Zuhur 25 Disember 2008.

Semula Allah mencucuri rahmat kepada roh abang saya Shamsudin. Amin.

2 comments:

Anonymous said...

Takziah buat keluarga Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan bersama org2 soleh.

maarofkassim said...

Sebenarnya kali terakhir saya berjumpa dengan Bang Ngah ialah di Hari Raya 1 Syawal 1429 bersamaan 1 Oktober 2008. Kami berjumpa di rumah ibu di kampung. Kami tidak sempat berbual kerana di waktu yang sama ramai tetamu berupa saudara mara yang datang berhari raya di rumah ibu kami.