Petang semalam anak saya Anis SMS saya bertanyakan bolehkah kami berbuka puasa di luar pada hari ini. Saya percaya cadangan ini sebenarnya datang datang dari isteri saya Salmah. Saya pun menalipon Salmah bertanyakan dimana kami bercadang hendak pergi. Saya juga bertanyakan menu yang hendak dipesan.
Saya tahu dalam keadaan begini saya terpaksa menghubungi restoran berkenaan untuk memesan makanan. Jika kami datang katalah sepuluh minit sebelum berbuka baru memesan makanan jawabnya kami terpaksalah minum air suam dahulu untuk berbuka sementara makanan dimasak.
Saya kemudian mendapati tidak mempunyai nombor telefon restoran ini dalam telefon bimbit saya walau pun saya pernah diberi kad oleh mereka. Kad itu pula tidak ada dalam dompet saya. Saya mendapat satu idea. Saya pun buka akaun pelesen ini dalam komputer pejabat. Apa yang saya dapati? Nombor telefon yang direkodkan ialah nombor telefon bimbit. Tak apa juga. Tapi nombornya lapan digit, tidak tujuh. Sudah tentu pegawai yang diberi kuasa untuk memasukkan data ini tidak periksa dua kali atau 'double-check'.
Saya terpaksa ke bilik fail untuk mendapatkan nombor telefon yang ditulis semasa pemohon memohon lesen dulu. Wah, macam detektif pulak saya ni. Saya dapat idea ini dari filem 'Midnight Run' lakonan Robert De Niro. Bingo, saya dapat nombornya tetapi bila saya panggil jawapannya ialah 'orang yang anda panggil tidak dapat dihubungi'. Sia-sia sahaja kerja detektif saya. Saya cuba menalipon 103 dengan TM Berhad tetapi diberitahu tidak ada nombor telefon didaftarkan atas nama restoran atau nama pelesen tersebut.
Saya tidak ada pilihan lain selain dari pergi terus ke restoran untuk memesan makanan. Kerana petang semalam hujan renyai-renyai saya berkereta ke pejabat dan tidak bersekuter seperti biasa. Penyelia bertugas mengesahkan nombor telafon bimbit bossnya telah berubah. Saya hairan kenapa orang suka menukar nombor telefon mereka. Nombor telefon bimbit saya dulu bermula dengan 010 tetapi telah berhijrah kepada 019, tetapi nombor tujuh digitnya tetap sama. Dah berama lama tu?
Kami sampai ke restoran lebih kurang tiga minit sebelum waktu berbuka. Restoran sudah hampir penuh Seperti yang saya jangka ada pengunjung yang datang beberapa minit sebelum waktu berbuka dan memesan makanan. Ada juga yang datang selepas waktu berbuka.
Kami disertai cucu saya Danial yang bersekolah di Tahun Dua. Memang Danial selalu tidur di rumah saya di hujung minggu sampai anak saya Ina menyatakan ia ialah cucu kesayangan saya. Sebenarnya tidak, saya sayang cucu-cucu saya sama sahaja. Itu dia dalam gambar memakan chicken chop sama seperti Anis. Salmah yang sengaja memesan makanan yang sama dengan Anis kerana takut Danial akan merajuk jika diberi makanan lain.
Danial sudah berpuasa walau pun baru masuk Tahun Dua sekolah. Sedangkan kalau tak salah saya hanya diarah mula berpuasa oleh ibu saya semasa saya dalam Darjah Empat atau Lima.
Ini mengingatkan saya semasa saya mulai masuk sekolah menengah dulu. Sesiapa yang membaca pos-pos saya sebelum ini tentu tahu sekolahnya ialah Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjong Malim, Perak, sebuah sekolah berasrama penuh. Saya yang ditemani oleh ibu saya, bapa saudara saya Pak Lang Ibrahim dan adik saya Faridah singgah dahulu di rumah saudara kami di Kalumpang, Selangor yang hanya terletak lebih kurang enam kilometer dari Tanjong Malim.
Kami sampai lebih kurang jam tiga petang dengan menaiki bas dari kampung. Pada lebih kurang jam lima petang isteri tuan rumah memanggil saya ke dapur. Di atas meja di dapur sudah terhidang makanan dan puan rumah serta anak-anak perempuannya menyuruh saya makan. Saya jawab saya tak boleh makan oleh kerana saya berpuasa. Mereka terperanjat sambil menyatakan 'Disini budak-budak baya kau ni belum berpuasa lagi'. Puan rumah menunjukkan sebagai contoh anak lelakinya yang bernama Zainol dan sebaya dengan saya yang mengaku belum pernah berpuasa lagi.
Berbalik kepada berbuka di restoran tadi. Mungkin kerana meja masih kosong mereka yang datang lewat masih dilayan. Saya masih ingat beberapa tahun yang lalu di satu restoran yang lain. Restoran ini mempunyai kawasan yang besar termasuk tempat letak kereta. Hari itu cuma beberapa hari sebelum Hari Raya dan sudah ada anak-anak yang tinggal jauh balik ke rumah ibu bapa mereka. Tuan punya restoran menunggu di pintu masuk dan bertanya kepada tiap-tiap pemandu kereta sama ada mereka sudah membuat tempahan awal. Kepada mereka yang belum lagi jawapannya 'Minta maaf, meja dah penuh'. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana dan di manakah mereka ini berbuka puasa.
1 comment:
seronok melayan anak-anak dan cucu-cucu...
Post a Comment