Thursday, June 23, 2011

Kenapa malu dengan asal usul kita?

Pertandingan tennis Wimbledon sedang berjalan sekarang. Salah seorang pesertanya ialah Maria Sharapova dari Russia. Dia telah memenangi pertandingan tennis Grand Slam selama tiga kali dan kedudukan atau ranking beliau di dunia sekarang ialah nombor 6. Maria berhijrah ke Amerika semasa berumur 9 tahun dan beliau sekarang berumur 24 tahun.

Apa yang menarik ialah Maria Sharapova masih mendaftarkan Russia sebagai negara yang diwakilinya dalam sukan ini walaupun telah meninggalkan negara itu sekian lama. Negara angkatnya sudah tentu gembira jika Maria mengaku itulah negara yang diwakilinya. Ramai atlit lain telah 'berpaling tadah' tetapi tidak Maria. Bukan sahaja Maria Sharapova berasal dari Russia, tetapi dari Siberia yang dianggap sebagai hulu negara Russia. Dia bangga dengan asal usulnya.

Saya berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan saya tidak pernah mengaku sebaliknya. Jelebu ialah hulu kepada Negeri Sembilan dan pernah disebut sebagai daerah yang paling mundur di negeri ini. Tetapi hari ini tidak ada kawasan dalam Negeri Sembilan yang boleh dianggap mundur. Sebagai contoh sekarang ini tidak ada perkhidmatan bas antara bandar Kuala Klawang dengan Simpang Pertang di Jelebu di mana kampung saya terletak di antaranya. Ini kerana kebanyakan orang kampung mempunyai kenderaan sendiri, sebilangan besar kereta.

Semasa saya bersekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak dulu saya sering diejek oleh kawan-kawan yang sama datang dari Negeri Sembilan kerana saya berasal dari Jelebu. Begitu juga semasa saya mula-mula bekerja di Seremban. Tetapi saya tetap bangga dengan daerah tumpah darah saya.

Semasa di SDAR ada seorang  cikgu saya yang kesukaannya menjelajah Semenanjung Malaysia semasa cuti sekolah. Apabila dia mengajar dia akan memilih beberapa orang murid dan bertanyakan asal usul kami. Kemudian dia akan menceritakan pengalamannya berada di tempat-tempat tersebut, biasanya cerita-cerita negatif. Tiba giliran saya sudah tentulah cerita-cerita negatif mengenai Jelebu diceritakannya, terutama jalan Bukit Tangga yang bengkang bengkok. Ditakdirkan Allah cikgu ini kemudian memasukki universiti dan apabila sahaja tamat pengajian ditempatkan di Jelebu. Di Jelebu juga dia bertemu jodoh, walau pun isterinya bukan orang Jelebu.

Ayah saya berasal dari Kuala Selangor, Selangor dan ibu saya pula dari Juasseh, Kuala Pilah. Oleh itu saya boleh mengaku berasal dari Kuala Pilah atau Kuala Selangor. Tetapi sebenarnya ada orang Jelebu yang tidak mengaku ia berasal dari Jelebu sedangkan kampung mereka lebih hulu dari kampung saya. Tetapi mereka tidak boleh disalahkan seratus peratus.

Sebelum tahun tujuh puluhan, surat-surat untuk kawasan Laluan Persekutuan 9 di Jelebu dan bersempadan dengan Negeri Pahang di hantar melalui Pejabat Pos Kuala Pilah. Untuk surat-surat di terima lebih cepat selepas nama kampung perkataan 'Pejabat Pos Kuala Pilah' atau 'melalui Kuala Pilah' atau 'via Kuala Pilah' hendaklah ditulis. Sebaik-baiknya nama 'Jelebu' tidak ditulis langsung untuk mengelakkan kakitangan Pejabat Pos keliru.

Penduduk di kawasan ini juga jarang-jarang datang ke bandar Kuala Klawang, iaitu bandar pentadbiran daerah Jelebu melainkan mereka ada urusan dengan mana-mana jabatan kerajaan. Mereka lebih selesa membeli belah di Kuala Pilah. Untuk ke Seremban juga mereka lebih senang melalui Laluan Persekutuan 9 dan 52 melalui Kuala Pilah dari melalui Laluan 86 melalui Kuala Klawang. Oleh itu tidak hairanlah mereka merasa lebih sebagai orang Kuala Pilah dari orang Jelebu.

