Friday, August 13, 2010

Terkena di awal Ramadan.

Oleh kerana isteri Salmah saya tidak bekerja saya jarang-jarang membeli juadah di Pasar Ramadan. Kalau membeli pun ia sebagai tambahan kepada masakan yang sudah disediakan olehnya.

Walau bagaimana pun saya tetap berhati-hati membeli juadah berbuka puasa. Semasa bekerja dulu Jabatan saya mengaturkan lawatan terhadap Pasar-pasar Ramadan untuk memastikan setiap pengendali makanan mematuhi syarat-syarat jabatan dan juga syarat-syarat Jabatan Kesihatan. Jika saya perlu membeli makanan untuk berbuka puasa saya membuat menelitian dahulu semasa lawatan begini.

Walau bagaimana pun saya hanya membeli dari pengendali makanan yang saya kenal. Dalam makna lain saya hanya membeli dari mereka yang profesionnya mengendali makanan. Mereka ini sama ada pengusaha gerai atau restoran yang saya tahu bersih. Biasanya di bulan Ramadan mereka menutup gerai dan restoran dan menjual di Pasar Ramadan.  

Setelah selesai membuat tugas lawatan saya akan kembali ke gerai mereka yang saya kenal ini dan membeli makanan yang perlu.

Tetapi oleh kerana saya sudah bersara pilihan saya sudah tentu terhad. Saya tidak bebas lagi membeli di mana-mana Pasar Ramadan dalam kawasan Majlis Perbandaran Seremban seperti dulu. Pada hari puasa kedua saya membeli sedikit makanan di Pasar Ramadan di Taman Desa Rhu di Sikamat, Seremban.

Kebetulan  Pasar Ramadan Taman Desa Rhu ini terletak di hadapan gerai-gerai Majlis Perbandaran Seremban. Kebetulan pula peniaga-peniaga biasa gerai MPS itu membuka gerai mereka. Saya pun terus membeli sekeping murtabak dari satu gerai MPS memikirkan penjualnya ialah sudah tentu pengendali makanan profesional.

Alangkah terperanjatnya saya apabila hendak berbuka puasa apabila diberitahu oleh Salmah bahawa murtabak yang saya beli sudah busuk. Sebagai seorang yang dilatih di bidang kesihatan saya tidak meragui kata-katanya. Memang murtabak itu sudah busuk dan dalam bahasa kesihatan 'unfit for human consumption'. Baru saya ingat pelesen gerai MPS dimana saya membeli murtabak ini biasanya menjual air minum sahaja. Dia tidak menjual murtabak pada hari-hari biasa.

Nasib baik juga seperti dulu-dulu murtabak itu hanya tambahan kepada makanan yang sedia dimasak oleh Salmah. Jika tidak minum air sahajalah kami untuk berbuka puasa.

Mungkin pelesen gerai ini meminta ahli keluarganya menjual murtabak di bulan puasa ini. Mungkin juga dia menyewa sebahagian gerainya kepada seorang penjual murtabak. Tetapi di bulan puasa ini saya tidak boleh mempunya prasangka buruk.

Kalau saya masih bekerja sudah tentu saya mengambil tindakan kepada penjual murtabak ini. Sekurang-kurangnya dengan memberi amaran sahaja. Bayangkan berapa banyak murtabak busuk yang sudah terjual darinya sebagai sengaja atau tidak. Saya hanya dapat menalipon seorang kawan sekerja lama saya supaya membuat lawatan ke gerai ini dan mengambil tindakan jika peniagannya terus menjual makanan yang tidak layak untuk dimakan manusia atau 'unfit for human consumption'.    

2 comments:

Anonymous said...

kalau kat pasar ramadan ...memang selalu terkena....selaunya lauk x hais di jual semula...

Anonymous said...

Maarof

saya rasa you patut jangan buang murtaba tu dulu. Selepas solat maghrib tu elok you bawa murtabak tu semula kepada penjual di gerai yang you beli tu....I'm sure he would be there to breakfast too. Wallah hu Aklam.

wasalam
MA(B)