Monday, September 8, 2008

Merdeka

Ya tak ya pulak. Saya belum buat apa-apa komen mengenai Merdeka. Saya rasa bertuah kerana saya termasuk dalam golongan kecil blogger yang sudah dilahirkan apabila negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dulu. Antara blogger yang saya termasuk dalam golongan ini ialah Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa negara kita yang dahulu dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya mencapai kemerdekaannya saya berada dalam Darjah Dua. Cik Gu-Cik Gu menyebut 'Merdeka'. Saya tak tahu apa itu 'Merdeka'. Makna 'merdeka' pun saya tidak tahu. Apa lagi 'penjajah' dan sebagainya. Yang saya ingat ialah kami dikehendaki membeli satu lencana atau 'badge' merdeka. Saya dah lupa harganya tetapi bila saya minta duit dari emak saya dia senang hati memberinya. Dia juga memberi duit kepada abang saya Shamsudin yang berada dalam Darjah Empat untuk membeli lencana ini. Saya masih ingat lagi lencana itu mengandungi gambar Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia yang pertama.

Sayang sekali lencana itu entah mana saya campakkan. Agaknya inilah contoh memberi barang yang berharga kepada orang yang tidak tahu menghargainya. Samalah seperti memberi bunga kepada beruk. Sayalah beruk itu dan lencana itulah bunganya.

Apabila persekolahan saya meningkat saya pun belajar sedikit demi sedikit apa dia Merdeka itu. Perlu diingat walau pun negara kita telah merdeka dari penjajahan tetapi semasa mencapainya kita belum lagi bebas dari ancaman komunis. Terma 'Kawasan Putih' dan 'Kawasan Hitam' digunakan. 'Kawasan Hitam' ialah kawasan yang masih mempunyai ancaman komunis dan 'Kawasan Putih' pula bermakna ia bebas dari ancaman tersebut. Daerah Jelebu dimana saya dibesarkan adalah satu 'Kawasan Hitam'.

Dua contoh Jelebu masih 'Kawasan Hitam' semasa Merdeka adalah seperti berikut:

  1. Selang beberapa hari kapalterbang akan menjatuhkan risalah-risalah berbahasa China yang ditujukan kepada komunis meminta mereka menyerah diri. Dulu saya banyak kumpul 'surat terbang' ini, tetapi semua sudah hilang sekarang.
  2. Bas-bas awam yang merentasi Jelebu diiringi oleh kereta perisai. Saya tidak pasti anggotanya tentera atau polis. 
Apabila saya memasukki sekolah menengah saya bukan sahaja lebih memahami makna Merdeka tetapi saya telibat dalam perayaannya. Setiap 31 Ogos setiap murid sekolah saya, iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR akan berkumpul di Padang Bandaran Tanjong Malim untuk merayakannya.

Oleh kerana Tanjong Malim ialah satu pekan kecil pergi ke padang ini tidak menjadi masalah kerana ia terletak hanya seratus meter dari pagar sekolah kami. Kami menyanyi Negaraku dan mendengar sajak dan ucapan-ucapan yang membosankan. Saya masih ingat juruacara tetap untuk perayaan ini bernama R.M. Idris dari Jabatan Penerangan. Samalah seperti En. Muzamir juga dari Jabatan Penerangan menjadi juruacara tetap untuk perayaan peringkat Negeri Sembilan sekarang. R.M. Idris juga menjadi juruacara untuk acara-acara lain seperti Maulidur Rasul yang mana kami juga mengambil bahagian.

R. M. Idris kemudian masuk politik dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Perak. Saya berjumpanya di satu seminar Kesatuan Sekerja saya di Ipoh, Perak yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak. R.M. Idris sungguh gembira apabila saya nyatakan mengenalinya. Saya tidak pasti sama ada beliau masih hidup sekarang. Saya juga tidak tahu apakah maksud R.M. di pangkal namanya itu.

Apabila saya bekerja saya terpilih untuk menjadi anggota perbarisan Jabatan saya Majlis Perbandaran Seremban atau MPS di Hari Merdeka. Kami menjadi Johan Perbarisan kategori Jabatan Kerajaan beberapa kali. Pada satu tahun, kalau tak salah tahun 1992 oleh kerana kami menjadi Johan di peringkat negeri di tahun sebelumnya kami diminta menjadi wakil Negeri Sembilan di Perbarisan Hari Merdeka Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Itulah satu pengalaman yang saya tidak boleh lupakan. Kami dibawa dari Seremban dengan bas Pejabat Setiausaha Kerjaan (SUK) Negeri Sembilan dan bermalam di Pusat Latihan Telakom, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Pagi-pagi lagi kami telah bersedia dan berkumpul di Dataran Merdeka.

Sayang sekali sekarang tidak ada lagi penyertaan dari negeri-negeri untuk sambutan Hari Merdeka peringkat kebangsaan.


Gambar saya memakai pakaian Hari Merdeka tahun 1995.

Pada tahun 1995 oleh kerana pasukan Jabatan saya sekali lagi berjaya di pertandingan perbarisan kami telah dihadiahkan bercuti lima hari empat malam ke Medan, Brastagi dan Danau Toba, Indonesia.

Sebenarnya saya masih lagi ditawarkan untuk menyertai pasukan Jabatan untuk perbarisan ini. Tetapi saya menolaknya untuk memberi peluang kepada orang-orang muda pula.

MERDEKA!

Nota Tambahan :
Saya membuat sedikit 'googling'. Cerita akhir R.M. Idris ialah beliau menjadi Pengerusi Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Cawangan Perak pada tahun 2005. Dia dah dapat anugerah Datuk rupanya. Memang susah nak dapat anugerah Datuk di Perak tu. Sesiapa yang dapat berita terkini mengenai Datuk R.M. Idris tolong beritahu saya.



2 comments:

LeesaFazlena said...

Salam saudara Maarof. Nama saya Leesa. Saya ada terbaca entri saudara mengenai RM Idris. Beliau merupakan Atok saya. Beliau masih hidup tetapi sekarang sudah agak uzur. Sudah sebulan RM Idris duduk di Hospital Kuala Lumpur. Harap saudara boleh doakan kesihatan atok saya. Semoga dia kembali sembuh. Saudara boleh menghubungi saya jika mahukan maklumat lebih ttg atok saya. 012-3344790. TQ atas entri ini.

skinhead said...

27 okt. 2013 (23:35)
Sebentar tadi anak saya beritahu dia terbaca di halaman facebook mengenai berita kematian Datuk R. M. Idris di Ampang, KL. hari ini.
Saya seorang penduduk Tg Malim, dan bekas jiran Allahyarham semasa beliau tinggal di taman perumahan yg sama dgn saya di Jalan Ketoyong.