Saya tertarik kepada Snippet Tun Dr. Mahathir bertajuk 'Not Praying Together'. Oleh itu saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan mengenai Etika di Masjid.
Saya pun seperti TDM juga yang memilih untuk bersolat jauh dari baris hadapan. Saya fikir dengan cara ini saya boleh bersolat dengan selesa. Saya bukanlah dari golongan yang suka datang awal ke Masjid. Saya fikir dengan memilih tempat solat jauh dari barisan hadapan saya tidak mengganggu jemaah yang datang awal.
Pada pandangan saya mereka yang biasa datang ke Masjid akan memilih tempat duduk yang sama. Mereka akan hanya berubah tempat ke hadapan untuk memenuhkan saf-saf yang kosong apabila sahaja solat hendak dimulakan.
Saya masih ingat semasa tinggal di Taman Paroi Jaya, Seremban sebelum Masjidnya dibesarkan. Terdapat pintu masuk di belakang dan di kiri kanan Masjid. Oleh kerana Masjid belum dibesarkan terdadapatlah jemaah yang menunggu sambil berdiri di pintu-pintu masuk ini semasa Khatib membaca Khutbah Jumaat. Apabila sembahyang hendak dimulakan jemaah yang berdiri di pintu kiri kanan Masjid akan meluru ke hadapan sedangkan jemaah di bahagian belakang Masjid pun meluru ke tempat yang sama. Terjadilah 'kesesakan lalu lintas' yang menyebabkan ada yang terpaksa keluar dari Masjid kerana tiada ruang bersolat. Oleh itu untuk mengelak dari terkena 'kesesakan lalu lintas' ini saya memilih untuk duduk di barisan belakang sedikit dari pintu-pintu tengah.
Ada juga masanya saya terdiri dari golongan yang berdiri menunggu di pintu kiri Masjid. Saya memilih pintu kiri kerana ia yang paling dekat dengan tempat saya meletakkan skuter atau basikal saya. Untuk mendapat tempat apabila sahaja sembahyang hendak dimulakan saya akan masuk dan mencari tempat di bahagian belakang. Kemudian saya akan beransur-ansur mengisi ruang di hadapan, jika ada. Dengan cara ini walau pun saya tiba lambat saya tetap mendapat ruang solat yang selesa. Saya fikir keadaan ini tidak berlaku lagi di Masjid tersebut oleh kerana ia sudah dibesarkan.
Saya cuma datang awal ke Masjid untuk solat Jumaat semasa mengerjakan Haji di Madinah dan Makkah. Bercakap tentang ini di kedua-dua Masjid ini terdapat situasi di mana jemaah-jemaah dari belakang akan melangkah kita untuk pergi ke hadapan. Saya atasi masalah ini dengan cara berikut: Setiap kali saya datang ke Masjid saya akan mengambil dua naskhah Al Quran. Satu saya baca dan satu lagi saya letakkan di hadapan saya. Dengan cara ini jemaah dari belakang takut untuk melangkah saya kerana mungkin terpijak atau melangkah Al Quran yang berada di hadapan saya itu. Mungkin ini satu perbuatan kedekut atau 'selfish' tetapi dengan cara ini tidak timbul perasaan marah dari saya yang mungkin boleh mengganggu ketenteraman saya bersolat.
1 comment:
Ada satu hadis bermaksud kurang lebih " jika kita tahu kelebihan saf hadapan, maka berebutlah kita. Maka tak timbul cerita melangkah orang itu.
Post a Comment