Monday, October 6, 2008

Rumah Terbuka dan Tetamu Tidak Diundang

Sejak Hari Raya baru-baru ini belum reda lagi cerita mengenai ahli-ahli Hindraf datang ke rumah terbuka menteri-menteri kabinet Islam di PWTC Kuala Lumpur. Sama ada mereka boleh dikelaskan sebagai tetamu tidak diundang adalah kurang jelas. Ramai juga tetamu lain tidak diundang.


Walau bagaimana pun tujuan ahli-ahli Hindraf itu datang boleh dipertikaikan. Saya perhatikan dalam TV ada yang membawa anak kecil berumur beberapa bulan. Tidakkah nanti membahayakan bayi itu bila bersesak-sesak? Kalau bayi itu asyik menangis tidakkah mengganggu orang lain? Ada yang membawa hadiah 'teddy bear' untuk PM kita beserta dengan Kad Hari Raya yang saya rasa tidak pernah dibuat orang di Hari Raya.


Perkara ini berlaku oleh kerana masih ramai yang kurang faham tujuan kita untuk mengadakan rumah terbuka terutama di Hara Raya. Rumah terbuka pun ada etikanya. Contohnya kita tidak boleh datang berselipar dan mamakai seluar pendek. Kita juga tidak boleh membawa balik apa-apa makanan yang tidak habis. Saya pernah lihat satu kejadian di rumah terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan di rumah kampungnya di Rantau. Ada budak-budak membawa balik botol air minuman seperti Coca-Cola dalam botol plastik 1.5 liter yang belum dibuka. Air itu sepatutnya diminum menggunakan gelas di meja makan rumah terbuka tersebut. Mana-mana air yang tak habis patut ditinggalkan sahaja untuk tetamu lain pula.


Pejabat saya mengadakan rumah terbuka setiap tahun. Rumah terbuka ini biasanya diadakan di dewan besar kami. Beberapa tahun yang lalu ia pernah diadakan di rumah rasmi Yang DiPertua kami untuk merasai suasana 'rumah' terbuka. Nampaknya pada tahun ini ia kembali diadakan di dewan.
Rumah terbuka ini ialah untuk semua pegawai dan kakitangan serta ahli-ahli keluarga kami. Pelanggan-pelanggan biasa kami juga dijemput secara rasmi. Saya masih ingat lagi semasa dewan lama kami terletak di tengah-tengah bandar dan di belakang stesen bas untuk bandar. Tiap-tiap tahun ada sahaja tetamu yang tidak diundang. Mereka tidak malu-malu menyelit diantara kakitangan kami yang sedang masuk ke dewan. Bagi mereka inilah satu peluang untuk mendapat 'makan free'.

Tetapi sekarang kami mempunyai dewan yang lebih besar. Walau pun ia masih terletak dalam bandar tetapi jauh dari pusat komersial atau stesen bas. Kuranglah sedikit tetamu tidak diundang ini.

Bercakap tentang ini saya masih ingat beberapa tahun yang lalu bila kami baharu sahaja duduk berehat setelah balik dari beraya dikampung apabila ada budak-budak menyebut 'Assalamualaikum' di pagar depan rumah. Saya sangkakan kawan-kawan anak-anak saya tetapi bukan. Mereka bukan datang dari taman kami pun, tetapi dari kampung sebelah. Mereka datang, duduk dan meminum air sahaja sebelum beredar. Tujuan sebenar mereka ialah untuk mendapatkan duit raya sahaja.

Dari pengalaman itu kami telah mengunci pintu pagar kami sebaik sahaja balik dari kampung. Jika ada 'Assalamualaimum' kami akan tinjau dulu. Jika budak-budak sebelah rumah kami silakan masuk, jika tak kenal kami buat tak tahu sahaja.

1 comment:

mshah@mas.com.my said...

Brother Maarof,
Sama ada mereka itu ikhlas atau ada udang disebalik batu hanya tuhan maha mengetahui. Apa yang saya lihat banyak pembaziran dimajlis tersebut. Oleh kerana makanan tu percuma, tetamu tidak menghargai sangat. Makanan diambil tetapi tidak dimakan dengan sempurna. Kita digalakan menyambut satu Shawal dengan sederhana, jadi mmengadakan majlis secara besar besaran ini tentu mempunyai agenda lain. Wallahualam.