Tuesday, October 14, 2008

Petua Mengerjakan Haji

Mungkin oleh kerana musim Haji akan tiba saya dapati kebelakangan ini ada pelawat melawat pos-pos lama saya bertajuk 'Mengerjakan Haji' yang mempunyai 34 Bahagian. Untuk bakal-bakal Haji saya nasihatkan bacalah pos-pos itu yang menceritakan pengalaman saya mengerjakan Haji pada Tahun Masehi 1428 yang lepas.

Mungkin bakal-bakal Haji telah menghadiri kursus-kursus Haji baik dari segi teori atau praktikal. Kata orang putih 'There is no substitute for experience'. Oleh itu untuk pos kali ini saya akan memberikan beberapa petua Mengerjakan Haji hasil dari pengalaman saya sendiri. Saya tujukan petua ini khas kepada bakal-bakal Haji.

A. Di Tanah Air:

  1. Kebanyakan amalan Haji seperti Tawa, Saie dan Melontar memerlukan jemaah berjalan. Oleh itu buatlah senaman berjalan selalu.


  2. Jaga kesihatan. Tidur dengan secukupnya.


  3. Bawa keperluan yang secukupnya sahaja. Untuk pakaian selain kain ihram dua pasang Baju Melayu, dua pasang pakaian biasa dan dua keping baju T sudah cukup. Perlu diingat cuaca di Tanah Suci berlainan dari cuaca di tanah air kita yang lembab. Kita boleh pakai baju selama lima hari tanpa perlu dibasuh kerana cuaca kering. Saya dulu terpaksa poskan balik beberapa pakain yang tidak diperlukan.


  4. Bawa satu pasang kain ihram sahaja. Jika memerlukan sepasang lagi boleh dibeli di Tanah Suci yang harganya lebih murah dari sini.


  5. Jika jemaah seorang pesakit darah tinggi atau kencing manis bawa ubat-ubat yang cukup ke Tanah Suci. Juga bawa ubat-ubat batuk dan demam biasa ke sana. Walau pun setiap Maktab di sana mempunyai Klinik Tabung Haji ubat-ubat yang diberi mungkin tidak sesuai dengan kita. Bawa juga minyak sapu untuk otot-otot.


  6. Tidak perlu bawa wang ke sana. Masukkan semua wang ke dalam Akaun Tabung Haji dan keluarkan sedikit demi sedikit di sana apabila perlu. Boleh bawa Kad Kredit jika ada.


  7. Tinggalkan Kad Pengenalan, Kad Kuasa dan Lesen Memandu. Saya terdengar ada jemaah yang menunjukkan Kad Kuasa kepada petugas Tabung Haji di sana. Tolong jangan.


  8. Tak payah bawa telefon bimbit. Kalau perlu bawa satu sahaja. Tak payah guna telefon bimbit untuk hubungi isteri atau suami. Gunakan telefon bilik hotel. Kad 'I Talk' Telekom Malaysia (TM) lebih murah dari Kad SIM telefon bimbit Saudi.


  9. Sebenarnya boleh bawa kamera ke Tanah Suci. Cuma jangan sampai mengganggu tugas-tugas Haji. Sayang jika tidak dapat merakamkan pemergian kita 'kesana'. Masukkan kamera dalam poket, bukan dalam beg kecil Tabung Haji atau pakej Haji oleh kerana mereka suka memeriksa beg-beg ini.

B. Di Tanah Suci




  1. Dengar dan ikut segala arahan dari pegawai-pegawai Tabung Haji atau ajen Pakej Haji.


  2. Baca segala notis yang ditampal di Maktab. Program mungkin berubah dari masa ke semasa.


  3. Ambil wuduk di hotel lagi. Boleh ambil wuduk di Masjid tetapi mungkin bersesak. Lagi satu oleh kerana cuaca kering dan sejuk apabila ambil wuduk di Madjid air yang belum kering akan 'mencengkam' kulit kita.


  4. Hadir semua ceramah agama dan motivasi. Jika sesiapa perlu kaunseling, pergilah kaunseling.


  5. Sentiasa bawa beg kecil Tabung Haji atau Pakej Haji kemana-mana. Jangan lupa pula masukkan keratan paspot Haji dan butir-butir Maktab dan khemah dalam beg tersebut.


  6. Ingatkan pintu masuk kita di Masjid. Tulis di buku nota jika perlu.


  7. Bungkus selipar dan letakkan di tempat-tempat yang dikhaskan. Ingat nombor tempat selipar ini. Jika takut sangat hilang gantung sahaja di pinggang.


  8. Beli tasbih khas Tawaf dan Saie yang mempunyai tujuh butang sahaja. Dengan cara ini kita tidak silap jumlah pusingan nanti. Ini juga amat berguna jika kita Tawaf dan Saie sendiri tanpa Mutawif.

  9. Ingat Mutawif yang mendahului Tawaf dan Saie kita dan cuba berada dekat dengannya. Jika tersalah Mutawif mungkin pusingan kita menjadi keliru.


  10. Bila Tawaf, untuk tidak berjalan jauh cuba berada paling dekat dengan Kaabah. Lagi jauh dari Kaabah lagi jauh perjalanan kita.


  11. Di pusingan akhir atau ketujuh Tawaf cuba perlahan-perlahan beredar jauh dari Kaabah. Dengan cara ini apabila Tawaf berakhir jemaah boleh keluar dengan senang tanpa bertembung dengan mereka yang hendak mula Tawaf.


  12. Sekarang sudah ada tiga lorong Saie. Jika lorong utama sesak buatlah Saie di lorong-lorong yang dua lagi itu.


  13. Jangan terpengaruh dengan sesiapa yang meminta pertolongan kewangan dengan mengaku wang mereka hilang. Siapa nak mencuri di Tanah Suci? Mereka akan memulakan percakapan dengan bertanya "Do you speak English?". Jawab "No" sahaja, habis cerita.


  14. Sudah tentu setiap jemaah ingin membeli belah di sana. Jika rasa-rasanya jumlah berat bagasi akan melebihi had penerbangan poskan sahaja mana yang lebih ke Tanah Air melalui Pos Malaysia atau syarikat kurier.

  15. Di Mudzalifah selepas sahaja memungut batu pergi terus ke tempat menunggu bas ke Mina.


  16. Semasa melontar tunggu sehingga sampai ke hujung Jamrah. Jemaah kurang di sana oleh itu senang melontar. Jangan tiba-tiba melontar apabila nampak Jamrah. Silap-silap terkena baling jemaah lain.


  17. Semasa pergi melontar saya nampak banyak selipar yang putus akibat terpijak oleh jemaah dari belakang. Oleh itu cuba berjalan jauh dari jemaah belakang. Kalau mereka hendak sangat memotong beri saja jalan.

  18. Naik bas yang dikhaskan untuk kita. Jangan naik bas sesuka hati. Di Arafah dan Mina khemah-khemah didirikan mengikut nombor siri. Tetapi di Makkah tidak. Jika seorang dari khemah 81 di Mina menaikki bas khemah 82 untuk balik ke Makkah kedudukan mereka di Makkah adalah berjauhan. Semasa balik ke Makkah selepas melontar keadaan lalulintas amat sesak. Ini boleh menyebabkan jemaah yang salah bas terpaksa menunggu beberapa jam sebelum ditempatkan ke Maktab sebenar.

  19. Akhirnya jangan cuba berlagak pandai di 'sana'. Jangan pakai cakap seperti ini 'Di Ghombau (Rembau) den tak sosek (sesat) ini pulak di Mokah!.



No comments: