Tuesday, May 10, 2011

Bila 'Bahaya' tidak merbahaya.

Pagi tadi saya menemani seorang kawan saya yang hendak pergi ke bank. Telah menjadi kebiasaan dia memerlukan saya kerana kekurangan tempat letak kereta di Bandar Seremban. Kawan saya ini memang jenis tidak mengikuti perkembangan ICT. Beliau tidak mempunyai komputer seperti kebanyakan orang, apa lagi email dan akaun facebook. Kad ATM pun tak ada dan beliau mengeluarakan wang dengan menggunakan cek tunai.

Biasanya saya menunggu dalam kereta dan dia pun pergi ke bank. Saya tahu polis tidak akan terus menyaman mana-mana pemandu yang menunggu dalam kereta yang diletak di luar petak letak kereta. Tetapi jika mereka arahkan kita bergerak, kita hendaklah bergerak untuk mengelakkan tindakan seterusnya.

Kebetulan saya membawa kereta Kancil saya dan saya perhatikan ada satu ruang yang boleh memuatkan kereta ini di antara dua petak letak kereta. Saya pun menyelitkan si kancil ini di ruang sempit tersebut tanpa menyedari adanya kotak suis Tenaga Nasional Berhad (TNB) di situ. 

Tiba-tiba datang seorang penunggang motosikal di sebelah saya. Mula-mula saya ingatkan dia pekerja TNB yang ingin membuka kotal suis tersebut. Tetapi tidak, dia meletakkan motosikalnya di atas longkang sebelah kotak suis tersebut. Semasa berbuat demikian motosikalnya tergesel dengan kereta saya. Tetapi saya fikir tak apalah, si kancil ini pun sudah tua. 

Kemudian datang seorang lagi penunggang motosikal dan meletakkan motosikalnya betul-betul sebelah kereta saya. Saya terus bertanya kenapa letak di sini dan bukan di petak letak motosikal yang disediakan. Dia menjawab dia biasa meletak motosikal di tempat ini dan meminta saya melihat di seberang jalan.

Saya perhatikan di seberang jalan sudah ada dua motosikal diletakkan di sebelah kotak suis TNB. Di kedua-dua kotak ditulis perkataan 'Bahaya'. Tetapi bagi keempat-empat penunggang motosikal ini ia tidak merbahaya.
  

Satu motosikal di letak di atas longkang dan satu lagi di atas jalan, tetapi kedua-duanya di sebelah kotak suis TNB.


Di seberang jalan, dua motosikal telah diletak awal.

1 comment:

Mohd Shah said...

Brother Maarof, IMHO amaran bahaya itu untuk melarang orang ramai dari membuka pintu switch board tersebut kerana boleh menyebabkan litar pintas. Walaubagaimanapun memakir motosikal disitu akan menghalang kerja penyelengaraan pehak TNB bila perlu. Salam.