Tetapi sekarang mereka tidak boleh lagi mengaku sebagai orang Kuala Pilah. Pertama diantara kawasan mereka dengan Kuala Pilah sudah diujudkan daerah Jempol yang dahulunya sebahagian dari daerah Kuala Pilah. Tak kan mereka mengaku orang Jempol pula. Kedua sejak ujudnya sistem Poskod surat-surat mereka  tidak lagi dihantar oleh Pejabat Pos Kuala Pilah. Mereka juga lebih selesa pergi ke Seremban melalui Laluan 86 yang banyak diluruskan.

Tetapi bagi saya walau pun meninggalkan kampung sejak berumur 12 tahun untuk bersekolah asrama penuh, kemudian bekerja dan akhirnya menetap di Seremban selepas bersara, saya tetap mengaku saya orang Jelebu.

Seperti Maria Sharapova saya tidak malu dengan asal usul saya,

6 comments:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Tn Hj.
Syabas. Begitu juga dengan saya. Saya berasal dari perkampongan Melayu terakhir di persisiran tepi laut Jelutong Timur, Pulau Pinang.

Walau sudah berhijrah ke Bandar Tun Razak, KL tetapi saya tetap anak negeri Pulau Mutiara.

Namun ada ramai yang konon malu dengan menjadi warga Malaysia, tak mahu kembali ke negara kita selepas gi belajar diluar negara atas biasiswa kerajaan.

Puak puak sebegini adalah pengkhianat pada negara dan harus diambil tindakan, menyaman mereka dan dipaksa membayar balik setiap sen yang dibelanjakan untuk mereka serta dilucutkan kewarganegaraan mereka.

Jenis orang diberikan madu ; dibalas tuba!

Al-Manar said...

Munkin peringkat warga mas, atau yang dah hampir, bersifat bangga dengan asal usul. Yang muda mahukan kecanggihan. Saya bukan sahaja pulang kerana hendak menikmti kembali suasana kanak kanak tetapi untuk sedikit berbakti kepada yang ketinggalan dikampong. Isteri saya dari Kelumpang dan masih megah dengan kampongnya. Apatah lagi bila musim durian. Tuan tentu masih ingat Kampong ini yang tak jauh dari TM.

Anonymous said...

esey pun samo asal usul tempat lahir peradong jelobu batu limo... arwah abah orang rantau, omak orang jelobu (pahang anyut takdo suku)... tanah pusako tinggalan omak masih ada di peradong ntah macam rupo eh ntahlah.

umor 12 tahun bapak dah pindah klumpo tapi esey masih sekolah dijelobu duduk hostel (malay boys hostel, klawang) cuti sekolah orang balik kampung esey balik klumpo. last sekolah tahun 1968 (samo dengan hishamudin rais) sampai sekarang masih duduk di klumpo, jarang-jarang sangat balik jelobu.

mak sedara masih ada di sg rotan, titi (felda) yg lain-lain dah tak kenal lagi terutama yang peringkat baru ni.

tengok gambar2 lama dalam FB group anak-anak jelobu tegenang air mata...

Unknown said...

Tuan Haji,
Seperti juga saya, saya berasal dari daerah Port Dickson atau lebih khusus Kg Sawah, Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan. Suatu ketika dahulu, bila mana sebut sahaja Bukit pelanduk ramai yang mentertawakan tempat itu. Sebabnya, Bukit Pelanduk begitu sinonim dengan ternakan babi atau khinzir. Diceritakan Bukit Pelanduk suatu ketika dahulu merupakan kawasan ternakan babi yang terbesar di Malaysia bahkan di Asia Tenggara untuk beberapa dekad yang lalu. Kuasa Allah, pada tahun 1996, kawasan tersebut telah diserang dengan virus nipah yang telah membunuh ratusan ribu ternakan babi termasuk membunuh puluhan penduduk setempat khususnya penternak itu sendiri. Kini, ternakan babi di Bukit Pelanduk hanya tinggal kenangan akibat serangan virus pembunuh tersebut. Kerajaan telah mengharamkan ternakan babi di kawasan tersebut ditakuti serangan virus tersebut boleh berulang dan mengancam nyawa manusia.

Kisah tersebut telah meninggalkan sejuta kenangan dan sekaligus telah memadamkan sindiran masyarakat luar tentang nama baik Bukit Pelanduk. Tiada lagi ternakan babi di situ dan Bukit Pelanduk terus menikmati arus pembangunan yang rancak sebagaimana pekan-pekan lain di Negeri Sembilan. Bukit Pelanduk terus maju!

Anonymous said...

Assalamualikum,saya orang BAHAU,banggo dengan kampung tompek tumpah darah,ado sedaro tinggal di KG kampai jolobu.

Anonymous said...

assalamualaikum,jelobu sekarang jadi laluan sey dari bahau nak balik klumpo,bukit putus dah tak boleh menampung kenderaan yang terlalu banyak,tambahan musim perayaan.